BELAJAR DARI ANJING

anjing
Belajar dari anjing

 Tajuk artikel kali ini agak panas…sepanas isu kempen “I want to touch a dog”. Kalau dimelayukan nama kempen itu maka ia akan berbunyi “Aku mahu pegang anjing”. Kedengaran agak kasar bunyinya.

Mungkin bila guna bahasa penjajah agak lembut dan universal sikit bunyinya.  Pelbagai pendapat, hujah, saranan telah kita dengar dan baca berhubung isu ini.  Anda taip sahaja berkenaan isu panas ini di google, bermacam-macam artikel terhidang, tinggal kita pilih sahaja mana yang sesuai di telan oleh akal fikiran.

Keadaan ini menimbulkan suasana sedikit hura hara dikalangan masyarakat muslim di negara kita. Untuk perkongsian kali ini, saya akan huraikan dalam bentuk point, agar lebih mudah di hadam dan difahami.

Dan fokus adalah kepada mengenali anjing itu sendiri, sifat dan watak, pengaruh anjing dalam masyarakat, serta pengajaran yang kita boleh dapat daripada binatang yang bernama anjing.

Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada penulisan ini. InsyaAllah.

  1.  Saya tidaklah mengulas terperinci tentang hukum hakam mengenai anjing, kerana sudah cukup jelas. Islam itu agama Rahmat. Islam sangat menitik beratkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Bersih itu adalah separuh daripada iman. Setiap muslim itu wajib mensucikan diri daripada najis. Dan yang termasuk dalam kategori najis berat ialah babi dan anjing. Dan seluruh jumhur ulama bersepakat bahawa seluruh anggota dan badan anjing ialah najis.
  2. Dan hukum memegang anjing tanpa sebab-sebab muktabar adalah haram. Islam memberi beberapa pengecualiaan dari hukum asal ini, iaitu membenarkan anjing dipelihara untuk NIAT dan TUJUAN memburu, menjaga haiwan ternak, dan menjaga ladang.  Anda boleh rujuk fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, penerangan yang cukup jelas dan lengkap.
  3. Penganjuran kempen ini adalah seumpama membaling batu api di dalam taman dan menghunus mata jarum di atas kulit. Siapakah yang membaling batu api? Atau siapakah yang memegang jarum?. Ada banyak lagi cara untuk sebenarnya untuk memberi pemahaman kepada umat kita berkaitan isu anjing ini. Mungkin selepas ini banyak lagi kempen yang menyusul seumpanya, mungkin seperti “i want to hug a dog”, atau “i want to play with a dog”…dan tidak mustahil  akan ada kempen seperti “i want to touch a pig” atau “i want to eat a pork”. Sebelum taman terbakar, sebelum jarum menusuk ke bawah kulit.. Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

    touch a dog
    Iklan kempen “i want to touch a dog”
  4. Dalam masyarakat kita, mungkin tanpa kita sedar terdapat beberapa benda,item atau perkataan yang ada sangkut paut dengan anjing. Antaranya,perkataan anjing itu sendiri umpama penghinaan kalau disebut kepada seseorang. Perbuatan yang diumpamakan dengan anjing itu sangat jijik dan hina sungguh sifatnya.
  5. Kedua, makanan yang di gemari ramai, roti yang membalut sosej iaitu hotdog. Bunyinya nampak menyelerakan..tetapi bila dimelayukan ia menjadi Anjing Panas.
  6. Ketiga, cuba perhatikan simbol pada logo bank negara. Terdapat seekor binatang seakan-akan rusa. Tapi kalau diamati betul-betul, ia bukan rusa, tetapi amat persis seperti anjing. Itulah binatang yang terdapat dalam semua duit ringgit malaysia. Hampir saban hari kita memegang gambar anjing dalam kehidupan kita.

    images
    Simbol Bank Negara yang terdapat pada duit kertas
  7. Keempat, khas untuk pengguna telefon pintar samsung. Saya yakin ramai dikalangan kita menggunakan telefon keluaran syarikat dari korea ini. Ada satu kod kalau kita tekan akan keluar gambar anjing. Untuk jenama lain saya tak pasti.
  8. Apa yang pasti, secara sedar atau tidak logo dan simbol-simbol keanjingan telah lama bertapak kukuh di seluruh dunia. Ia ibarat `subliminal message` yang tanpa disedari, sengaja diberi oleh golongan-golongan berkepentingan kepada umat Islam secara khususnya.
  9. Meskipun anjing diharamkan di kalangan umat Islam untuk menyentuhnya, namun terdapat pelbagai kelebihan yang Allah SWT telah kurniakan kepada makhluk ini. Ini kerana Allah itu Maha Adil, lagi Maha Pemurah kepada segala setiap sesuatu ciptaanNya.
  10. Memandangkan anjing ini terletak di dalam Famili Serigala (Canine Families), maka apa yang dimiliki oleh serigala turut diwarisi oleh anjing. Ini juga benar untuk dubuk.
  11. Antara sifat anjing ialah, anjing itu sentiasa lapar,jarang makan sampai kenyang. Sifat ini adalah sifat orang-orang soleh dimana mereka tidak berada dalam keadaan terlalu kenyang. Malah sering pula berpuasa.
  12. Anjing tidak memiliki tempat yang tetap. Sentiasa berpindah rendah bagi memenuhi keperluannya. Sering berhijrah ke tempat yang lebih baik.
  13. Anjing tidak tidur pada waktu malam,melainkan sedikit sahaja.Dia selalu berjaga-jaga. Sifat ini sama seperti sifat orang-orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah. Di saat orang dibuai mimpi indah, dia bangun bersengkakang mata bermunajat dan mencari keredhaan Sang Pencipta.
  14. Jika anjing mati,dia tiada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewaris. Sifat ini adalah sifat hamba-hamba Allah yang zuhud. Tidak terikat dengan kesenangan dunia. Apa yang ada digunakan dengan sederhana. Tidak pernah tergila-gilakan mencari harta dunia seperti kita semua.
  15. Anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan dirinya daripada tuannya sekalipun dipukul dan dimarah. Sifat inilah tanda-tanda yang dimiliki oleh para murid yang siddiqin yang sedang belajar dengan Gurunya. Tidak marah dan tidak merajuk walaupun dia diuji dengan berbagai-bagai ujian. Sabar itu menjadi tunjang atau tulang belakang dirinya.
  16. Dia lebih redha dan lebih suka bertempat di tanah,tidur di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia. Ini adalah tanda-tanda orang yang tawadu’, orang-orang yang suka merendah diri dan tidak menyombong.
  17. Jika tempatnya diambil alih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, dia akan pindah ke tempat lain, tanpa merasa marah atau berdendam. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang redha akan bahagiannya.
  18. Jika anjing dipukul,dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan,dia menerimanya.Tidak ada perasaan dendam kesumat yang disimpan. Kta tidak pernah dengar anjing membawa geng-gengnya membalas dendam selepas disakiti.
  19. Jika anjing melihat orang makan,dia melihat saja dari jauh, tidak meminta-minta atau menganggu. Jika diberi makan atau tidak diberi,dia diam sahaja. Inilah sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah s.w.t. Bersyukur apa yang dikurniakan Allah kepadanya.
  20. Jika anjing berjalan atau pergi dari tempat asalnya, tidak akan menoleh ke belakang. Inilah tanda-tanda orang yang susah. Tidak terikat dengan kesenangan, dan tidak pula memandang tinggi pada kesenangan duniawi.
  21. Anjing dikurniakan dengan sifat patuh kepada pemiliknya. Ini benar untuk kesemua famili serigala, termasuklah anjing kutub yang disering digunakan oleh etnik Eskimo. Bahkan seekor anjing sanggup mengadaikan nyawa untuk tuannya.
  22. Jika anda pernah menonton sebuah rancangan di Discovery Channel, terdapat sebuah program pertandingan antara mesin pencuci paling kuat di dunia dan anjing. Adapun apabila objek yang sengaja dikotorkan dengan pelbagai kotoran dan cuma secebis kacang diletakkan itu telah dibersihkan selicin dan sekilat yang mungkin, ternyata anjing itu masih dapat mengesan bau sebiji kacang di objek tersebut. Anjing itu cuma dilatih untuk mengesan bau kacang sahaja. Betapa hebatnya anugerah yang diberikan oleh Allah kepada anjing; deria baunya.
  23. Anjing di zaman Firaun dianggap dewa. Malah terdapat pelbagai lukisan dewa-dewa mereka, diiringi oleh beberapa pengawal berkepala anjing. Ini sahaja sudah cukup meletakkan anjing `on-par` dengan kucing, kerana kucing juga dianggap suci pada zaman tersebut.

    anjing
    Anjing pada zaman Firaun
  24. Anjing juga adalah antara watak-watak kartun yang lazim digunakan di dalam bidang animasi dan penyiaran. Hampir 70% watak animasi yang dihasilkan oleh Disney (cth: Scooby-do) melibatkan anjing. Anjing di Eropah dan Amerika adalah binatang comel. Mereka tidak memahami.
  25. Semasa runtuhan Highland Tower, hampir 100 ekor anjing pengesan telah dikerah oleh pihak polis untuk mengesan mangsa. Anjing pada masa itu, mungkin bolehlah dianggap sebagai penyelamat barisan paling hadapan kepada mangsa yang masih terperangkap. Ini juga berlaku di Acheh dan selatan Thailand yang teruk dilanda Tsunami.
  26. Meskipun haram dimakan, anjing tetap diternak dan dipelihara di kebanyakan negara-negara Arab terutamanya mereka yang berkecimpung di dalam bidang pertanian dan perladangan. Ladang-ladang kurma khususnya, memerlukan khidmat anjing sebagai pengawal. Apatah lagi para pengembala kambing, anjing umpama `supervisor`.
  27. Kita kembali ke sejarah silam, sebentar. Parameswara telah mengumumkan pembukaan kota Melaka setelah melihat anjing peliharannya ditendang oleh seekor pelanduk hutan, dibawah sepohon pokok melaka. Tidak keberatan untuk kita simpulkan, bahawa pembukaan kota Melaka yang mashyur, anjinglah antara watak pentingnya.

    51d3
    Peristiwa pelanduk menendang seekor anjing parameswara
  28. Pada zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, Hang Tuah dan bangsawan-bangsawan istana memelihara anjing. Anjing-anjing mereka dirantaikan emas,perak dan permata. Anda boleh rujuk dalam hikayat hang tuah.
  29. Walau dimana tempat sekali pun di dunia, apabila di samakan dengan anjing, ia merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan yang keji.
  30. Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah: (maksudnya)
    Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     (Surah al-’Araf: 175-176).
  31. Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Firman Allah: (maksudnya)
    dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka. (Surah al-Kahfi, ayat 18).
  32. Bolehkah kita sebagai muslim memiliki anjing? Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)
    Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya. (Surah al-Maidah, ayat 4)
  33. Menurut kitab tafsir Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan binatang pemburu ialah anjing.
  34. Bolehkah kita memelihara anjing? Memelihara anjing tanpa sebab tidak digalakkan dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:
    Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud) (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  35. Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan.
  36. Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
  37. Apa yang umat Islam boleh belajar daripada isu ini? Percayalah isu anjing ini akan terus dan sentiasa berlegar dalam masyarakat kita, menjadi duri dalam daging dalam kesatuan umat amnya. Apabila isu ini redah, saya yakin akan ada lagi isu berkenaan anjing ini timbul. Jika tidak anjing, babi akan muncul.
  38. Anjing itu kebanyakkannya homeless atau tidak berumah. Lihatlah di Malaysia sekarang, berapa ramai manusia seumpama anjing, yang tidak berumah, tidak mampu memiliki rumah, dan hidup menumpang rumah.
  39. Orang yang tidak berumah ini bersifat ingin di sentuh yakni ingin bantuan. Samalah sifatnya dengan anjing. Cuma berapa ramai dikalangan umat kita ingin datang menyentuh golongan ini, rasanya ramai lagi yang sudirela menyentuh anjing.
  40. Kebanyakan rumah dikalangan kita pun sudah kelihatan seperti rumah atau kandang anjing. Kotor dan berbau. Sekadar tempat untuk tidur dan makan sahaja. Seharian hidup dihabiskan diluar. Akibatnya keluarga tidak ketentuan. Kediaman yang kotor itu melambangkan keperibadian seseorang.
  41. Sistem dalam negara kita seharian pun seakan-akan sudah dianjingkan tanpa kita sedar, baik dari sistem perbankan,pendidikan, dan lain-lain lagi.
  42. Untuk pengetahuan semua, kebanyakan tetapi bukan semua,masyarakat umat Malaysia sangat lah sensitif dengan isu-isu anjing,babi dan seangkatan dengannya. Seakan-akan ia merupakan satu dosa besar yang tidak dapat diampunkan. Tetapi seolah-olah menutup mata pula hal-hal berkaitan isu rasuah, judi, arak,zina dan sebagainya.
  43. Sebenarnya Allah SWT telah menghantar isu anjing dalam masyarakat kita untuk menguji kita. Ternyata hanya kerana seekor anjing, heboh satu negara. Kita jadi saling tuduh menuduh. Ramailah timbul pejuang papan kekunci. Melalak dan melaung seakan anjing. Masing-masing dengan hujah tersendiri tanpa ada kesepekatan. Itu baru anjing, belum lagi dajjal yang datang.
  44. Sebelum ini heboh isu kalimah Allah, selepas itu isu dna babii..dan sekarang anjing. Entah apa lagi selepas ini. Seakan ada tangan-tangan halus yang sedang mengatur gerak dari belakang. Adakah yang mengkaji siapa yang mengerakkan kempen menyentuh anjing ini? Nampak tak seolah-olah ada perancangan rapi telah disusun disitu.
  45. Akibat dari isu ini, sudah ada diskusi atau perbahasan yang menyentuh pegangan dan perbandingan mazhab-mazhab dalam sunnah wal jamaah, khusus berkaitan isu anjing.
  46. Dan Siapakah yang sebenarnya rugi dalam isu ini?? Sudah tentu umat Islam sendiri. Yang menganjurkan ialah orang Islam, yang terlebih excited dan ramai hadir ialah orang Islam, yang mengutuk pun orang Islam, dan saling berbalah berkenaan isu ini ialah sesama orang Islam.
  47. Kalau ada yang rugi, mesti ada yang untung. Itulah hukumnya. Persoalannya..siapakah golongan yang untung?
  48. Syukur…kerana masih ada tokoh-tokoh agama dikalangan ustaz dan ilmuan yang tampil memberikan penerangan yang cukup jelas berkenaan isu ini.
  49. Dimanakah Pak-pak menteri, pemimpin-pemimpin, wakil-wakil rakyat di negara kita dalam menangani isu ini? Yang Kalau berkempen dan berpidato isu politik, sungguh lancar kata-kata hujah yang dilemparkan.
  50. Ayuh kita sebagai umat Islam..umat Muhammad SAW..Umat akhir zaman..membuka mata,minda, dan hati kita untuk berfikir dalam menguatkan pegangan dan dan iman kita. Sebelum kita mengubah orang lain, masyarakat, negara dan umat..ubahlah diri kita dahulu. Sebelum kita salahkan orang, lihat dulu diri kita.
  51. Jadilah kita bangsa dan umat yang berpegang kuat kepada al-Quran dan Sunnah. Bukan sekadar pegang, tetapi dihayati dan diamal. Ketika ini, semakin hari semakin kuat dugaan yang menimpa masyarakat Islam. Lihatlah negara-negara atau kawasan yang berperang dan bergolak, semuanya melibatkan umat Islam. Mereka berperang dengan darah, kita pula berperang dengan keruntuhan akhlak.
  52. Sebagai kesimpulan, kita hendaklah belajar daripada apa yang telah berlaku. Isu ini sebenarnya memberi amaran kepada kita umat Islam agar kembali bersatu. Kesatuan yang menjadi benteng kepada segala masalah. Dan senjata kita yang paling ampuh ialah DOA. Berapa kali kah kita berdoa dalam sehari? Tepuk dada tanyalah IMAN.
  53. Semoga kita mendapat kebaikan dan manfaat walaupun sedikit daripada artikel ini. Niat saya bukanlah untuk menyinggung mana-mana pihak, jauh sekali sebagai provokasi..tetapi hanya untuk kita membuka minda seluas-luasnya betapa Allah SWT Maha Besar dan Maha Kaya. Belajarlah kita berfikir tentang alam, sebelum alam mengajar kita dengan bencana. Wallahualam.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *