Skip to main content

DR. MAZLEE, KASUT HITAM, DAN MR. RAGAMAN

Saya menulis artikel ini bukan untuk niat menyokong atau menghentam sesiapa tanpa sebab. Saya memilih isu ini kerana Isu pendidikan begitu dekat di hati saya.
Malah, ia menjadi lebih menarik apabila menteri yang bertanggungjawab dalam pendidikan ialah individu yang bernama Dr. Mazlee.
Menduduki jawatan kanan dalam kerajaan PH sebagai menteri pendidikan, Dr Mazlee antara menteri yang menjadi tumpuan dalam membawa hala tuju pendidikan negara.
Selepas beberapa bulan  menjadi menteri, beliau adalah antara menteri yang saban hari di asak dengan pelbagai isu yang tidak putus-putus. Paling famous, pastinya isu kasut hitam. Tidak hairan ada segelintir masyarakat menggelarnya menteri kasut.
MENGENALI DR. MAZLEE
Secara peribadi, saya mengenali Dr Mazlee lama sebelum beliau menjadi menteri, malah sebelum beliau masuk ke kancah politik lagi.
Terus terang saya belum pernah bersemuka dengan beliau, malah beliau pun tidak kenal siapa saya. Tapi saya mengenali beliau menerusi ceramah, forum, dan sesi debat yang boleh diikuti menerusi di media sosial.
Saya sering mengikuti tulisan-tulisan beliau yang pada saya sangat memberi banyak manafaat Beliau juga sering menjadi modurator dalam sesi perdebatan dan forum.
Paling saya ingat apabila beliau pernah menjadi modurator dalam sesi perdebatan mengenai isu PTPTN, antara YB Khairy Jamaluddin dan Saudara Rafizi Ramli, beberapa tahun lalu.

Ironinya, ketika ini YB KJ dan Rafizi sedang berjuang dalam membawa prinsip mereka dalam parti masing-masing. Seorang kalah dalam pemilihan presiden parti, manakala seorang lagi sedang bergelut dalam pertandingan timbalan presiden parti. (Dr Mazlee pula sedang memegang jawatan menteri pendidikan, dimana PTPTN itu sendiri berada dalam kuasa kementerian beliau.)
Beliau juga adalah menteri yang memiliki latar belakang pendidikan agama yang tinggi, memiliki lulusan kedoktoran dalam bidang beliau, dan mempunyai kefasihan berbahasa Inggeris yang sangat baik. Beliau sudah boleh menjadi satu ikon dikalangan rakyat Malaysia yang tercari-cari ikon yang boleh dijadikan contoh.
Dalam satu ceramah yang pernah saya tonton di youtube, bagaimana beliau mengkagumi ketokohan dan kepimpinan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, yang ketika itu menjadi MB Kelantan.
Maka, tidak hairan apabila ketika mula-mula diumum menjadi Menteri Pendidikan, golongan-golongan Liberal antara puak yang lantang tidak menyokong perlantikan beliau.
Selepas beberapa bulan berada dalam kerajaan PH, rakyat Malaysia pastinya ternanti-nanti apakah dasar yang ingin dibawa oleh beliau. Harapan rakyat pastinya tinggi. Ini adalah harga yang perlu dibayar atas kemenangan dalam menumbangkan kerajaan terdahulu.
Warga pendidik yang terdiri daripada pensyarah dan guru adalah golongan yang melihat dengan dekat segala dasar dan pembaharuan yang dicanang-canang sebelum ini.
Sebagai rakyat Malaysia yang matang dan berpandangan ke hadapan, kita juga perlu bersikap jujur dan rasional. Menilai sesebuah kerajaan atau seorang menteri dalam tempoh tidak sampai setahun, dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini yang memerintah lebih 60 tahun adalah agak kurang adil.
Bagi kerajaan baru, menjadikan alasan baru memerintah, baru mengetahui kedudukan kewangan semasa, baru itu dan ini, juga pada saya tidak adil kepada rakyat khususnya yang mengundi mereka dengan harapan yang tinggi setinggi Gunung Kinabalu.
HUJAH DALAM MENYEBAR FAKTA
Apa yang penting sekarang ialah hujah. Hujah harus bersama dengan fakta kebenaran, disamping perlukan kemahiran dalam menangkis segala persepsi yang membawa kepada keburukan.
Dr. Mazlee adalah seorang menteri yang berasal daripada seorang ahli akademik. Hakikat ini perlu kita fahami secara tuntas. Beliau bukanlah seorang pejuang parti politik berpuluh tahun seperti Anwar Ibrahim, Mat Sabu, dan Lim Guan Eng (sekadar memetik nama).
Beliau terjun ke dalam politik inipun hanya  beberapa bulan sebelum PRU14, menerusi Parti Bersatu, dan kebetulannya, memenangi kerusi parlimen Simpang Renggam.
Rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan menteri-menteri yang memang berlatarkan ahli politik. Ahli politik tetap ahli politik. Apapun percakapan, pemikiran dan perbualan pasti terikat dengan falsafah politik  kepartian mereka.
Jika kita amati perkembangan isu pendidikan secara halus pasca PRU 14, pelbagai idea dan dasar yang dibawa oleh Dr Mazlee sebenarnya sangat positif untuk hala tuju pendidikan Negara kita.
Saya yakin, Isu kasut yang digemburkan mungkin hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai pembaharuan yang sedang dirangka oleh kementerian beliau. Malangnya, masyarakat kita lebih melihat isu kasut itu sebagai sesuatu yang besar lagi sensasi.
Akhirnya, isu kasut menjadi tular di media sosial. Pelbagai pandangan dan tohmahan, sindiran dan kemarahan, dilemparkan oleh para netizen.
Ini secara tidak langsung mengajar kita bahawa sebahagian masyarakat kita, masih lagi belum sedar dan terperangkap dalam mentaliti yang lama. Sebahagian besar dikalangan mereka kurang tertarik dengan isu yang bersifat nasional yang memerlukan rakyat kita berfikir.
Kita lebih seronok bercerita sesuatu yang bersifat kontrovesi dan sensasi. Lihat sahaja di media social, facebook, whaptapp, twitter dan sebagainya, masyarakat kita lebih mudah tertarik dan seronok membaca dan mengikuti kisah yang penuh nilai kontrovesi.
Lebih memburukkan keadaan, apabila ahli politik menjadikan isu ini sebagai modal untuk mereka menghentam kerajaan.
MR. RAGAMAN
Skrip cerita ini pastinya akan berulang dan berulang yang akhirnya merugikan semua rakyat Malaysia.
Teringat saya pada lagu Faizal Tahir yang berjudul Mr Ragaman. Rakyat Malaysia memang penuh dengan ragam yang memeningkan kepala.
Dr. Mazlee harus bijak bagaimana  untuk deal dengan ragam masyarakat yang sememangnya masih memerlukan didikan dan anjakan untuk perubahan. Silap percaturan, maka ada harga yag perlu dibayar. Itulah hakikatnya dalam perjuangan politik di Malaysia.
Untuk mengharapkan rakyat Malaysia berubah memang satu impian setinggi gunung. Kita doakan yang terbaik untuk melihat Malaysia terus maju. Doakan Dr. Mazlee diberikan kekuatan dan ilham dalam membawa pendidikan Malaysia ke tempat yang sepatutnya.
Selamat maju jaya YB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *