HIJRAH Ke KUBUR: Bersediakah kita?

 

Kubur
Sudah cukupkah amalan kita untuk ke kubur? photo by Uni Sol

Bismillahirrahmanirrahim.

Kali ini saya menulis artikel berkaitan hijrah ke alam kubur: Bersediakah kita?

Tajuk artikel ini nampak macam biasa biasa saja, tapi menjadi luar biasa bagi siapa yang betul-betul mendalami definisi setiap perkataan tajuk ini..terutamanya KUBUR. Pernahkah kita terfikir bagaimana rupa bentuk kuburan kita nanti?

Ataupun memberitahu sesiapa dimana kita hendak di kuburkan? Ataupun pernah terfikir design apa yang kita mahu untuk kuburan kita nanti? Kalau ada yang terfikir tentang itu…maka anda mungkin hampir tergolong dalam kalangan yang sudah bersedia untuk mati. Bersedia disini bermaksud yang sudah membuat persediaan dan bekalan yang perlu untuk berhijrah ke alam kubur ataupun barzakh.

Bagaimana pula kalau belum bersedia? Atau baru hendak memikirkan hal-hal berkaitan kematian? Sesungguhnya kematian itu pasti. Tidak cepat atau lambat walau sesaat mengikut ketentuan Allah SWT. Untuk menjawab persoalan itu, mari kita hayati proses hijrah semulajadi yang sudah, sedang, dan akan kita lalui semua.

Alam roh : Tempat permulaan Hijrah

roh
Alam roh yang penuh misteri

Semua manusia bermula dari alam roh. Dan manusia diciptakan melalui dua unsur utama iaitu jasad dan roh. Allah merakamkan penciptaan manusia dalam Al-Quran seperti berikut :

Surah Ali-Imran ayat 56, ALLAH berfirman yang bermaksud; “Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi ALLAH adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. ALLAH telah menjadikan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya : ‘Jadilah engkau!’, maka jadilah ia.” 

Surah al-Hijr ayat 29, ALLAH berfirman yang bermaksud; “Kemudian apabila AKU sempurnakan kejadiannya (Adam), serta AKU tiupkan padanya roh dari (ciptaan)KU. Maka hendaklah kamu (Iblis) sujud kepadanya.”

Bagaimanakah yang dikatakan roh dan alam roh?  Alam roh adalah alam yang tiada siapa pun tahu melainkan Allah. Begitu juga dengan roh. Semua manusia yang akan dilahirkan di dunia, roh sudah tersedia untuk mereka di alam roh. Kejadian dan penciptaan roh tidak dapat dihuraikan kerana kita tidak diberikan ilmu mengenainya.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ia merupakan alam ghaib yang tidak dapat difikirkan oleh akal kita yang sihat. Dan kita sebagai umat Islam wajib untuk beriman kepada Allah SWT.

Firman ALLAH dalam surah al-Isra’ ayat 85, yang bermaksud,

 Dan mereka pun bertanya kepada engkau dari hal roh. Katakanlah : Roh itu adalah termasuk urusan Tuhanku. Dan tidaklah diberikan kepada kamu daripada ilmu kecuali sedikit

 Hijrah ke Alam Rahim : Tanda Kebesaran Allah SWT

alam rahim
Allah SWT melindungi kita di alam rahim. Photo by AngelinaLam

Selepas alam roh, kita berHIJRAH ke alam rahim, iaitu ketika ibu mengandungkan kita.

Firman Allah dalam surah al-mukminin ayat 12-13,

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah. Kemudian Kami jadikannya air mani (yang disimpan – nutfah) dalam tempat yang kukuh (rahim).

Masa kita berada di alam rahim tidak lama iaitu 9 bulan. Ada yang lagi awal dari masa dijangkakan. Alam rahim juga merupakan alam yang kita tidak tahu bagaimana keadaannya.

Dari rahim itulah seorang bayi lahir, kadang-kadang dua iaitu kembar seiras atau tak seiras, tiga, empat, bahkan tujuh atapun lapan bayi boleh muat dalam rahim. Begitu hebatnya ciptaan Allah. Dan Rahim dilindungi oleh beberapa lapisan. Bermula dari lapisan kulit, sehinggalah ke air ketuban.

Dan kita membesar melalui beberapa fasa dan peringkat, daripada setitik air mani hinggalah menjadi ketulan daging, dan sehingga roh ditiupkan. kita membesar sehingga menjadi tubuh janin yang sempurna, dan Allah mendidik kita untuk makan dan minum menggunakan tali pusat. Lihatlah bagaimanakah Allah memelihara dengan cukup elok sekali rahim dalam perut ibu.

Hijrah ke Alam Dunia : Bermulanya sebuah hijrah

dunia
Alam dunia yang penuh dugaan

Selepas Alam Rahim, kita berhijrah ke alam Dunia. Kita lahir di dunia di sambut oleh doktor atau bidan, sambil diiringi tangisan kita. Tali pusat di potong, dan dengan sekelip mata, daripada tali pusat, Allah mengajar kita untuk menggunakan mulut untuk minum dan makan. Allah Maha Besar lagi Maha Mengasihani.

Alam dunia inilah yang kita pijak sekarang. Kita diberikan ruang dan masa yang tertentu yang telah ditetapkan untuk kita gunakan untuk melaksanakan segala arahan dan perintah Allah. Maksud ruang disini ialah kita tidak boleh tinggal di lautan, atau di udara..tetapi di atas daratan sahaja.

Manakala masa pula ialah usia kita. Usia kita di dunia sebenarnya tidak lama. Ada yang 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun, 50 60 70 tahun, bahkan ada yang sampai 100 lebih tahun. Dan ajal itu juga adalah rahsia Allah.

Salah satu perbezaan antara alam dunia dengan alam lain ialah kita boleh kita dapat melihat dan merasa perkara yang kita akan kita lalui sepanjang kehidupan di dunia, melalui pengalaman dan pengamatan.

Cuba kita fahami cerita antara abang dan adik ini. Seorang adik akan dapat melihat perkara yang mungkin dia akan hadapi menerusi abangnya. Semasa kecil, abang telah pergi berkhatan. Si adik melihat abangnya dikhatankan. Si abang bercerita mengenai perasan saat dikhatankan pada si adik dan adik mungkin dapat gambaran apa akan dihadapi secara teorinya.

Apabila sampai masa si adik di khatankan, dia pun merasa sendiri secara praktikalnya perasaan yang pernah dilalui abangnya. Semasa dewasa, Abangnya berkahwin dan mendapat anak. Abang bercerita dan berkongsi pengalaman serta tips mengenai perkahwinan kepada adik.  Adik melihat kegembiraan si abang saat melalui proses itu.

Secara teorinya adik sudah dapat gambaran dan membuat persiapan untuk gilirannya kelak. Apabila sampai gilirannya untuk berkeluarga, dia sendiri dapat merasa perasaan yang pernah dilalui oleh abangnya. Apabila sudah usia tua, abang dimasukkan ke hospital akibat sakit tenat. Abang memberitahu tentang betapa sakitnya ketika itu kepada adik.

Adik melihat sendiri keadaan abangnya saat melalui detik-detik sukar itu…sehinggalah abangnya menghembuskan nafas yang terakhir. Keadaan yang menyedarkan si adik bahawa suatu masa nanti dia akan merasa sendiri saat itu. Saat yang semua manusia akan hadapi iaitu kematian. Bezanya..si abang tadi tidak boleh lagi berkongsi pengalaman dan bercerita bermula saat roh keluar daripada jasad.

Cuba kita fahami betapa Allah mendidik kita secara kita tidak sedar tentang kehidupan di dunia ini. Kalau bukan pun menerusi abang dan keluarga kita, mungkin menerusi orang rapat, sahabat, atau sesiapa sahaja yang terjadi di hadapan mata kita.

Kita sudah diberikan panduan manual terhebat untuk kita gunakan di dunia ini, iaitu Al-Quran dan juga Sunnah daripada Nabi Muhammad SAW. Selagi kita berpegang kuat padanya, insyaAllah kita berada di jalan yang dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Hijrah ke Alam Kubur :  Hijrah yang pasti

kubur
Alam kubur yang menggerunkan

Selepas sahaja alam dunia, kita berhijrah ke alam kubur.

Alam yang kita tidak tahu apa akan berlaku pada kita kelak. Siapakah orang terakhir akan bersama kita di kubur nanti?

Adakah keluarga kita? Sahabat kita?siapa? Ya…si penggali kubur.

Si penggali kubur la yang akan bersama-sama kita semasa proses pengkuburan…sehinggalah mereka naik ke atas apabila kuburan kita hampir selesai. Dan semasa di alam kubur ini, kita tidak dapat berhubung langsung dengan alam dunia. Terputus segala perhubungan.

Apakah yang akan kita bawa ke alam kuburan? Bukan harta, pangkat, gelaran dan sebagainya..tetapi amalan yang kita lakukan semasa di alam dunia.

Hijrah ke Alam Akhirat : Pengakhiran sebuah Hijrah

akhirat
bersediakah kita untuk dihisab? antara syurga dan neraka

Alam akhirat merupakan pengakhiran segala alam. Ketika ini la kita akan di hisab. Amalan kita la yang menentukan nasib kita. Ketika itu juga segala paparan amalan kehidupan kita di perlihatkan. Semuanya bakal menentukan samada kita layak berada di syurga atau neraka.

 Penutup

Semoga artikel ringkas ini dapat memberi gambaran tentang hijrah yang kita tempuhi dalam kehidupan kita.

Sama-sama kita bermuhasabah diri. Setakat mana sudah amalan kebaikan yang kita lakukan.  Apakah lagi amalan yang diperintah Allah yang belum kita lakukan. Sudahkah kita memohon taubat atas segala kesalahan dan kesilapan yang kita sudh buat. Manusia tidak lari dari melakukan kesilapan..dan Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *