Skip to main content

5 KISAH LUAR BIASA MAKHLUK YANG DICIPTAKAN YANG TIDAK ADA IBU

unta siluet

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam untuk semua pembaca..Artikel yang saya tulis kali ini adalah kisah benar tentang 5 makhluk yang diciptakan Allah SWT tanpa ibu dan bapa. Saya yakin mungkin ramai yang tahu berkenaan cerita ini.

Kisah ini merupakan antara cebisan kisah-kisah ajaib yang terdapat dalam Al-Quran yang menunjukkan betapa Allah SWT Maha Besar. Kisah ini terjadi semasa pemerintahan kalifah Saidina Umar r.a. Pada suatu hari, ada seorang yahudi datang ke pejabat kalifah. Dia mengadu untuk masuk Islam kepada Saidina Umar…dan berjanji untuk membawa semua anggota keluarganya sekali memeluk Islam. Tetapi mengenakan satu syarat. Orang yahudi ini bertanya, apakah 5 makhluk yang dilahirkan tidak ada ibu, dan lahir tidak melalui ibu.

Saidina Umar diam dan tidak dapat menjawab. Bukanlah bermaksud Saidina Umar tidak mampu untuk menjawab, tetapi soalan yang ditanya adalah mengelirukan. Umar adalah sahabat Nabi SAW yang pintar. Sehingga Rasulullah pernah berkata sekiranya ada nabi selepas Baginda, Umar adalah orangnya.

Maka Saidina Umar mengarahkan Saad bin abi Waqas untuk memanggil Saidina Ali. Saidina Ali datang ke pejabat Saidina Umar dan berjumpa dengan orang yahudi itu tadi. Diajukan soalan yang sama kepada Ali. Ali berkata kepada yahudi itu bahawa kelima-lima makhluk itu wujud dalam al-Quran. Orang yahudi tadi terkejut dan hairan. Dan berikut adalah 5 makhluk yang Saidina Ali maksudkan yang terdapat dalam Al-Quran.

Nabi Adam a.s.

Allah SWT rakamkan penciptaan Nabi Adam a.s. lebih daripada 10 ayat dalam Al-Quran. Nabi Adam diciptakan terus oleh Allah SWT tanpa melalui ibu. Dan ini merupakan kisah luar biasa.

Siti Hawa

Siti Hawa merupakan isteri kepada Nabi Adam. Dia dijadikan dari tulang rusuk kiri Nabi Adam. Sebab itu kita di alam melayu ini ketika majlis persandingan, perempuan akan duduk disebelah kiri. Ia mengambil iktibar dari kisah ini. Nabi Muhammad pernah bersabda, Wanita umpama tulang rusuk, kalau kamu berkeras ia patah, kalau dibiarkan ia tetap bengkok. Begitulah antara sifat kaum wanita.

Unta yang berwarma putih yang diturunkan kepada Kaum Tsamud

Saya yakin mungkin jarang antara kita mendengar kisah ini. Iaitu di zaman Nabi Salleh. Ketika Nabi Salleh diutuskan kepada Kaum Tsamud, Baginda telah dikurniakan mukjizat berupa seekor unta putih. Ada 72 ayat dalam 11 surah menceritakan tentang kisah mengenai unta putih.

Ular yang terjadi dari tongkat Nabi Musa a.s.

Ini juga merupakan kisah luar biasa yang diceritakan dalam al-Quran. Nabi Musa terkenal dengan tongkatnya. Ada 2 kali tongkat Nabi Musa berubah menjadi ular. Peristiwa pertama ialah ketika Allah berbicara dengan Musa. Allah perintahkan tongkat itu dicampakkan dan ia berubah menjadi ular. Peristiwa kedua ialah ketika Musa berdialog dengan firaun. Ketika dimana ular yang berubah dari tongkat telah memakan semua ular-ular ahli sihir firaun. Saat itu semua ahli sihir beriman kepada Allah sehingga firaun membunuh semua ahli sihirnya. Semua kisah luar biasa ini ada dirakamkan dalam Al-Quran.

Kambing biri-biri yang disembelih oleh Nabi Ibrahim a.s.

Ini merupakan peristawa penyembelihan Nabi Ismail. Nabi Ibrahim diwahyukan Allah dalam mimpi sembelih anaknya sendiri. Taat baginda menuruti perintah Allah. Ketika saat penyembelihan, Allah tukar Nabi Ismail kepada kambing biri-biri.

PENGAJARAN DAN KESIMPULAN

Ketika selesai Saidina Ali menerangkan tentang kisah ini, terkejut orang yahudi itu tadi. Tetapi yahudi tetap tidak berpuas hati kerana soalan itu sepatutnya dijawab oleh Umar. Dia menanyakan soalan yang lain kepada Ali. Kisah ini menunjukkan bahawa yahudi ini memang terkenal dengan sikap berdolak dalik.

Apa yang boleh saya simpulkan betapa banyak ikhtibar kita boleh pelajari dari kisah ini. Kisah luar biasa ini tanda bahawa al-Quran adalah mukjizat agung yang ada pada umat Islam pada hari ini.

Dalam konteks masyarakat kita, masih ramai dikalangan kita tidak menyedari kehebatan Al-Quran itu. Cuba sekadar hiasan di rumah. Itupun mungkin ada yang dah berhabuk. Mari la kita sama-sama merenung kembali diri kita, keluarga kita, dan kehidupan kita. Kisah-kisah luar biasa ini tidak Allah ceritakan dalam Al-Quran melainkan untuk kita berfikir dan mendapat pengajaran disebalik kisah ajaib ini.

Gunakanlah tongkat yang ada pada kita untuk berjuang di jalan Allah. Apa tongkat kita? Saya sendiri pun tidak pakai tongkat. Apa yang kita ada sebenarnya itulah tongkat kita. Tongkat yang kita gunakan untuk kebaikan diri, keluarga, dan umat Islam amnya. Handphone, ipad, kenderaan, jawatan itu semua adalah tongkat kita. Selagi tandatangan kita masih laku, miliki kuasa, itu la tongkat kita. Anggap la pen itu umpama tongkat. Sekali ditulis, ia berubah menjadi ular anaconda. Begitulah perumpamaanya.

Saya harap artikel ini dapat kita gunakan untuk diceritakan kepada orang lain sebagai satu pengajaran. InsyaAllah saya akan sambung lagi artikel berkaitan kisah luar biasa pada post saya yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *