KISAH 3 NABI YANG DIDIAMKAN DALAM AL-QURAN

KISAH 3 NABI YANG DIDIAMKAN DALAM AL-QURAN

Ada 3 Nabi yang disebut dalam ayat Al-Quran, tetapi tiada kisah mereka diceritakan?

Bila bercerita tentang Hari Raya Aidiladha atau Haji, pasti akan berkait dengan korban.

Korban itu juga sinonim dengan kisah penyembelihan melibatkan Nabi Ismail a.s. dengan bapanya Nabi Ibrahim a.s.

Saya membawa para pembaca untuk kita menyingkap kisah yang terdapat dalam Al-Quran yang jarang disentuh tetapi sangat signifikan dengan kisah korban.

Dalam banyak kisah para nabi dalam Al-Quran, terdapat 3 Nabi Allah yang kisahnya tidak diceritakan samada secara am atau khusus. Bahkan, nama 3 Nabi ini hanya disebut dalam beberapa ayat.

Namun 3 Nabi ini antara 25 para Rasul yang wajib kita ketahui.

Siapakah 3 Nabi tersebut? Mengapa kisah mereka langsung tidak disebut dalam al-Quran? jOM

Tidak ada kisah jelas diterangkan mengenai 3 Nabi ini. Namun, ada pengajaran tersirat yang menuntut kita untuk berfikir.

Mereka ialah Nabi Zulkifli, Nabi llyasa dan Nabi Idris

Allah hanya menyebut nama 3 Nabi ini dalam beberapa ayat sahaja dalam Al-Quran.

Al-Quran juga tidak menyebut langsung kepada kaum siapa mereka berdakwah dan apa dugaan yang mereka hadapi.

Sekiranya kita rujuk mana-mana hadis pun, tidak banyak yang menyentuh kisah dan cerita 3 Nabi Allah ini.

PERSAMAAN ANTARA 3 NABI

Saya mengajak anda untuk melihat dari sudut pandang yang berbeza dengan mencari titik persamaan antara Nabi-Nabi ini.

Terdapat satu persamaan jelas yang terdapat di antara kisah ketiga-tiga nabi ini.

Persamaan itu ialah nama Nabi Idris, Nabi Ilyasa dan Nabi Zulkifli disebut dalam Al-Quran sebaris dengan nama Nabi Ismail.

Dan Nama 3 nabi tersebut diletak sebaris dengan nama Nabi Ismail dalam Al-Quran. Berikut adalah ayat-ayat yang ada menyebut ketiga-tiga nabi ini.

“Dan Ismail,Idris, Zulkifli, kesemua mereka dari golongan orang-orang yang sabar.”   (Al-Anbiya : 85)
“Dan ingatlah, Ismail, Ilyasa dan Zulkifli. Kesemuanya termasuk dalam orang-orang yang sabar.”  (Sad : 48)
“ Dan Ismail, Ilyasa, Yunus dan Luth. Masing-masing Kami anugerahkan kelebihan kepada mereka mengatasi umat-umat di zaman itu.”  (Al-Anam : 86)

KAITAN DENGAN NABI ISMAIL A.S

Saya pasti ramai yang tahu akan kisah Nabi Ismail. Kisah seorang nabi yang sering kita dengar akan kisahnya ketika menyambut Hari Raya Aidiladha.

Seorang nabi yang ketika masih bayi yang ditinggalkan oleh seorang ayah, iaitu Nabi Ibrahim di tanah pasir kering kontang bersama ibunya atas perintah Allah.

Dan apabila sudah dewasa, Allah mempertemukan semula Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun, Nabi Ibrahim mendapat perintah daripada Allah untuk menyembelih Nabi Ismail. Dialog antara ayah dan anak ini dirakamkan dalam Al-Quran.

“Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat bersabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata, “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu. Dia menjawab, “Wahai bapa, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah kamu akan mendapati aku termasuk dalam orang-orang yang sabar.”     (As-Saffat : 101-102)

Nabi Ismail merupakan nama besar dalam Islam. Kisah kesabarannya untuk redha disembelih merupakan sifat sabar tahap tertinggi seorang manusia.

Walaupun sikit kisah mereka, namun dipengakhirannya adalah sama iaitu tentang kesabaran.

Nabi Idris, Nabi Ilyasa dan Nabi Zulkifli, kesemua mereka telah ditimpa dengan ujian yang besar, sehingga kesabaran mereka Allah letak sebaris dengan kesabaran Nabi Ismail.

KESIMPULAN

Kisah nabi menuntut kita untuk menjadi manusia yang sabar. Merekalah sebenarnya yang boleh dijadikan sebagai motivasi dalam memupuk kesabaran seorang hamba Allah.

Nabi Idris, Illysa dan Zulkifli adalah nabi yang mungkin tidak popular di dunia.

Namun sekurang-kurangnya, nama mereka disebut oleh Allah dalam Al-Quran.

Begitu juga ibrah daripada kisah Nabi Ismail. Ia bukan hanya semata-mata cerita tentang penyembelihan. Ia adalah satu pengorbanan yang besar, yang memerlukan kesabaran yang hebat.

Untuk kita bersabar, jangan mengharapkan pujian dan kepopularatian.

Cukuplah kita bersabar hanya kerana Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *