KAU JUGA PEMBULI!

the_bully_by_thompson46-d30vg24

Cerita Buli ini boleh saya kategorikan sebagai kisah evergreen. Saban tahun malah setiap hari kisah ini akan menjadi topik hangat. Cuma samada ia akan didendangkan di media atau tidak sahaja. Kalau anda taip di google, pasti berderet topik berkaitan buli akan muncul. Itu belum lagi di youtube.

Dan perbincangan ilmiah ataupun teori untuk mengkaji permasalahan ini pun banyak sudah kita dengar. Untuk mengkaji punca, perkara utama yang perlu kita ambilkira ialah jangan menuding jari kepada sesiapa. Anggaplah ia satu ujian yang Allah turunkan kepada masyrakat kita. Untuk kita fahami dan hayati. Untuk kita muhasabahkan diri kita. Kalau asyik mencari sebabnya, maka akan jadilah seperti kisah dalam lagu bangau 0h bangau.

Biar saya nyatakan disini. Semuanya bermula daripada RUMAH. Rumah yang elok isinya, maka eloklah luarnya. Cukup didikan dan belaian, maka kuatlah amalan baiknya. Begitulah sebaliknya. Ibubapa adalah tunjang segala cerita ini. Kalau tunjang rapuh,maka pokok dan daun-daunya juga tidak kuat.

Realitinya, kebanyakan budak-budak pembuli ini lahir daripada keluarga yang berantakan. Ini kisah benar. Anda selidiklah sendiri hakikat ini.  Dan kes perceraian di negara kita semakin meningkat setiap tahun. Perceraian ini bermula daripada pergaduhan kecil hingga besar.

Kadang berlaku kes suami memukul isteri. Isteri menengking suami. Menampar atau merotan. Saksi kejadian biasanya ialah anak-anak. Disinilah bermula pelajaran subjek membuli.

Selepas rumah, lihat pula PERSEKITARAN. Bermula dari persekitaran rumah, hinggalah persekitaran masyarakat. Budaya gengster dikalangan masyarakat umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Itu belum lagi penyakit sosial yang lain.

Kita lihat suasana jual beli di pasar. Peniaga menaikkan harga barang sesuka hati. Ini pun boleh dianggap kes buli. Wujudnya perasaan tertindas dan tidak puas hati dikalangan kita yakni pembeli. Maka ini pun subtopik untuk pelajaran buli.

Ayuh kita ke SEKOLAH. Di sekolahlah banyak masa anak-anak diluangkan bersama rakan dan guru. Guru merupakan penggerak kepada sesebuah sekolah. Namun haikikatnya, bebanan guru semakin meningkat. Guru disuruh buat itu dan ini. Banyak tugas yang tidak ada kaitan dengan mengajar.

Akhirnya guru terbeban dan tertekan. Adakah ini pun kes buli? Saya katakan mungkin juga ya. Maka akan ada kata-kata sinis nakal berbunyi, “kalau tak suka, jangan jadi guru”.  Saya samakan ungkapan itu dengan ungkapan  seorang wakil rakyat, “kalau tak suka, jangan duduk Malaysia”.

Itu guru. Kita perhatikan pula pelajar. Anda taip sahaja di youtube, berpuluh video berkaitan budaya buli dapat disaksikan. Itu sudah cukup tanpa saya mengulas bagaimana pelajar membuli di sekolah. Bahkan ia boleh bermula seawal tahun satu lagi.

Pelajar yang sudah dibuli ini akan menyimpan perasaan dendam. Itu lumrah manusia. Cuma bagaimana ia mengeluarkan perasaan itu samada jalan yang betul atau tidak. Apabila meningkat besar, pelajar ini akan cuba mengumpul pengaruh rakan sebaya. Maka pelajar ini akan menjadi pembuli pula. Dia belajar daripada pengalaman dibuli.

Di UNIVERSITI atau KOLEJ, budaya ini tidak dapat dinafikan lagi. Mungkin sekarang sudah berkurang, tetapi budaya ragging adalah adik beradik buli. Ragging ini biasa berlaku semasa orientasi pelajar baru. Sekiranya tidak terkawal, maka pelajar pintar universiti pun akan kena buli. Dibuli pula oleh rakan senior yang “pintar” konon itu.

Di universiti ini lahirnya mahasiswa dan mahasisiwi. Mereka adalah pelapis kepimpinan negara. Adakala peraturan ketat universiti menghadkan kebolehan tersendiri pelajar. Saya tidak salahkan peraturan yang baik untuk mereka. Tetapi jangan kita samakan golongan ini seperti pelajar di sekolah.

Pendekatan ketika berhadapan dengan mahasisiwa perlu berlandaskan akhlak, ilmihah dan ikmah. Hindarkan ugutan dan hukuman berat selagi boleh. Kalau asyik diugut itu dan ini, maka tidak ada bezanya dengan sifat seorang pembuli. Perhatikan negara jiran Indonesia. Jatuhnya kerajaan Suharto adalah berpunca daripada bangkitnya golongan mahasiswa.

Di alam PEKERJAAN, budaya buli mungkin tidak sehebat atau sehangat pada zaman belajar. Mungkin tidak memerlukan adegan tumbuk menumbuk. Namun budaya ini masih ada. Demi mendapat kenaikan pangkat, demi mendapat projek, demi mendapat wang ringgit, maka adakala unsur buli terselit dalam urusanan duniawi ini.

Budaya buli ini akhirnya membawa kepada budaya rasuah. Maka duit haram rasuah ini adalah barah yang mengalir dalam darah dan daging. Budaya inilah yang akan memporak porandakan keluarga, masyarakat dan negara.

KESIMPULAN

Maka, budaya ini akan berpusing semula seperti roda. Begitulah kehidupan kita. Bukan siapa yang bersalah yang saya highlightkan disini. Bukan mencari siapa yang mula. Kerana kita semua adalah manusia biasa. kita bukan Rasul yang maksum. Pasti ada kesalahan dan kesilapan.

Jangan kita hukum sewenangnya seorang pembuli.Jangan kita hukum seperti kita seorang pembuli. Jangan asyik mengenakan tindakan buang sekolah. Jangan terus disumbat ke penjara tanpa bicara. Jangan digantung pembiyaan pelajaran mereka. Kerana mereka akan terkapai-kapai dan terus terpengaruh kepada anasir jahat. Mereka memerlukan kita.

Kita renung kembali cara hidup kita. Kita nasihatkan rakan dan masyarakat untuk bersama membuat perubahan kebaikan. Gerakkan budaya mencegah buli. Bermula dengan diri kita sendiri. Sesungguhnya Allah sedang menguji kita.

Wallahu ‘alam bis shawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *