KARISMA SEORANG YANG BERNAMA ANWAR IBRAHIM

SF_20140708_Anwar_Ibrahim_02_840_560_100

Objektif penulisan ini adalah untuk belajar daripada kebaikan seseorang. Tanpa sebarang niat prejudis dan hasutan. Tanpa ada niat yang membawa kepada unsur politik kepartian. Dan bersangka baik itu adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam.

Karisma berkait sangat rapat dengan politik. Politik itu tidak semestinya melibatkan parti politik.

Saya suka untuk belajar karisma seseorang dari tokoh-tokoh politik. Dan ramai pemimpin yang mempunyai karisma mereka tersendiri. Untuk kali ini, saya memilih Anwar Ibrahim.

Kenapa Anwar Ibrahim? Saya rasa susuk tubuh individu ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Kalau kita susuri perjalanan politiknya, maka anda lihat betapa hebatnya karisma yang ada pada Anwar. Dan ini tidak bermaksud saya menyokong parti politik yang diwakilinya.

Saya secara peribadi mengkagumi ketokohan dan karisma yang dimilikinya semenjak dari bangku sekolah lagi. Saya masih ingat sewaktu saya masih kecil, Anwar melawat sebuah kampung di sebuah pulau. Betapa ramainya manusia, malah mungkin satu kampung ingin melihat beliau.

Dan paparan ini digambarkan pada muka hadapan surat khabar tempatan ketika itu. Peristiwa yang membuat saya mula berfikir, apa yang hebat pada susuk tubuh bernama Anwar Ibrahim.

Sekali lagi ingin jelaskan, fokus penulisan ini adalah berkaitan karisma. Karisma tidak hanya datang dengan semulajadi. Karisma juga perlu diasah dan dipelajari. Pemimpin yang berkarisma adalah yang membezakan antara yang hebat dan biasa.

Karisma yang yang kita boleh pelajari daripada seorang pemimpin. Pemimpin yang yang pernah berada di puncak kesenangan. Dan jatuh ke titik bawah kesusahan.

Dalam susah dan senang, dikala usia yang semakin dipenghujung, beliau masih mampu mempengaruhi sebilangan ramai warga Malaysia untuk menyokong perjuangannya. Dan saya yakin tidak ramai pemimpin di Malaysia yang mempunyai karisma dan kemampuan seperti Anwar Ibrahim.

Saya senaraikan ciri-ciri karisma yang kita boleh belajar daripada Anwar Ibrahim.

BERPANDANGAN KE HADAPAN

Ketajaman pemikiran Anwar sehingga dapat membaca apa akan berlaku berdasarkan pemahaman pada suasana semasa. Adakala gerakan beliau sukar dibaca oleh musuh-musuh politik.

Idea beliau merupakan pemikiran yang jauh kehadapan. Beliau sentiasa mampu mengeluarkan idea-idea segar yang memukau penyokongnya. Anwar juga cerdik dalam menganalisis persekitaran dan menyesuaikan tindakan dengan persekitaran.

Dan ini merupakan faktor utama mengapa Anwar masih kekal dalam medan politik sehingga sekarang. Walaupun pelbagai rintangan yang sungguh hebat beliau tempuhi.

Mana-mana pemimpin harus mempunyai ciri ini sekiranya ingin terus kekal dan maju dalam bidang masing-masing.

Seorang pemimpin tidak harus gopoh dalam tindakan. Pikir sebelum bertindak. Jangan nampakkan kebodohan kita melalui ucapan dan tindakan. Sekiranya itu berlaku, maka orang dibawah akan hilang rasa hormat dan sokongan.

PERCAYA SEPENUHNYA DENGAN VISI, BIJAK MENGATUR LANGKAH

Apa sahaja yang dilakukan oleh Anwar, pasti  beliau akan lakukan dengan penuh semangat. Tidak berubah-ubah dalam melaksanakan sesuatu keputusan.

Antara perjuangan utama Anwar dalam politik ialah keadilan. Semenjak Anwar dipecat dari kerajaan sehingga sekarang, keadilan adalah lagu rasmi perjuangannya.

Visi mesti jelas. Dan tindakan mesti konsisten dalam mencapai visi. Sekiranya tidak sendiri tidak yakin dengan matlamat yang ditetapkan, maka hala tuju perjuangan akan kabur.

Saya tidak katakan semua tindakan Anwar itu betul. Dan tidak semua langkahnya itu salah. Namun kebijaksanaannya menyusun dan mengatur langkah harus diamati dan dipelajari.

Walaupun adakala langkahnya gagal. Adakala langkahnya berjaya dibaca. Namun sehingga sekarang, apa yang jelas,musuhnya masih gagal menguburkan karier politik dan nafas perjuangan Anwar Ibrahim.

MENJADI SUMBER INSPIRASI, DAN PERCAYA PADA KEMAMPUAN PENGIKUT

Semangat yang dimiliki oleh Anwar Ibrahim tidak perlu dinafikan lagi ini. Semangat dalam memperjuangkan ideanya. Pada usianya semakin lanjut, dia masih gagah dan kelihatan kuat. Tidak mengenal erti putus asa.

Semangat inilah yang menjadi sumber inspirasi saya secara peribadi.. Dan saya yakin ramai juga diluar sana begitu.

“Jika sanubari kita penuh ketakutan, kita akan hidup dengan ketakutan. Kalau kita nyalakan api perjuangan dalam dada kita, kita akan miliki kekuatan untuk menegakkan keadilan, menghapuskan kezaliman”.      (Anwar Ibrahim)

Walau apapun rintangan dan dugaan dalam medan perjuangannya, Anwar tidak pernah berputus asa. Walau mata ditumbuk lebam. Walau tuduhan di mahkamah tidak berpenghujung. Walau dilabel ejen Israel. walau diejek di media massa, sehingga ditelanjangkan di berita utama.

Beliau masih mampu memberikan senyuman kepada penyokongnya. Anwar masih bersemangat dengan perjuangannya. Beliau tidak mudah mengaku kalah.

Dan beliau antara pemimpin yang percaya pada kebolehan pengikutnya. Dibelakang perjuangannya, ramai dikalangan generasi muda yang mendokongnya. Termasuklah anaknya sendiri.

Salah satu kejayaan Anwar ialah beliau berjaya menonjolkan dirinya sebagai pendukung keadilan di negara kita. Dan saya tidak kata kerajaan itu tidak adil. Tapi beliau berjaya mencipta satu persepsi, yang akhirnya menjadikan idola masyarakat muda.

Dan itu antara sebab utama mengapa ramai orang muda dan golongan mahasiswa menyokong perjuangan Anwar Ibrahim.

BERANI MENGAMBIL RISIKO

Dalam apapun bentuk kepimpinan, berani mengambil risiko adalah perkara asas. Keberanian yang ditonjolkan oleh Anwar tidak harus dinafikan lagi.

Sehingga ramai dikalangan musuh-musuh politiknya gentar dengannya. Kelantangannya dalam menyuarakan hujah dan tindakan, adalah bukti keberanian.

“Jika takut dengan risiko, jangan bicara tentang perjuangan”       (Anwar Ibrahim)

Dan adakala tindakannya tidak mendatangkan hasil dan dikecam. Dan itulah harga untuk mejadi seorang pemimpin yang berani. Keberanian itulah yang menghasilkan aura karisma.

Kerana sifat berani inilah..Anwar masih mampu bertahan dalam arus politik yang penuh kekotoran.

Kalau takutkan ombak, jangan berubah di tepi pantai. Kalau takut ditiup angin, jangan jadi pokok yang tinggi. Jadilah rumput yang berada dibawah, yang sentiasa dipijak-pijak.

“Ini penguasa angkuh…ingat Anwar sudah dewasa, Anwar tidak gentar. Ini masa hadapan kita, hendak dialog tidak boleh, hendak debat tidak boleh…ini apa? Rramai kenalan saya di UK,di Turki suruh saya tinggal di sana kerana takut saya diapa-apakan, tetapi saya kata tidak, kerana saya tidak gentar untuk meneruskan karier politik saya di bumi Malaysia.”

(Anwar Ibrahim,Sinar harian.)

KEMAHIRAN BERPIDATO

Salah satu kebolehan yang dimiliki Anwar ialah kemahiran pidatonya. Hanya dengan berkata-kata, beliau mampu menarik dan mempengaruhi orang lain. Anda lihatlah mana-mana ucapannya di youtube, pasti kita akan terpukau dengan ucapannya.

Kelunakkan suaranya. Pergerakan tubuh badannya dari mula hingga akhir berucap. Unsur humor dalam ucapan. Penegasan dalam setiap isu yang diucap. Isi ucapan yang mampat, jelas dan terarah.

Struktur ucapan yang tersusun,mesra dan dekat dihati pendengar. Kelantangan dalam melantunkan suara. Ini semua antara ramuan dalam kehebatan pidato Anwar Ibrahim.

Ini adalah senjata seorang pemimpin. Untuk menjadi ketua, harus bijak untuk mempengaruhi orang disekeliling dalam menyokong tindakannya.

Dan saya yakin, belum ada lagi pemimpin yang hebat berpidato sepertinya dalam kerajaan, sekalipun Perdana Menteri kita sekarang.

Akar nibong meresap,

Akar mati dalam perahu,

Terbakar kampung kelihatan asap,

Terbakar hati siapa tahu.     

                              (Anwar Ibrahim)

KESIMPULAN

Untuk menjadi seorang pemimpin, karisma itu mesti ada. Tanpa karisma, jangka hayat kepimpinan seseorang tidak akan lama.

Anwar Ibrahim masih terus kekal sekarang adalah bukan disebabkan oleh Parti atau hartanya. Tetapi orang ramai masih sanggup menyokongnya kerana karisma yang dimilikinya.

Lihatnya pemimpin-pemimpin disekeliling kita. Belajarlah dari kejayaan dan kejatuhan mereka. Bukan sahaja melibatkan pemimpin politik. Bahkan pemimpin di peringkat jabatan, sektor, unit-unit, persatuan dan sebagainya.

Buka mata hati dan minda kita. Aura karisma masih tersembunyi dalam diri kita. Mari kita belajar untuk menonjolkan karisma kita yang tersendiri.

Bukan saya seru untuk menjadi ahli politik, tetapi untuk menjadi manusia yang berguna dalam masyarakat. Untuk menjadi Muslim yang berguna untuk umatnya.

Jangan jadikan karisma itu satu senjata untuk memecah belahkan umat seagama. Karisma itu boleh menjadi racun sekiranya tidak digunakan dengan baik. Tetapi dengan karisma yang baik, sesorang itu boleh menjadi manusia yang hebat.

Jangan kita lupa untuk belajar dari ketokohan dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Jangan kita lupa akan kehebatan khulafah Ar- Rasyidin. Sehebat manapun kita, sesungguhnya perancangan Allah itu lagi hebat.

Mari kita renung siapa diri kita.

Wallahu ‘alam bis shawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *