3 SEBAB MENGAPA KITA JATUH CINTA

3 SEBAB MENGAPA KITA JATUH CINTA

Kali ini saya menulis tentang cinta. Walaupun saya bukanlah kaki jiwang, namun ada sesuatu saya ingin kongsikan untuk anda.

Salah satu fitrah yang Allah kurniakan kepada manusia ialah perasaan cinta. Cinta terhadap manusia itu adalah nikmat yang besar. Dalam masa yang sama, ia juga ujian Allah SWT.

Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini, khususnya golongan anak muda sangat memujakan cinta.

Perlu diingat, jika cinta tidak dilandaskan pada jalan yang betul, maka pelbagai kerosakan akan timbul.

Bila bercinta, bagaikan hanyut dan lupa tentang segalanya. Bila putus cinta, umpama pengakhiran kepada kehidupan. 

Mungkin ramai yang tidak tahu, mengapa kita jatuh cinta?  Saya kongsikan 3 sebab yang perlu anda tahu tentang jatuh cinta.

JAMAL

JAMAL adalah berasal daripada perkataan Arab. Ia membawa maksud ‘kecantikan’. Maksudnya ialah paras rupa dan fizikal seseorang.

Bila melihat perempuan cantik, mata lelaki pasti akan terus tengok. Begitu juga bagi perempuan, apabila melihat lelaki kacak dan handsome. Itu fitrah dan lumrah manusia.

Cantik pula sangat subjektif sifatnya. Setiap orang memiliki ‘taste’ yang berbeza bila menilai tentang kecantikan.

KAMAL

KAMAL, perkataan Arab yang membawa maksud ‘kesempurnaan’. Ada orang jatuh cinta terhadap seseorang bukan kerana paras rupa. Tetapi tertawan dengan pakej dan apa yang seseorang itu miliki.

Contohnya, seseorang itu pandai memasak, melukis, menjahit, pandai melawak, selalu membuat ‘pick up line’, dan sebagainya.

Kadang kadang, pakej itu bukan hanya kemahiran. Tetapi harta dan aset yang miliki. Ada rumah, ada kereta atau pekerjaan yang hebat.

Pakej yang dimiliki ini menyebabkan kita seronok dan selesa dengan seseorang itu. Yang akhirnya membawa kita jatuh cinta.

NAWAL

Perkataan Arab ‘Nawal’ ini bermaksud ‘budi pekerti’. Maksudnya, kita tertarik kepada seseorang itu disebabkan budi pekertinya.

Mungkin orang tidak memiliki harta yang banyak, paras rupa pun hanya biasa biasa sahaja, tetapi sangat tinggi dengan akhlak dan keperibadian yang menarik.

Contoh, kita mungkin seronok dengan cara si dia berjalan, caranya senyum, cara dia menegur orang tua dan sahabat.

Keperibadian ini membuatkan kita selesa dengan si dia. Dan membawa kepada lahirnya perasaan kasih sayang dan jatuh cinta.

KESIMPULAN

Ketiga tiga sebab ini adalah antara faktor yang menyebabkan kita jatuh cinta dengan seseorang. Bila kita tahu apa sebab kita cinta, maka mudah untuk kita memikirkan cara memikat si dia.

Kita boleh fokus dan mengetahui dimana kekuatan kita. Samada Jamal, Kamal atau Nawal. Bila kita berada dalam fasa bercinta. Jangan kita lupa tentang cinta kita yang satu ini.

Cinta kita kepada Allah SWT, dan makhluk pertama di sisi Nya, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini adalah bersumberkan video youtube, “3 sebab jatuh cinta”, cerahan Ustaz Syakirin Yuslan. Boleh saksikan video tersebut pada link ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *