INSPIRASI DARIPADA KISAH BENAR JOHN STEPHEN AKHWARI

JOHN STEPHEN AKHWARI. Kisah pelumba dari Tanzania ini mungkin sudah pernah anda baca dan lihat daripada pelbagai sumber media. Walaupun begitu, menariknya kisah ini ialah ia bersifat universal dan kekal malar segar.
Saya tuliskan artikel mengenai beliau kerana ia membawa banyak mesej pengajaran yang dapat mencetuskan inspirasi kepada kita.
Mungkin  dalam negara kita dah tak banyak kisah seperti begini. Satu kisah yang boleh melahirkan satu semangat yang luar biasa dalam mencapai sesuatu impian.
Saya bawakan kisah ini supaya kita refresh semula azam dan impian kita agar dipenghujung nanti, kita sedar yang usaha adalah tangga sesebuah kejayaan.
Kisah ini berlaku pada tahun 1968 di Sukan Olimpik Mexico. John Stephen Akhwari (JSA) mewakili negaranya, Tanzania dalam acara larian marathon sejauh lebih kurang 42 KM.
Acara ini telah disertai oleh berpuluh pelumba daripada pelbagai negara di pelusuk dunia. Ketika larian telah memasuki separuh perjalanan, nasib malang telah menimpa JSA. Kakinya mengalami hamstring ataupun kejang dan terpaksa memberhentikan larian.

Ketika dalam memperlahankan dan memberhentikan larian itulah, beliau telah dilanggar oleh pelumba lain yang kebetulan sedang saling rapat berlari.
Akibat daripada itu, JSA mengalami kecederaan yang agak teruk pada kaki dan bahu. Setelah beberapa lama menerima rawatan, JSA tekad untuk meneruskan larian.
Nasihat pasukan kecemasan untuk memberhentikan larian tidak diendahkan. Dengan kaki yang dibalut, beliau meneruskan larian hingga ke garisan penamat.
Apabila tiba ke stadium, semua penonton terkejut dan tidak menyangka kerana masih ada lagi pelari ketika acara sudah selesai. Dengan tenang, JSA telah berjaya menuju ke garisan penamat.
Seluruh penonton tergamam melihat detik ini dan memberikan standing ovation kepada beliau.
Selesai sahaja larian, para wartawan berpusu menemubual dan bertanya soalan. Antara soal jawab yang paling legend ialah apabila seorang wartawan bertanya mengapa beliau tetap meneruskan larian.
JSA lantas memberikan jawapan berikut, “ My country did not send me 5000 miles to start the finish, but my country send me 5000 miles to finish the race.”

PENGAJARAN

Anda boleh tonton banyak mengenai kisah ini dengan lebih penghayatan di youtube.  Banyak aspek boleh kita pelajari disebalik kisah benar ini.
Ini bukan hanya kisah mengenai seorang pelari marathon semata. Ia sebenarnya tentang semangat untuk tidak menyerah kalah, dan tidak mengenal erti berputus asa.
Jika kisah ini diterbalikkan plot ceritanya, boleh sahaja JSA memberhentikan lariannya kerana dia tahu, dia tidak akan mendapat sebarang pingat, malah akan mendapat tempat tercorot.
Namun, petikan katanya tadi menunjukkan bahawa mendapat pingat itu bukanlah menjadi satu simbol sesuatu kejayaan.
Jika pingat, ganjaran, wang ataupun kedudukan dijadikan satu matlamat dalam mencapai sesuatu perkara, ia bukanlah kejayaan yang sebenar dan hakiki.
Kejayaan yang sebenar ialah berusaha sehabis boleh dalam melakukan sesuatu perkara. Serta tidak menganal erti menyerah kalah. Juga memikul amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Semoga kisah ini dapat memberi satu inspirasi dan motivasi kepada semua pembaca dalam kita menghadapi kehidupan.
Wallahualam.

 

MOHAMAD HAFIZ
BERLUMBA MENUJU AKHIRAT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *