MAMBANG MENYURUH KE SEKOLAH : SINDIRAN HALUS BUJANG LAPOK

mambang menyuruh ke sekolah : sindiran halus bujang lapok

Mambang menyuruh ke sekolah? Siapakah mambang? Apa kaitan pula dengan bujang lapok?

Filem ini sebenarnya penuh dan sarat dengan sindiran serta kritikan. Kisah di mana 3 pemuda mencari seorang pendekar untuk berguru.

Pelbagai cabaran ditempuhi yang akhirnya, mereka berjaya mengalahkan samseng-samseng yang menculik cikgu Ros.

Dalam filem tersebut, ada satu babak yang menyentuh tentang mambang.

Pastinya ramai yang tahu tentang mambang, tapi mungkin tidak tahu apa sebenarnya yang ingin disampaikan kepada penonton. Jom baca.

Mambang, apabila di google, pengertian ringkas yang diperolehi ialah berkaitan dengan jin, hantu,semangat, ataupun makhluk halus.

Kekadang saya pelik juga mengapa ada babak seolah-oleh menyuruh watak Ajis, Ramli dan Sudin mencari pendamping yakni mambang untuk bertapa.

Bukankah ia bertentangan dengan ajaran agama kita? Atau mungkin juga satu sindiran untuk merujuk kepada masyarakat ketika itu.

Untuk menonton filem, kita kena melihat dari awal penceritaan sehingga tamat. Barulah boleh membuat kesimpulan. Jangan terus hentam saja tanpa membuat penilaian.

Kehebatan filem Pendekar Bujang Lapok ini ialah apabila elemen mambang itu berjaya dijadikan lawak yang sungguh halus dengan sindiran yang tersirat.

Mungkin inilah salah satu sebab mengapa filem ini tidak bosan di tonton sehingga ke hari ini.

Bagi mereka yang menonton tanpa memahami isi tersirat, hanya gelak ketawa yang kita perolehi. Tetapi kalau kita hayati isinya, pasti topik dan isunya yang penuh sindiran akan dapat dibaca walaupun disaluti oleh lawak yang menggeletek hati.

MASIH TIDAK FAHAM?

Mari saya refresh balik ulangan dialog babak mambang dalam Pendekar Bujang Lapok.

(Babak Ajis)

Ajis : Hai mambang tanah, mambang pokok, mambang daun, mambang buah, mambang panjang, mambang pendek, mambang bujur, mambang melintang, mambang gemuk, mambang kurus, mambang tua…. (Pak Mustar terus mengambil kertas yang dibaca Ajis)

Pak Mustar: Apa yang ko baca,dan apa yang aku ajar?Aku tak ajar ni segala mambang bujur,mambang pendek,mambang bersegi,mambang melintang.

Eh..apa yang ko tulis?

Ajis: Yang saya tulis tu shorthand pakcik.

Pak Mustar: Kanapa tak boleh baca?

Ajis: saya tulis shorthand, saya baca longhand.

Pak Mustar : Betul ko ini buta Huruf, Ajis..Ajis!

(Babak Ramli)

Ramli : Kalau saya baca kena berdiri pakcik. Bodoh..tak tahu baca (sambil merujuk kepada Ajis)

Hai Mambang kuning,mambang merah, mambang putih,mambang biru, mambang coklat, mambang hitam, mambang biru air laut…

Pak Mustar : Pakcik tak ajar mambang kuning,mambang biru,mambang coklat, mambang hijau. Apa yang ko tulis (sambil merujuk kepada kertas Ramli).

Ramli : Itu tulisan arab pakcik.

Pak Mustar: kenapa duduk di bawah?

Ramli : sebab lama duduk di atas.

Pak Mustar : Bodoh..buta kayu! Duduk!

(Babak Sudin)

Sudin : Kau tak tahu baca kau bilang bodoh. (merujuk kepada Ramli). Saya baca ya pakcik.. Hai mambang tanah, mambang air, mambang api, mambang angin,..mambang mabuk minum Brandy..

Pak Mustar : eh..negeri mambang sana ada jual brandy! Ai..apa ni gambar orang-orang ni?

Sudin : itu bukan orang pakcik, itu mambang.

Pak mustar : Mambang kepala hotak kau jambul..rupanya kamu bertiga ini semuanya buta huruf..but kayu. Sekarang pakcik perintahkan..kamu mesti belajar sekolah tiga-tiga!

Mambang : Manusia bertopengkan syaitan

Durasi babak diatas hanyalah sekitar tidak sampai pun 3 minit. Namun dialog babak itu penuh dengan falsafah dan sindiran kritis.

Seperti yang saya jelaskan tadi, mambang membawa maksud hantu yang digunakan sebagai pendamping. Ini menunjukkan elemen mambang in sangat dekat dengan masyarakat Melayu.

Dalam Islam, makhluk halus adalah merujuk kepada jin, syaitan dan iblis.

Firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia.

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”.

Syaitan yang paling merbahaya sekali ialah syaitan yang bertopengkan manusia. Mereka ialah manusia yang berperangai seperti syaitan.

Ini diterangkan menerusi dialog pelbagai jenis mambang yang dilontarkan oleh watak 3 orang pendekar tersebut.

Ada pelbagai jenis manusia di dunia ini yang pelbagai bentuk, rupa, ragam, warna kulit,warna mata tetapi seperti syaitan. Nauzubillah.

Mengenal musuh dengan ilmu

Dialog Pak Mustar yang beberapakali mengungkapkan buta huruf dan buta kayu, akibat daripada tidak memahami apa yang disampaikan menunjukkan kepentingan menuntut ilmu.

Selain daripada sindiran kepada masyarakat yang pada ketika itu masih ramai buta huruf, ia juga mengandungi kritikan lebih tajam dari itu.

Untuk mengenali mambang yakni musuh, perlu menguasai ilmu. Ilmu hanya boleh dikuasai sekiranya kita dapat membaca, memahami dan mengamalkan sesuatu ilmu.

Manusia yang suka minum arak sama seperti perangai mambang

Babak dimana Sudin menyatakan mambang mabuk minum brandy menunjukkan manusia yang minum arak adalah mambang yang sebenar.

Arak itu jelas hukumnya haram dalam Islam. Ia diibaratkan umpama air kencing syaitan. Pokok kepada segala kejahatan adalah berpunca daripada arak dan yang sewaktu dengannya.

KESIMPULAN

Maka tidak hairanlah mengapa banyak karya lakonan Allahyarham P Ramlee seperti Pendekar Bujang Lapok terus segar dalam masyarakat kita.

Dialog yang disampaikan mengandungi unsur dakwah yang sangat halus penyampaiannya sehingga kita sendiri pun mungkin tidak perasan walaupun ditonton banyak kali.

Kritikan yang dilemparkan puluhan tahun lalu sebenarnya sudah terjadi ketika ini.

Lihat sahaja disekeliling kita berapa ramai ‘ekor’ mambang ‘berkeliaran’ dan ‘bermaharajalela’.

Golongan inilah yang kebanyakannya menjadi pemimpin dan ketua dalam masyarakat mahupun organisasi.

Ayuh kita menadah tangan memanjatkan doa agar kita terselamat daripada golongan mambang ini, dan tidak terpengaruh untuk menjadi mambang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *