Skip to main content

KITA SEBENARNYA YANG O.K.U.

screen-shot-2016-09-11-at-6-26-21-am

Dalam Bahasa Melayu, ada peribahasa yang berbunyi, umpama meludah ke langit.

Hadis Melayu bertaraf sahih ini sangat sesuai dilemparkan kepada mereka yang sebelum ini berpadangan sinis terhadap golongan orang kelainan upaya (OKU).

Sebelum kita menuding jari menuduh ‘mereka’, cermin diri terlebih dahulu (termasuk juga saya sendiri).

Mungkin dalam kita tidak sedar, kita juga pernah tergolong dalam manusia kategori itu. Jangan sampai kita meludah langit banyak kali pula.

Ok. Saya yakin semua rakyat Malaysia sekarang terkejut, terkesima, terpukau dan terpaku melihat kejayaan pasukan paralimpik negara di Rio.

Siapa menyangka mereka bukan sahaja membawa pingat emas, bahkan memecahkan rekod dunia. REKOD DUNIA. Kejayaan yang sungguh luar biasa.

Jika sebelum ini, Kita mengharapkan atlit normal yang akan membawa pingat emas kepada negara.

Maka segala tumpuan diberi kepada skuad atlit negara dengan harapan untuk mencipta keajaiban dan kemagikan.

Tetapi, seperti yang sudah tertulis dalam buku sajarah olimpik Rio 2016, kita masih kempunan membawa balik pingat emas.

Jangan salah faham. Saya tidak menyalahkan atlit di atas kegagalan mereka. Itu sudah rezeki mereka. Membawa bendera Malaysia di sukan Olimpik itu pun sudah satu kejayaan sebenarnya.

Tapi, masalah ialah mentaliti orang Malaysia. Berjaya itu maksudnya mesti mendapat nombor satu.

Lebih malang lagi, sudah kedengaran suara-suara nakal berbau rasis menyentuh sensiviti perkauman dikalangan pencapaian atlet Malaysia.

Kepada golongan ini, sila perhatikan dan renung seketika fakta dan huraian ringkas yang ingin saya dendangkan.

Kegagalan itu satu takdir setelah kita berusaha.

Mungkin Allah ingin menunjukkan sesuatu kepada atlit ataupun rakyat Malaysia. Dan memang kita sedang ditunjukkan sekarang.

Pingat Emas yang kita idam-idamkan itu rupanya dihadirkan dan dijelmakan oleh atlit Paralimpik. Bukan satu tetapi tiga.

Tiga kali lagu Negaraku berkumandang di Rio.

Tangisan mereka mengalung pingat emas merupakan tangisan yang tulus mulus lahir dari hati yang ikhlas.

Mereka hadir ke sana tanpa sebarang liputan. Tiada siapa pun kenal nama mereka. Bahkan sukan paralimpik itu sendiri pun orang mungkin tidak menyedari sudah berlangsung.

Mereka sebenarnya sedang mengajar kita yang kononya manusia ciptaan tuhan paling normal ini.

Jangan kita memandang serong pada golongan ini. Mereka sebenarnya makhluk Allah yang paling istimewa.

Dan keistimewaan mereka mungkin kita belum atau tidak nampak. Mungkin kerana kita menganggap kita lebih hebat daripada mereka.

Pengajaran besar yang boleh kita jadikan iktibar ialah berusaha dan berusaha.

Menang dan kalah itu bukan urusan kita. Dapat emas atau tidak itu juga bukan kerja kita.

Khas buat mereka yang suka sangat bermain dengan isu rasis. Sila lihat siapa jurulatih-jurulatih paralimpik kita. Bukan semuanya orang melayu.

Bahkan, yang mendidik dan membentuk datuk Lee Chong Wei pada hari ini ialah siapa lagi kalau bukan Datuk Misbun Sidek.

Kepelbagaian itu sebenarnya kekuatan Malaysia. Setiap manusia daripada pelbagai bangsa dan kaum itu hadir dengan membawa keistimewaan tersendiri.

Jangan siram api perkauman. berhentilah dari asyik melibatkan isu politik dalam sukan negara. Jangan rosakkan sukan yang menjadi medium perpaduan negara.

Maka, saya menyedarkan diri saya sendiri dan para pembaca. Ubah mentaliti kita terhadap golongan kurang upaya. Mungkin ini mesej dari Allah supaya kita rakyat Malaysia untuk membantu golongan ini dalam sistem masyarakat kita.

 MOHAMAD HAFIZ
Tahniah untuk skuad Paralimpik Negara! Anda memang luar biasa! 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *