MENDENGAR SUARA ANAK MUDA

Saya mulakan warkah kali ini dengan tajuk yang agak segar malar sifatnya. Dalam bahasa mudahnya, evergreen. 2 point penting daripada tajuk ini yang perlu dibawah gariskan, iaitu pertama ialah mendengar. Kedua ialah suara anak muda.
Satu sifat manusia yang semakin terhakis dikalangan masyarakat ialah sikap mendengar. Mendengar dalam erti kata masuk ke dalam telinga, terus ke otak untuk dihadam, kemudian isyarat dihantar ke hati untuk tindakan lanjut.
Hari ini, kita lebih banyak mendengar, tetapi sifatnya lebih kepada  masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Ini mengakibatkan suara yang sepatutnya didengari, sudah tidak kedengaran, ataupun sengaja atau tanpa sengaja, tidak didengar.
Anak muda pula adalah golongan yang semakin ramai populasinya dalam masyarakat. Bila dah ramai, maka suara mereka juga semakin dominan dan kuat.
Hari ini, anak muda dilabel sebagai pelapis kepimpinan negara. Ya, saya setuju. Anak muda juga diangkat sebagai golongan penting dalam memacu kemajuan negara. Ini juga saya, dan anda semua juga mungkin setuju.
Mengapa suara anak muda perlu didengar? Siapa yang patut mendengar? Dan apa yang perlu didengar?

Kegagalan memahami rintihan suara anak muda pasti akan menatijahkan sesuatu yang kurang baik. Kegagalan pihak pihak yang berkenaan menyelami naluri dan lagu anak muda, menyebabkan suara yang mulanya halus bertukar kepada kasar.
Inilah yang gagal difahami oleh sebilangan golongan khususnya ahli politik yang akhirnya dihukum pada PRU 14 yang lalu.
Golongan ahli politik, khususnya mereka yang menjawat jawatan menteri dalam kerajaan baru ini seharusnya mengambil iktibar. Anak muda sudah mula memahami bahawa suara mereka boleh menjadi penentu kepada negara. Tanpa perlu mereka masuk politik pun.
Apa yang membuatkan saya khuatir ialah apabila isu isu yang dekat dengan anak muda lambat,ataupun gagal ditangani dengan tuntas.
Lebih malang lagi, isu ini menjadi modal dalam manifesto yang dijadikan kitab dalam meraih sokongan anak muda. Sebagai contoh ialah isu PTPTN dan penghapusan Tol.
Isu pengangguran dan gaji juga antara perkara yang dekat dengan hati anak muda. Bilangan lepasan siswazah yang ramai setiap tahun gagal menembusi pasaran pekerjaan. Akibatnya, ramai diantara mereka yang terpaksa bekerja tidak mengikut kelayakan akademik mereka.  Sebagai contoh, banyak pekerjaan gred SPM diisi oleh mereka yang bergelar siswazah.
Maka, jika isu seperti kononnya lepasan Ijazah ini ramai yang memilih pekerjaan, saya kurang setuju. Malah, saya anggap ia hanya jalan keluar bagi pihak tertentu untuk menutup kegagalan mereka mengatasi permasalahan negara ini.
Menyusuri suara anak muda ini juga tidak harus kita meminggirkan aspek nilai dan rasionalnya. Saya tidak nafikan, tidak semua suara anak muda itu perlu diberi perhatian. Suara anak muda ini masih memerlukan bimbingan agar ia dapat disalurkan ke jalan yang betul.
Sekurang- kurangnya, anak muda sudah berani dan bijak bersuara.
Ia sudah tidak sewenang- wenangnya diperkotak katikkan. Akhir kata, Presiden Indonesia yang pertama Pak Sukarno pernah berkata, berikan aku sepuluh pemuda, akan aku goncangkan dunia!

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *