Skip to main content

KAU JUGA PEMBULI! BAHAGIAN 2

big_bully_by_antontang-d2c3onm

Dalam penulisan yang lalu, saya menerangkan tentang asbab punca yang mendorong berlakunya buli. Maka adalah adil untuk saya menerangkan pula apakah langkah yang mungkin perlu diambil dalam menangani kes ini.

Saya harap pencerahan ini dapat membuka dan mendewasakan minda kita. Tanpa sebarang sifat prejudis. Ini Cuma pandangan penulis. Dan anda ada hak untuk tidak setuju.

Pertama-tama sekali, buli ini lahir daripada sifat manusia itu sendiri. Ia didorong oleh perasaan dendam atau dengki terhadap individu atau kelompok tertentu.

Dan sifat manusia ini sangat kompleks dan subjektif. Betapa Maha Besarnya Allah menciptakan kita. Dan berikut merupakan point untuk anda hadami isinya.

MULAKAN DENGAN DIRI SENDIRI

Diri kita ialah permulaanya. Ubah dulu diri sendiri, sebelum kita menasihatkan orang lain. Jadi baik berbanding kelmarin. Dan berazam untuk esok lebih baik dari hari ini.

Bermula dengan diri kita,kerana kita maka akan menjadi suami, isteri, bapa, ibu, rakan, dan pemimpin. Kalau peribadi  kita elok, maka akan eloklah keluarga, masyarakat dan negara.

PERANAN KELUARGA : IBU DAN BAPA

Seperti yang saya tekankan dalam penulisan sebelum ini, tunjang dan akar adalah keluarga. Ibu dan bapa adalah tulang belakang. Seorang ibu harus sentiasa taat kepada suami.

Tanggungjawab suami menjaga dan mendidik, isteri dan anak. Perlu diingat, kebanyakan pembuli ini lahir dari keluarga yang berantakan.

Untuk mengimpikan anak yang soleh, maka lihatlah perwatakan ibubapanya. Luangkan masa setiap hari untuk bersama keluarga. Didik anak dengan watak kita.

Didik anak dengan tanggungjawab kita. Kerana perwatakan anak bermula dari rumah. Dan Pastikan rezeki yang kita makan seharian adalah dari sumber yang halal.

PERANAN PEMIMPIN SEKOLAH: GURU BESAR DAN PENGETUA

Kebanyakan kes buli berlaku di sekolah. Dan guru merupakan individu paling hampir dengan pelajar.

Institusi sekolah adalah yang paling tekesan sekiranya berlaku kes buli. Saya yakin ada sekolah yang menyembunyikan hal begini daripada umum.

Mungkin itu cara mereka menanangani kes buli. Namun, peranan pemimpin sekolah sangat penting. Jangan hanya menuding jari kepada guru.

Laksanakan langkah mencegah dan merawat. Pelbagai kempen dilaksanakan oleh sekolah. Sesi kauseling turut diterapkan.

Ada sekolah yang sudi menjemput ibubapa untuk turut sama berbincang. Dan saya tidak kata semua itu tidak betul.

Dan semuanya ini, bermula daripada pendidikan akhlak. Jangan asyik disumbat pemikiran mereka dengan peperiksaan. Dan asyik ditakutkan dengan denda hukuman. Dan jangan asyik menekan guru yang sudah sedia tertekan. Kerana kita juga manusia.

Belajarlah daripada Rasullullah SAW bagaimana Baginda berhadapan dengan kaumnya yang jahil. Baginda tidak terus menyebarkan dakwah ketika mula-mula mendapat wahyu.

Baginda perbetulkan dahulu akhlak kaumnya. Daripada akhlak yang baik, maka mudah untuk menerima ajaran.

Dan berapa ramai pemimpin sekolah yang menjadikan masjid atau surau sekolah sebagai pusat untuk mendidik akhlak? Mereka sendiri pun mungkin jarang untuk memijak kaki disana.

Dan berapa kerat pemimpin sekolah khususnya lelaki yang mengimamkan para guru dan pelajarnya bersolat di sekolah?

PERANAN PEMIMPIN MASYARAKAT DAN NEGARA: JANGAN dan JADI

Pemimpin masyarakat dan negara adalah individu yang mempunyai kuasa dalam mengawal sebarang anasir yang menjurus kepada perbuatan buli.

JANGAN bongkak dengan jawatan. Jangan asyik mengarah tanpa ilmu. Jangan asyik sibuk bercakap tentang kemajuan.

Jangan asyik sibuk dengan projek  bangunan-bangunan pencakar langit. Jalan asyik membanggakan diri tentang pencapaian itu dan ini. Jangan berbangga dengan pelan yang dirancang oleh orang luar.

Jangan asyik dengan menabur janji-janji manis. Jangan asyik bergaduh di dewan rakyat. Jangan ghairah dengan sambutan yang diraikan disetiap lawatan.

Jangan menunjuk-nunjuk dengan kemewahan. Jangan hanya muncul ketika pilihanrya semakin hampir.

Dan jangan jadi pemimpin yang tidak tahu memimpin. Hanya umpama lembu yang dosorong hidung dengan tali. Jangan jadi pemimpin yang berlagak seperti pembuli. Tidak sokong aku, kau tak dapat apa-apa. Dan paling penting jauhkan diri dari rasuah dan zina.

JADIlah pemimpin yang iklhas berjuang di jalan ALLAH. Jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan idola dalam memimpin.

Nampak ringkas petuanya..tapi inilah yang semakin ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin kita.

KESIMPULAN

Percayalah, kes buli ini akan terus malar segar dalam masyarakat kita. Hanya dengan kekuatan diri dan masyarakat dapat mencegah daripada kisah buli ini terus merebak.

Dan sekali lagi saya garis bawakan bahawa penulisan ini tidak menuding jari pada sesiapa. Niatnya untuk perbaiki amalan kita.

Sedarkan diri kita sebelum kita tidak sedarkan diri.

Ingatkan diri kita sebelum orang tidak ingat akan kita.

Sayangkan keluarga kita sebelum keluarga bencikan kita.

Jadilah pemimpin yang amanah sebelum amanah menghukum kita.

 

Wallahu ‘alam bis shawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *