MENGIMPIKAN POLITIK MATANG

Ketika saya mula berblog sekitar beberapa tahun lalu, menjadi satu matlamat utama saya untuk menjadikan blog ini sebagai wadah perkongsian ilmu dan maklumat.
Tempat untuk dijadikan sebagai mencari ikhtibar dan pengajaran untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini.
Saya berusaha untuk tidak menyelitkan unsur yang tidak elok ataupun pandangan yang berupa berat sebelah terutamanya apabila menyentuh isu politik.
Jauh sekali untuk dijadikan satu medan bagi menyokong ataupun membangkang parti politik di Malaysia, dan juga segala unsur politik kepartian.
Beberapa hari ini, tular ucapan seorang pemimpin tertinggi negara mengenai asal keturunan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Secara ringkas, kandungan ucapan itu antara lain mengaitkan nama keturunan Tun M dengan anak lelaki Kutty.
Apapun niat dan punca kenyataan ini, samada betul atau tidak, adalah tidak elok secara lumrah budaya masyarakat kita untuk menyasarkan keturunan seseorang untuk dijadikan alat berpolitik.

Sedangkan budak sekolah yang diejek nama bapanya pun akan naik berang dan menimbulkan pergaduhan, apakan pula isu yang melibatkan orang ternama seperti ini.
Mungkinkah dengan menjadikan nama dan keturunan seseorang itu, akan menenggelamkan jasa dan pengorbanannya kepada negara dan mesyarakat?
Inilah yang selalu orang katakan kepada saya bahawa politik itu sangat kejam dan kotor.
Erti kawan dan lawan boleh berubah dalam sekelip mata. Kita boleh saksikan ini sendiri dalam kancah politik tanah air sekarang.
Setelah hampir berpuluh tahun merdeka, saya dan kita semua rakyat Malaysia sebenarnya masih mengimpikan satu budaya politik matang dikalangan ahli politik.
Cara dan budaya berfikir seharusnya berubah seiring dengan zaman, yang pastinya sudah tidak sama dengan cara berpolitik berpuluh tahun lalu.
Sampai  bila jaguh politik di Malaysia harus bermain dengan sentiment keturunan, bangsa dan dendam demi hanya kelansungan dalam karier politik.
Sampai bila juga agama juga turut dijadikan senjata dalam pertarungan politik. Belum lagi soal semangat kenegerian yang tinggi nilai politiknya jika dimainkan.
Sudah sampai masanya kita menyaksikan satu politik matang. Matang dalam erti kata meletakkan ilmu pada tempat yang sepatutnya.
Semua pihak termasuk ahli politik dan rakyat, harus berfikir dan bertindak atas dasar ilmu dan pengetahuan.
Meraikan perbezaan pandangan dan fahaman dengan ilmu. Menyatukan persamaan juga dengan ilmu.
Cuba bayangkan jika ahli politik di Malaysia boleh berhujah,berbahas dan berdebat dengan ilmu. Ilmu yang bermanfaat kepada bangsa dan negara.
Tanpa dipengaruhi oleh sentimen yang hanya akhirnya akan memburukkan imej dan masa depan negara.
“Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan.”
                                                                            Al Alaq : ayat 1
 Wallahualam.

MOHAMAD HAFIZ
TIDAK SALAH UNTUK BERMIMPI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *