3 CARA UNTUK MENGHANCURKAN TAMADUN DAN MASYARAKAT

petronas_malaysia_national_day_by_feigiap-d7x8684

Bila berbicara mengenai sesebuah tamadun atau masyarakat, ada dua peristiwa yang saling berkait rapat. Iaitu kemajuan dan kehancuran. Kita lebih suka mendengar tentang kemanisan kejayaan. Manakala Kemunduran dan kejatuhan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk dirasa. Dalam konteks Malaysia, dimanakah keberadaan pencapaian tamadun kita? Saya tinggalkan persoalan ini untuk sama-sama kita fikirkan.

Kehancuran tamadun dapat kita saksikan menerusi sejarah yang kita pelajari. Menerusi kehancuran ini, segala kemajuan yang dikecapi lenyap begitu sahaja. Menerusi kehancuran, rakyat menderita berpanjangan. Menerusi kehancuran, anasir luar masuk menyelinap dengan mudahnya. Menerusi kehancuran, perjuangan nenek moyang hilang sekelip mata.

Apakah punca dan sebab kejatuhan? Menurut kajian, terdapat 3 cara untuk menghancurkan tamadun atau masyarakat. Dan ketiga-tiga cara ini sudah semakin jelas ada dalam masyarakat kita samada sedar atau tanpa sedar.

HANCURKAN SISTEM KEKELUARGAAN

Keluarga adalah tunggak masyarakat. Hancur keluarga, maka rapuhlah masyarakat. Untuk menghancurkan ikatan keluarga, ketepikan peranan IBU atau BAPA.

Biarkan para wanita berasa tidak sempurna untuk bergelar surirumah. Biarkan BAPA sibuk seharian mengejar pendapatan yang tidak cukup-cukup.

Kehancuran yang boleh menjerumus kepada perceraian. Akhirnya anak-anak akan terabai dan terkapai menagih kasih sayang. Akhirnya melahirkan anak yang memberontak jiwanya. Anak yang tiada jati diri dari keluarga.

HANCURKAN SISTEM PENDIDIKAN

Sistem pendidikan adalah tunjang dalam melahirkan masyarakat yang berilmu. GURU adalah pendukung umpama pejuang barisan hadapan dalam peperangan. Untuk meruntuhkan sistem pendidikan, GURU perlu diberikan tekanan. Jangan diberikan guru kedudukan dalam masyarakat. Hilangkan rasa hormat masyarakat terhadap golongan guru. Biarkan guru terus terbeban dengan tugas. Biarkan guru tertekan dengan kerenah murid yang semakin liar.

Inilah hakikatnya yang berlaku ketika ini. Anda bacalah dimana-mana media. Walaupun tidak semua sekolah, tetapi ia sedang berlaku. Anda tanyalah guru-guru, tentang beban tugas dan cabaran di sekolah. Pasti jawapannya hampir sama.

JATUHKAN IDOLA-IDOLA MASYARAKAT YANG BERWIBAWA

Untuk menjatuhkan idola masyarakat, jatuhkan golongan alim ulama sehingga masyarakat tidak menghormati mereka. Golongan ulama dilaga-lagakan sehingga saling menuduh. Golongan ulama yang cenderung menyokong sesuatu parti diperlekehkan.

Malah ada ulama yang terpalit dengan tuduhan fitnah yang sungguh hebat. Sehingga masyarakat keliru dan memandang serong terhadap golongan ini.

KESIMPULAN

MAKA,apabila peranan IBU ditiadakan, Tugas BAPA semakin dilupakan, peranan GURU diperlekehkan, Para ULAMA tidak dijadikan sumber rujukan dalam masyarakat, Siapa yang akan mendidik masyarakat menjadi masyarakat bertamadun?

Pada saat inilah titik kehancuran akan bermula. Waktu inilah musuh-musuh berkurumun umpama menunggu masa untuk menerkam musuhnya. Maka saat inilah lahirnya gengsterisme, buli, zina, Korupsi, dan pelbagai penyakit masyarakat.

Mari kita berdoa kepada Allah agar diselamatkan zuriat kita, keturunan kita, masyarakat kita dan negara kita daripada kehancuran. Moga kita mendapat manfaat dan kebaikan daripada penulisan ini.

Wallahu ‘alam bis shawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *