LIMA PERKARA IKONIK YANG PERNAH DILAKUKAN OLEH TUN MAHATHIR

Antara perkara pertama yang terlintas difikiran saya apabila menyebut tentang tokoh bernama Tun Mahathir, ialah kepintaran,kegeniusan dan ketokohan beliau sebagai pemimpin.
Maka tidak hairanlah apabila Tun Mahathir keluar UMNO dan menubuhkan parti Bersatu, beliau masih dipilih sebagai presiden parti. Saya tidak ingin menyentuh sangat tentang langkah politik Tun Mahathir mutakhir ini. 
Saya juga tidak ingin menulis panjang lebar mengenai siapa itu  Tun M. Saya yakin semua rakyat Malaysia mengenali beliau. Kebanyakan kejayaan dan pembangunan yang kita kecapi hari ini adalah antara hasil kepimpinan beliau ketika memerintah kerajaan selama hampir 22 tahun.
Apa yang ingin saya kongsikan kali ini ialah tentang lima perkara ikonik pernah Tun Mahathir lakukan daripada zaman beliau menjadi Perdana Menteri hinggalah sekarang. Jika nak dihuraikan semua perkara yang pernah Tun lakukan memang tak cukup muka surat untuk tulis. Cukup sekadar lima perkara yang saya secara peribadi rasakan sangat ikonik.
Ikonik dalam erti kata satu peristiwa atau perkara yang memberi kesan dan impak samada dalam karier beliau mahupun kepada masyarakat Malaysia secara amnya.
Sekali lagi saya tekankan seperti dalam penulisan sebelum ini.
Ini bukanlah artikel mengenai politik kepartian ataupun politik ketikusan. Bukan juga sebagai wadah kempen pilihanraya. Jauh sekali untuk memburukkan mana mana pihak. 
Cukup sekadar anda buka mata dan minda. Lapangkan dada dan marilah bersama sama kita hayati lima perkara ini.

PENGENALAN WAWASAN 2020

Sebagai generasi yang lahir dan membesar di era Tun M, Wawasan 2020 adalah antara perkara yang sudah disebatikan dalam idea dan pemikiran kami.
Ketika itu saya masih di sekolah rendah. Dan Ia sebenarnya membuka mata saya untuk belajar memandang jauh.
Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun M adalah satu titik perubahan dalam mengolah rakyat Malaysia untuk berfikir sebagai satu bangsa maju yang merdeka.
Setelah melalui jangka masa panjang, hanya tinggal 2 tahun lagi kita akan berada ditahun 2020. Saya yakin dan anda juga yakin bahawa adalah mustahil semua impian yang diwawasankan akan tercapai. Mengapa ia gagal? Wallahualam.
Cuma, satu fakta yang kita tidak boleh nafikan. Idea penciptaan wawasan 2020 itu sebenarnya dalah satu kejayaan terbesar kita sebagai rakyat Malaysia.

PEMECATAN ANWAR IBRAHIM

Dalam apapun era kepimpinan seseorang pemimpin, pasti akan muncul satu watak yang akan menjadi seteru ataupun musuh utamanya. Begitu juga halnya tentang Tun M.
Seperti yang kita sedia maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara individu yang saya maksudkan tadi. Semua tahu episod duka lara yang menimpa bekas orang nombor 2 Tun M ini. Bahkan, sehingga saya menulis artikel ini, susuk tubuh yang bernama Anwar Ibrahim masih dan sedang dipenjarakan.
Pemecatan Anwar telah mengubah secara tidak lansung landskap politik tanah air. Ia juga mengubah budaya berfikir dalam berpolitik dikalangan generasi baru rakyat Malaysia.
Bermula dengan sokongan orang Melayu yang berpecah dengan tertubuhnya Parti Keadilan. Kita juga lihat bagaimana bangsa lain turut sama menyatakan pendirian mereka.
Sehinggalah melahirkan tokoh tokoh politik baru yang sedang mewarnai arena pentas politik tanah air. Semuanya bermula daripada peristiwa pemecatan Anwar yang dilakukan Oleh Tun M.
Apa yang menariknya ialah ketika ini, yang tak terbayang oleh kita 20 tahun lalu, Tun M dan Anwar Ibrahim kembali ‘bersatu’ dalam menerajui Pakatan Harapan. Pakatan yang ditubuhkan untuk menggulingkan kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

LANTANG MENGUTUK KEKEJAMAN YAHUDI DAN KETIDAKADILAN BARAT

Belum ada lagi pemimpin dari Malaysia mahupun dari rantau Asia yang dapat menandingi kelantangan Tun M dalam mengutuk kekejaman Yahudi Zionis.
Anda boleh cari sendiri di Google atau Youtube, kisah dan video yang memaparkan keberanian seorang pemimpin dari Malaysia ini yang tegas dalam memperjuangkan keadilan.
Tun M telah menjadi satu ikon yang perlu dicontohi oleh bakal bakal pemimpin negara, khususnya warga belia. Tun M telah meletakkan aras yang tinggi dalam meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak mudah untuk dipijak dan dibuli.
Sikap beliau khususnya dalam konteks hubungan antarabangsa meletakkan nama Tun Mahathir antara pemimpin yang disegani di rantau ini.

UCAPAN PERLETAKKAN JAWATAN DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

Siapa masih ingat detik peristiwa paling bersejarah ini. Bersejarah bagi saya ialah kerana ia diumumkan dalam keadaan orang lain tidak menyangka Tun M akan mengumumkan perletakan jawatan.
Bersejarah juga bagi saya kerana peristiwa ini membuktikan jiwa besar seorang pemimpin melepaskan segala kekuasaan kepada pengantinya. Dalam keadaan yang tidak terdesak atau mendapat desakan untuk meletak jawatan.
Keikhlasan dapat dirasai apabila Tun M mula untuk mengumumkan perletakkan jawatan, air matanya menitis dan suaranya bergegar. Babak ini sudah cukup untuk meruntun hati jutaan rakyat Malaysia.
Siapakah lagi Perdana Menteri Malaysia yang akan datang sanggup mencontohi peristiwa ini?

KELUAR UMNO DAN MENGETUAI BARISAN PARTI PEMBANGKANG

Keluar daripada parti Umno bukalah perkara asing bagi Tun M. Beliau pernah melakukannya ketika era Tengku Abdul Rahman dan Tun Abdullah. Bezanya, keluarnya Umno Tun M akhirnya akan disusuli dengan kembalinya beliau ke dalam UMNO.
Namun kali ini ia agak berbeza. Beliau bukan sahaja keluar UMNO tanda protes kepada Perdana Menteri, tetapi menubuhkan Parti Bersatu sebagai wadah untuk menjatuhkan UMNO pada pilihanraya ke 14.
Tidak cukup dengan itu, tindakan beliau juga bergabung dengan bekas seteru seteru politiknya untuk menubuhkan Pakatan Harapan.

KESIMPULAN

Satu perkara yang boleh dijadikan iktibar ialah bagaimana teguhnya Tun Mahathir dalam berpegang kepada prinsip yang dipercayainya.
Jatuh bangun dalam politik adalah lumrah. Musuh menjadi kawan, dan kawan menjadi musuh juga perkara yang biasa dalam politik.
Jika seseorang ahli politik itu belum pernah merasai kegagalan, kejatuhan dan kemudian kejayaan, maka ia belum cukup matang untuk berada dalam dunia politik yang penuh ‘kekejaman’ dan ‘godaan’.
Sehebatmanapun seseorang pemimpin yang kita sanjung, segenius manapun pemimpin itu mengatur langkah, akhirnya kita kembali juga kepada hakikat bahawa kita hanyalah manusia biasa.
Allah menunjukkan kepada kita betapa hebat manapun seseorang itu pernah disanjung, ia tidak akan selamanya disanjung. Setinggi manapun kedudukan kita, tidak selamanya kita akan duduk tinggi.
Semuanya kelebihan  itu hanya pinjaman yang Allah berikan kepada kita untuk diuji. Kekurangan dan kelemahan yang kita lakukan juga adalah sebagai satu ujian untuk kita menjadi yang lebih baik.
Apapun pandangan orang mengenai Tun M pada ketika ini, ia tidak akan mampu mengubah sejarah. Semoga artikel ini menjentik hati kita agar lebih menghargai  seseorang yang pernah berjasa kepada kita. 
Walau apaupun aliran fahaman politik dan kepercayaan, semoga kita terus berusaha menjadi rakyat Malaysia yang cintakan tanah air. 
BELAJAR MENJADI IKONIK

MOHAMAD HAFIZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *