Skip to main content

Berbicara dangan MASA

clock__by_yellowcandyfloss-d4smtzz
Masa itu tidak menunggu kita |

 Apa itu Masa?

Pernahkah kita terfikir apakah itu MASA? Bagaimanakah bentuk dan sifatnya? Adakah ia makhluk seperti kita yang boleh berkata-kata? Allah SWT tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia.

Dalam Al-Quran, Allah SWT telah bersumpah dengan masa dan waktu, yang mana menunjukkan kepentingan nilai masa dan waktu. Beberapa Surah Al-Quran dinamakan dengan merujuk perkaitan dengan masa dan waktu. Antaranya Surah Ad-Dhuha, Surah Al-Ashr, Surah Al-Fajr, dan Surah Al-Lail.

MASA atau WAKTU adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia.  Ia merupakan pemberian dan nikmat yang besar yang Allah berikan kepada sekalian umat manusia.

Islam mendidik kita agar menghargai dan tidak mensia-siakan masa begitu  sahaja. Kita hendaklah menggunakan masa itu sebaik yang mungkin agar beroleh manfaat dan tidak menyesal di kemudian hari.

Mari kita sama-sama renung kehidupan masyarakat di sekeliling kita pada masa ini. Saya perhatikan semakin hari semakin dibuai oleh kelekaan dunia yang semuanya berkait rapat dengan masa. Mengapakah ini boleh berlaku? Walhal pelbagai peringatan sudah diberi daripada pelbagai medium dan bentuk.

Masyarakat kita mendidik kita menghargai masa melalui banyak cara sejak dari zaman berzaman lagi. Antaranya melalui peribahasa. Berikut adalah beberapa peribahasa melayu yang berkaitan dengan Masa:

  1. Ada ubi ada batas, ada hari boleh balas
  2. Kecik anak, besar onak
  3. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
  4. Meluntur buluh biarlah dari rebungnya

Dan kalau kita perasan, ada satu terma dalam bahasa melayu, yang mungkin kebetulan.. akibat daripada mensia-siakan masa..iaitu MASAlah.

MASAlah akibat kelekaan yang akhirnya membawa kita semakin lalai dengan arahan dan perintah Allah SWT.  Benarlah Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda “tidak akan berlaku kiamat melainkan masa itu berjalan sangat pantas”.

Kaitan MASA dan IBADAH

Semua ibadah yang ditetapkan dalam ajaran Islam sangat berkait rapat dengan masa. Solat ada 5 WAKTU sehari. Setiap solat fardhu telah di tetapkan tempoh masa yang mesti dilaksanakan dalam masa tersebut. Sebagai contoh, sembayang Zohor tidak boleh dibuat pada waktu Asar, begitu juga sebaliknya, kecualilah atas sebab tertentu seperti musafir.

Dan setiap solat juga sudah di tetapkan bilangan rakaat yang perlu didirikan. Apa pula kaitan rakaat dengan masa? Mari kita buat sedikit pengiraan matematik mudah.

Mengikut kajian, secara puratanya masa yang diambil untuk mendirikan satu rakaat ialah selama 2 minit. Sehari jumlah rakaat 5 waktu solat wajib ialah 17 rakaat, iaitu bersamaan dengan 34 minit. Dalam seminggu, jumlah rakaat ialah 119, iaitu bersamaan dengan 238 minit. Bagi sebulan pula, jumlah rakaat ialah sebanyak 476 rakaat, sama dengan 952 minit.

Untuk tempoh setahun, jumlah rakaat ialah berjumlah 5712 rakaat, iaitu sama dengan 11424 minit. Daripada 11424 minit,  Kita tukarkan unit minit kepada jam, maka hasilnya ialah 190.4 jam. Tukarkan pula 190.4 jam kepada hari, maka bersamaan dengan 7.93 hari, kita bundarkan menjadi 8 hari.

Daripada 365 hari setahun, tempoh masa kita diperintahkan untuk mendirikan solat fardhu hanyalah selama 8 hari. 8 hari?? Ya, hanya 8 hari sahaja setahun! Itu pun masih ramai lagi umat Islam yang berasa berat dan malas untuk mendirikan solat.

Ibadah Puasa merupakan ibadah yang menahan diri daripada lapar dan dahaga serta menjauhkan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa. Ibadah ini mesti dilaksanakan pada bulan Ramadhan dan tidak boleh dilaksanakan pada bulan lain.

Waktu berpuasa ialah sepanjang bulan Ramadhan, iaitu lebih kurang 30 hari. Tempoh masa untuk kita berpuasa dalam sehari juga mestilah dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Waktu berbuka puasa juga mestilah ketika matahari telah terbenam iaitu waktu maghrib, tidak cepat atau lewat walaupun sesaat.

TIGA Kaedah BERBICARA dengan MASA

Bolehkah kita berbicara dengan MASA? Kalau boleh bagaimanakah caranya? Masa itu juga adalah makhluk dan ciptaan Allah SWT. Dan Setiap ciptaan Allah mempunyai cara untuk berinteraksi dan berhubung antara satu dengan yang lain.

Cuba kita fikirkan sejenak..bagaimana untuk memberi arahan kepada haiwan seperti ayam atau kucing? Bagaimana untuk berinteraksi dengan pokok yang baru kita tanam sehingga tumbuh subur?

Bagaimana pula dengan angin sehingga kapal terbang besi boleh terbang di angkasa? Dan semuanya ini ada kaedah yang sudah diatur olah Pencipta untuk makhluknya. Berikut adalah 3 cara untuk berbicara dengan masa iaitu :

  1. Tidak mensia-siakan masa dengan perkara yang tidak bermanfaat. Masa hendaklah diisi dengan amalan amalan yang baik yang membawa kebaikan di dunia dan di akhirat. Kita haruslah memasang impian dan cita-cita tinggi, melipat gandakan usaha dalam setiap urusan kita.
  2. Membuang sifat MALAS dan LALAI. Jangan kita membunuh masa dengan membiarkan ia berlalu tanpa membawa sebarang penghasilan yang baik. Berapa ramai manusia, masyarakat dan negara yang mundur dan ketinggalan akibat daripada sikap malas. Cuba lihat masyarakat atau negara yang maju. Kemajuan mereka adalah hasil daripada sikap rajin dan menghargai masa. Ketepatan masa sangat diutamakan.
  3. Tidak MENUNDA-NUNDA atau MELAMBAT-LAMBATkan sebarang pekerjaan daripada masanya yang sebenar. Setiap pekerjaan dan amalan masing-masing memiliki masa. Semua masa akan saling bertindih sekiranya kita melewatkannya yang mengakibatkan kelewatan dalam urusan. Kita kena ambil setiap kesempatan yang ada. Kerana dalam kesempatan itu ada peluang, dan peluang itu tidak selalu datang.

Nasihat Nabi Isa berkaitan MASA.

Nabi Isa a.s. pernah memberi nasihat yang pada saya sangat bermanfaat untuk kita amal bersama. Dalam hidup manusia ini, masa manusia ada 3 sahaja.

Yang PERTAMA,  masa yang berlalu tak akan berulang balik.  Zaman muda kita tidak akan dapat ulang baik. Walaupun sekarang ni macam-macam kolagen dan suntikan, cucuk itu dan cucuk ini untuk nampak muda kunun, tapi segi benda lain tak boleh ubah. Kudrat suda tak aktif lagi, begitu juga kesihatan tubuh badan. Yang berlalu biarkan berlalu.

Yang KEDUA,  hari esok yang belum tentu kita dapat bertemu dengannya. Adakah kita yakin masih ada esok untuk kita? Adakah Masa menunggu kita esok? Apakah ada orang yang boleh menjamin kematian tidak akan menjemput kita esok hari?

Dan yang KETIGA,  masa yang kita sedang berada padanya iaitu sekarang dan detik ini. Maka hendaklah kita gigit dan pegang masa itu sekuat kuatnya. Ini disebabkan masa ini tidak akan datang lagi sampai bila bila.

 Kaedah Nabi Muhammad SAW membahagikan MASA

1 .    Membahagikan masa untuk ibadah. Antaranya mendirikan solat wajib, solat  sunat,  wirid dan zikir kita.

2.    Membahagikan masa untuk fikir tentang diri kita sendiri. Apa yang kita telah buat,  apa yang kita sedang buat, dan apa yang kita buat untuk masa akan datang.

3.    Membahagikan masa untuk memikirkan cara untuk bertaubat kepada Allah SWT. Sentiasa berdoa dan bermusahabah. Memperbaiki segala amalan kita.

4.   Membahagikan masa untuk menghiburkan diri kita. Berhibur yang dimaksudkan  disini ialah menenangkan hati dan jiwa kita.

Saya ingin berkongsi sedikit berkaitan berhibur dengan muzik, khususnya muzik yang berkaitan dunia dan percintaan manusia. Adakah muzik dan lagu begini dapat menenangkan jiwa? Dapat menghilangkan stress? Perhatikan alam disekeliling kita. Cuba kita dengar bunyi burung bersiul. Bunyi daun-daun pokok yang ditiup angin. Bunyi air terjun. Bunyi ayam berkokok di kala subuh yang sunyi. Menerusi bunyi-bunyi ini, kita akan rasa aura ketenangan alam menyelusup ke tubuh kita. Mengapa?? Ini adalah kerana semuanya berzikir dengan Allah SWT.  Adakah kita mempunyai peluang mempunyai masa untuk menikmati ciptaan Allah SWT?

 Penutup

Ayuh..jangan kita membuang masa lagi. Aturkan perjalanan masa kita menurut perintah dan arahan Allah SWT. Kita kaji dan renung kembali kemajuan masyarakat Islam terdahulu sebagai panduan, bukan hanya sekadar bacaan.

Kita baca konteks kehidupan dan realiti masyarakat sekarang, bukan hanya sekadar direnung, tetapi untuk mencari penyelesaian masalah. Dan kita kaji masa depan, bukan untuk sekadar berangan-angan kosong, tetapi untuk merancang kejayaan umat.

InsyaAllah, sekiranya diberikan peluang dan waktu, saya akan menulis lagi artikel berkaitan masa dan waktu dari sudut perspektif yang berbeza. Mudah-mudahan perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat memberi kesedaran dan manfaat kepada kita untuk menghargai kepentingan masa.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang dalam kerugian. Allah SWT telah berfirman,

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran..

( Al-‘Ashr : 1-3)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *