Skip to main content

BERANI BERUBAH @ TAKUT REBAH

Berubah. Semua orang mahu berubah.
Berubah untuk menjadi lebih baik adalah fitrah semulajadi setiap manusia. Jika sebelum ini gagal, pasti akan mahu berubah menjadi yang berjaya.
Jika sebelum ini menggunakan motorsikal, pasti mahu berubah untuk memandu kereta.  Jika sekarang tinggal di rumah kecil, pasti mengimpikan untuk memiliki rumah besar dan mewah.
Semuanya mahukan perubahan. Pastinya perubahan yang kita impikan dan dambakan ialah menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini.
Tapi sedarkah kita yang diri kita juga sebenarnya berubah ?
Semenjak kita lahir, Allah sudah menetapkan yang kita pasti akan berubah. Dari kita bayi, kita berubah menjadi kanak-kanak.
Dalam tempoh beberapa ketika, kanak-kanak akan membesar menjadi remaja dan seterusnya dewasa.
Daripada dewasa, kita akan berubah kepada fasa terakhir kemenjadian manusia iaitu tua.
Proses yang saya sebutkan tadi merupakan satu tanda daripada Pencipta bahawa kita pasti akan berubah.
Kita dididik secara tidak lansung samada sedar atau tidak untuk berubah ataupun berhijrah.
Tubuh badan dan minda kita sebenarnya sudah dilatih dan dipersiapkan untuk berubah.
Ya, untuk berubah.
Hanya tinggal persoalannya ialah adakah kita berani atau takut untuk berhadapan dengan perubahan.
Cuba perhatikan sebatang pokok.

Pokok hanya akan statik jika tidak ada angin yang bertiup. Tiupan anginlah yang akan menyebabkan pokok bergerak dan keluar daripada keadaan statiknya.
Angin saya ibaratkan sebagai faktor tolakan penyebab berlakunya perubahan.
Apa-apa perkara atau peristiwa yang menyebabkan kita kena berubah, anggap la seperti angin tadi.
Untuk berhadapan dengan angin, pokok kena berubah daripada keadaan statiknya.
Perlu kita ingat, itu adalah lumrah dan fitrah pokok apabila berhadapan angin.
Sama halnya dengan manusia. Iaitu kita. Rohani dan jasmani kita sebenarnya sudah dipersiapkan dan dilatih untuk menerima serta berhadapan dengan perubahan.
Persoalannya ialah adakah kita cukup berani atau takut untuk berubah?
Berani untuk berubah tanda tidak takut untuk rebah.
Tetapi, takut untuk berubah adalah tanda yang kita sebenarnya sedang rebah tanpa sedar.

 

MOHAMAD HAFIZ
TANYA SAMA POKOK APA SEBAB GOYANG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *