KELUAR DARIPADA RETORIK SLOGAN

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Janji ditepati. 1 Malaysia. Keranamu Malaysia. Ini antara contoh slogan yang agak familiar dalam masyarakat kita.
Saya yakin hampir setiap warga Malaysia tahu apa itu slogan ataupun moto dan seangkatan dengannya.
Daripada bangku sekolah lagi kita didendangkan dengan slogan.
Dan Malaysia memang terkenal dengan slogan dan motonya. Apa sahaja pogram, aktiviti, ataupun manisfesto politik, pasti akan diiringi oleh slogan.
Slogan itu tidak salah. Moto juga tidak salah. Tujuan penulisan ini juga bukan untuk mencari aoa yang salah.
Slogan merupakan satu cara untuk menaikkan semangat dan menyemarakkan cita-cita. Ia mampu untuk mencipta sesuatu yang luar biasa daripada kebiasaan.
Saya umpamakan ia seperti angin. Angin yang meniup bara yang sedang menyala. Api yang baik ia akan mendatangkan manfaat. Begitu jugalah sebaliknya.
Antara ratusan slogan yang pernah saya dengar, saya paling tertarik  dengan slogan Malaysia Boleh.

Slogan ini terbukti berjaya membawa keluar ramai rakyat Malaysia daripada zon selesa. Ia berjaya mencabar kebolehan dan kekuatan jatiri.
Siapa sangka kita berjaya mencipta kejayaan demi kejayaan di luar negara dengan hanya slogan keramat 2 perkataan ini.
Perlu pembaca tahu bahawa slogan juga boleh membawa kepada sesuatu yang dilihat sebagai negatif ataupun mempunyai kepentingan tertentu.
Lihat bagaimana laungan Reformasi berjaya membawa ribuan manusia turun ke jalan raya.
Begitu juga dengan gerakan Bersih yang menggunakan slogan Bersih dan berjaya menyatukan pelbagai bangsa rakyat Malaysia turun menyatakan sokongan.
Slogan juga boleh dijadikan alat untuk menyebarkan propaganda. Contoh paling mudah ialah Janji Ditepati.
Saya terangkan tentang slogan ini agar pembaca faham untuk mudah menghadam pula maksud retorik.
Retorik ialah sejenis gaya dan seni untuk memujuk dan mempengaruhi orang lain bagi mempercayai apa yang diperkatakan.
Kebanyakan atau hampir semua orang politik mempunyai sifat ini.
Slogan itu boleh dijadikan sebagai alat retorik bagi mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.
Maka, sebab itu anda perlu bijak membaca apa yang tersirat dalam setiap slogan yang kita dengar dan lihat.
Retorik akan digunakan untuk memastikan sesebuah slogan itu mampu mempengaruhi fikiran dan tindakan kita.
Jangan biarkan diri kita terperangkap dengan permainan retorik yang menjadikan slogan sebagai alat.

 

MOHAMAD HAFIZ
MASIHKAH MALAYSIA BOLEH?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *