Skip to main content

5 SUV/MPV PILIHAN TERBAIK UNTUK KELUARGA

Anak ramai, barang banyak, kereta tak muat, dan mula berfikir nak beli SUV/MPV?

Kalau anda ada masalah seperti di atas, kita berkongsi masalah yang sama. Kali ini saya kongsi apa yang saya rasa merupakan penyelesaian kepada masalah ini. Mencari kereta SUVMPV baru.

Untuk mereka mempunyai ramai anak, pengunaan kereta sedan mungkin sudah kurang sesuai. Inilah masanya untuk berpindah ke kenderaan baru yang lebih besar dan selesa.

Tapi, banyak perkara perlu diambil kira sebelum membeli kenderaan baru. Terutamanya berkaitan kewangan.

MENGAPA SUV/MPV

Besar, luas, dan selesa untuk keluarga. Saya sebenarnya sudah ‘mengkaji’ hampir 10 buah jenis SUV/MPV di pasaran.

Berikut, 5 kenderaan SUV/MPV yang menjadi antara pilihan terbaik saya. Saya akan jelaskan apa yang suka dan tidak suka pada kenderaan tersebut.

Selamat membaca.

NISSAN SERENA

Suatu masa dahulu, saya sangat skeptikal dengan ‘design kotak akuarium’ dan ‘peti sejuk berjalan’ daripada Serena.

Memang design begini secara jujurnya saya kurang berminat.

Tetapi, itu dulu. Cerita minat sebelum kahwin. Sekarang, pandangan saya mula berubah selepas mula mengenali Serena secara lebih dekat lagi.c

APA YANG SAYA SUKA

Design dan rekabentuk dalaman Serena kelihatan lebih mewah dan elegen. Grill depannya berbentuk V-motion memberi wajah yang segar dan moden.

Serena juga mampu memuatkan 7 orang dewasa. Dengan selesa.

Paling saya tertarik, lubang aircond ada pada setiap baris tempat duduk. Sangat memberi keselesaan kepada anak anak.

Satu perkara yang saya sangat puji mengenai Serena ialah terdapat 6 beg udara. Keselamatan adalah elemen penting dalam memilih sesebuah kenderaan.

APA YANG SAYA TIDAK SUKA

Saya tak suka bahagian cerminnya yang luas, menyebabkan anda perlu kos lebih untuk tinted.

Selain tu, oleh kerana ini ialah sebuah MPV, jangan mengharapkan pemanduan seperti sebuah sedan. Ia tetap sebuah van.

PEUGOUT 5008

Jika anda pandang semacam pada jenama eropah dari Perancis ini, Saya pun sama juga sebelum ini.

Berapa banyak sangat jenama ini yang kita boleh lihat di atas jalanraya Malaysia.

Tetapi benar orang kata, tak kenal maka tak cinta.

Model ini mendapat review yang sangat memberangsangkan di luar negara. Tidak hairanlah, ia telah dianugerahkan car of the year di Eropah.

APA YANG SAYA SUKA

Ada 2 perkara saya suka tentang model ini. Pertama, ia boleh memuatkan 7 orang dewasa dengan selesa, khususnya bagi sebuah model SUV.

Kebanyakan SUV di pasaran tidak menawarkan tempat duduk barisan ketiga. Jika ada pun, mungkin 2 tempat dibelakang hanya sesuai untuk kanak-kanak.

Kedua, pastinya rekaan dalaman terutamanya bahagian pemandu yang sangat futuristik. Ia memberi pengalaman pemanduan seakan dalam sebuah kokpit kapal terbang.

APA YANG SAYA TIDAK SUKA

Jika ada perkara utama yang saya tak suka pada model ini, ia pastinya ialah mengenai part dan servis selepas jualannya.

Pusat servis yang tidak banyak, dan part yang mungkin sukar untuk diperolehi di pasaran.

TOYOTA INNOVA

Nama Toyota Innova tidak perlu lagi diperkenalkan. Model Innova terbaru ini tampil dengan spesifikasi yang lebih menarik, dan wajah yang lebih segar.

APA YANG SAYA SUKA

Model ini memberi satu perasaan memandu sebuah MPV tanpa rasa gentar meredah pelbagai jenis jalan termasuk offroad.

Oleh kerana ia berkongsi pelantar yang sama dengan Hilux, keutuhan sistem suspensinya dan kelasakanya memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Satu yang patut saya puji ialah ruangan dalamannya yang jauh lebih baik berbanding model sebelum ini. Lebih rasa selesa, mewah dan lebih kedap bunyi.

APA YANG SAYA TIDAK SUKA

Badan Innova kelihatan besar. Tetapi, ruangan dalamannya tidaklah luas seperti pandangan dari luar.

Kalau anda mementingkan ruangan besar sebuah MPV, Innova mungkin bukan pilihan tepat.

KIA CARNIVAL

Mungkin kerana ia jenama kereta dari Korea serta hadir dengan harga premium, Kia Carnival kurang mendapat perhatian.

Tetapi, ini adalah model MPV yang paling menarik banyak perhatian saya. Rekaannya yang besar, tetapi sangat elegan untuk sebuah MPV.

APA YANG SAYA SUKA

Ini adalah sebuah MPV yang hadir dengan kuasa yang kuat, dan ruang dalaman yang luas. USB port yang banyak. Penghawa dingin di setiap barisan. Kotak penyimpanan barang dan minuman yang banyak.

Mempunyai anak sampai 8 orang? Jangan risau. Untuk model terbaru 2020, Carnival hadir dengan satu varian sahaja iaitu 11 tempat duduk.
Ya, 11 tempat duduk.

APA YANG SAYA TIDAK SUKA

Jujur saya lebih suka model tahun sebelum ini, iaitu yang mempunyai konfigurasi 8 tempat duduk. Pada saya ia sudah cukup untuk sebuah keluarga kebanyakan di Malaysia.

Satu lagi ialah pusat servis Kia yang masih tidak banyak di Malaysia. Untuk harga yang mencecah lebih 180k bagi sebuah model dari Korea, KIA harus memikirkan sesuatu tentang ini.

ALPHARD / VELLFIRE

Mungkin ramai yang mengangkat kening kenapa saya senaraikan model mewah golongan ‘ada-ada’ ini. Sebenarnya, model Alphard dan Vellfire ini mempunyai pelbagai jenis dan harga.

Bagi yang ada budget 100K lebih, tidak salah untuk ushar model Alphard untuk dijadikan pilihan. Pilih model yang sekitar tahun 2012-2014, dimana range harganya masih dalam lingkungan mampu milik.

APA YANG SUKA

Sekalipun ia kenderaan recond dan sudah berusia lebih daripada 5 tahun, aura Alphard memang lain macam. Jenama Toyota memang dikenali kerana sangat dipercayai dan alat bahan gantian yang mudah diperolehi.

Ia juga memberi keselesaan bukan hanya kepada penumpang, tetapi juga kepada pemandu. Ruangan dalaman yang luas. Dan paling penting, ia memberikan perasaan mewah kepada sesiapa yang menaikinya.

APA YANG SAYA TIDAK SUKA

Satu perkara yang mungkin ia tidak ditawarkan ialah jaminan pemanduan sehingga 5 tahun, berbanding model kenderaan baru yang lain.

Dengan usia yang sudah melebihi 5 tahun, sekalipun ia kelihatan baru, mungkin pelbagai masalah akan mula timbul lebih awal, berbanding model baru.

APA YANG TERBAIK?

Perkongsian di atas adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam pencarian memilih SUV/MPV yang ada di pasaran tempatan.

Jika anda tanya saya mana satu antara model ini yang terbaik, jawapan ringkas ialah ia bergantung kepada apa keutamaan dan keperluan anda.

Tepuk poket, tanya selera.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *