BAGAIMANA INGIN MENJADI PENSEDEKAH YANG KONSISTEN SETIAP HARI

6057944277_c8b0e2d257_z

Salam untuk semua pembaca. Saya yakin ramai dikalangan anda pernah memberi sedekah. Tidak kira la dalam bentuk apa, selagi namanya sedekah. Kalau difahami maksud sedekah itu sangat luas definisinya.

Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa bersedekah. Kita boleh baca banyak kisah berkaitan sedekah pada zaman Nabi SAW dan para sahabat. Saya tidaklah mahu menulis tentang sejarah bagaimana sahabat nabi membudayakan sifat bersedekah. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai muslim untuk memahami dan mempelajari sejarah, bukan sekadar hafalan untuk menjawab peperiksaan.

Baiklah..kembali pada topik sedekah, berapa ramai dikalangan kita yang ada sedekah hari ini?? Di mana anda sedekah?? Soalan cepu emas untuk ditanya dan dijawab dalam hati. Sedekah melibatkan 2 pihak iaitu yang diberi sedekah dan pemberi sedekah.

Mesti ramai dikalangan kita yang pernah makan di restoran, dan ada peminta sedekah yang datang. Saya juga yakin ramai diantara kita pernah rasai pengalaman ini. Apakah reaksi kita? Cuba bayangkan kita menjadi peminta sedekah? Persoalan yang saya bangkitkan untuk kita sedar akan realitinya.

Mereka yang meminta sedekah tidak mahu lahir untuk jadi seperti itu. Allah SWT memberikan ujian yang maha hebat untuk mereka. Andai kita berada di tempat mereka, untuk membayangkan pun kita tak sanggup rasanya. Adakah kita bersyukur dengan pemberian Allah kepada kita?

Kenapa Allah SWT tidak memberi rezeki yang sama dikalangan umat manusia? Kenapa tidak semua jadi kaya? Tujuan Allah membeza-bezakan rezeki diantara kita ialah untuk kita saling bantu-membantu. Maka konsep sedekah itu adalah medium untuk kita membantu rakan dan sahabat kita yang memerlukan bantuan.

Persoalannya…adakah kita ini kerap bersedekah? Syukur sekiranya anda berada dalam golongan yang gemar bersedekah. Bagi yang kadang-kadang atau jarang-jarang bersedekah, moga dibukakan hati kita untuk menerapkan budaya sedekah dalam kehidupan seharian.

Bersedekahlah selagi kita mampu. Tidak akan jatuh miskin kita sekiranya bersedekah. Allah akan memberikan ganjaran berlipat kali ganda lagi untuk yang ikhlas mengeluarkan hartanya di jalan Allah. Allah itu Maha Pemberi lagi Maha Pemurah.

Menjawab tajuk artikel kali ini..saya senaraikan tips untuk menjadi pemberi sedekah yang konsisten. Moga kita mendapat segala kebaikan daripada perkongsian ini.

TETAPKAN NIAT..AKU MAHU BERSEDEKAH

Niat untuk bersedekah adalah kunci utama. Niat juga mestilah ikhlas. Ikhlas untuk membantu kerana Allah.

Ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Sekiranya belum ada niat, cuba pasang niat. Insyaallah akan dibukakan hati kita untuk bersedekah.

MULAKAN DENGAN YANG KECIL

Bersedekah adalah perbuatan ikhlas yang menurut kemampuan kita. Cuba mulakan dengan nilai yang sedikit. Biar sedikit, yang penting ada.

Allah tidak memandang akan nilai yang kita beri, tetapi Allah memandang akan amalan ikhlas yang kita lakukan. Sebelum besar, mulakan dengan yang kecil dahulu.

BANYAKKAN SENYUM, SENYUM ITUPUN SEDEKAH

Saya rasa semua pun tahu yang senyum itu sedekah. Apa perasaan anda sekiranya orang disekeliling kita senyum? Pasti rasa aura positif yang muncul. Itulah aura sedekah yang timbul dalam senyuman.

Lagi elok sekiranya kita bersedekah sambil senyum. Maka rajin-rajinlah senyum. Jangan la saja senyum tak tentu masa dan pasal, nanti orang anggap kita gila dan tak betul pula.

SATU HARI SATU KALI KE MASJID

Part ini saya rasa ramai yang kata apa kaitan antara masjid dan sedekah. Jawapannya ialah sangat berkait rapat. Masjid itu rumah Allah. Masjid itu tempat kita untuk beribadah.

Sekiranya kita ke masjid, insyaallah akan lahir perasaan tenang dalam jiwa kita. Dari ketenangan inilah akan lahirnya perasaan ingin membantu. Dan masjid adalah antara tempat paling mulia untuk kita memberi sedekah. Satu hari satu kali ke masjid adalah permulaan untuk kita mengubah sikap kita.

Apabila kita sudah konsisten sehari sekali ke masjid, mungkin kita akan up menjadi dua atau tiga kali sehari. Secara langsungnya, amalan sedekah kita pun bertambah. Amalan solat kita makin terjamin.

REFLEKSI DIRI SEBELUM TIDUR

Sebelum kita hanyut dibuai mimpi-mimpi indah, cuba kita refleksi akan amalan kita lakukan seharian. Tanya dalam hati, adakah suda bersedekah hari ini? Adakah amalan kita lebih baik dari kelmarin? Atau kurang baik?

Dan apakah yang kita ingin lakukan pada esok hari? Sekiranya kita amal sentiasa, percayalah kalau tidak banyak, sedikit pun akan dapat memperbaiki amalan kita.

KESIMPULAN

Saya nasihatkan untuk diri sendiri dan para pembaca..marilah kita budayakan amalan bersedekah dalam seharian. Istiqamah dalam apa yang kita lakukan. Saya perhatikan masyarakat kita masih ramai yang “payah sikit” untuk bersedekah.

Tahniah untuk yang sudah menjadikan sedekah amalan setiap hari. Tahniah juga bagi sedang berusaha..dan bagi yang ingin baru memulakan sedekah, teruskan dan pegang la amalan ini sekuat-kuatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *