BAGAIMANA P RAMLEE MENYINDIR DALAM PENDEKAR BUJANG LAPOK

Beliau digelar sebagai seniman agung. Karya beliau tidak jemu ditonton dan dinikmati sekalipun sudah melebihi setengah abad.
Sebutlah apa sahaja filem-filem melayu yang anda tahu, pasti belum tentu dapat menandingi kehebatan filem lakonan P Ramlee.
Sehingga ke hari ini, karya dan susuk tubuh bernama P Ramlee ini masih dijadikan kajian samada berbentuk ilmiah mahupun santai.
Mungkin ramai masih berfikir dan bertanya. Dimana atau apa sebenarnya kehebatan lakonan dan karya P Ramlee.
Untuk menjawab persoalan ini memang agak sukar. Apa yang saya boleh simpulkan ialah menilai kehebatan seseorang itu adalah subjektif.
Kesubjektifan itu akan bertambah rumit apabila membicarakan individu bernama P Ramlee.
P Ramlee pada saya merupakan seorang genius.
Ya, genius.
Kegeniusan hasil karya P Ramlee dapat dilihat dan dirasai hingga ke hari ini.
Bagi anda yang mungkin masih belum dapat membaca di mana geniusnya P Ramlee, mari saya terangkan.
Salah satu bukti kegeniusan beliau ialah keberanian beliau menyindir golongan-golongan tertentu dalam filemnya. Gaya jenaka bersahaja sehingga mungkin orang tidak perasan dalam kegelakan itu tersirat sindiran sinis yang tajam.
Beliau mampu membawa filem yang sarat dengan mesej berat untuk diterima oleh penonton pada waktu itu. Kebanyakan mesej yang disampaikan bersifat malar segar hingga ia kekal relevan pada masyarakat pada masa kini.
P Ramlee juga dalam banyak karyanya membawa elemen-elemen baru kepada perfileman melayu. Beliau umpama menjadi trend setter kepada industri itu sendiri.
Dan semestinya, kegeniusan beliau hadir bersama bakat lakonan dan nyanyian yang memukau.
Kali ini, saya bawa anda melihat dan mengkaji beberapa babak dalam satu filem P Ramlee yang boleh diketegorikan antara karya terbaiknya. Filem Pendekar Bujang Lapok.
PENDEKAR BUJANG LAPOK
Ada 1 babak yang saya highlightkan di sini.
Babak di jeti penambang. Filem ini antara filem-filem awal yang sebenarnya memaparkan kisah gangster melayu.
P Ramlee cuba memaparkan sikap pilih kasih dan kroni yang diterjemahkan menerusi watak gangster tersebut. Lihat bagaimana sikap gangster yang akan memberi laluan mudah menaiki bot kepada sesiapa yang mereka kenali  atau mempunyai kepentingan.
Kita lihat pula watak pemilik penambang dan sampan  lakonan Ahmad Nisfu. Watak ini digambarkan sebagai seorang lelaki kaya yang bergaya seperti orang putih (berkereta mewah, berkot dan memakai topi ala British).
Sindiran halus P Ramlee dalam kita berketawa. Ahmad Nisfu sebenarnya digambarkan sebagai orang British yakni penjajah, manakala gangster-gangster merupakan tali barut British yang berwajah melayu. .
Kumpulan gangster hanya dijadikan sebagai alat aparatus untuk menindas dan menekan orang kampung di penambang.
P Ramlee telah menelanjangkan bentuk feudalisme dalam masyarakat Melayu yang melahirkan pelbagai fahaman seperti birokrasi.
Birokrasi dipaparkan dalam bentuk yang sangat santai dan penuh sinis. Perhatikan babak di mana munculnya watak pendekar Mustar yang menunjukkan penentangan terhadap ketidakadilan di penambang.
Ahmad nisfu mengarahkan ketua gangster lakonan Sariff Dol, untuk ‘menyelesaikan’ Pendekar Mustar. Sarif Dol pula mengarahkan anak-anak buahnya melaksanakan arahan Ahmad Nisfu.
Hierarki. Birokrasi. Fahaman yang begitu menapak dalam masyarakat kita sehingga menjerut leher sendiri.
P Ramlee memberitahu kita bahawa sistem yang diwariskan oleh penjajah ini mendatangkan banyak masalah. Ia boleh  menjadi punca kepada kebangkitan dan pemberontakan.
Watak Pendekar Mustar pula umpama hero yang dinanti oleh para penduduk kampung di penambang.
Namun, Pendekar Mustar sebenarnya hanya berjuang untuk diri sendiri kerana ingin menggunakan bot untuk balik ke kampung.
Bujang Lapok memarakkan obor kemuncak kemarahan penduduk dengan melancarkan pemberontakan terhadap gangster di penambang.
Namun, akhirnya bujang lapok mengikut jejak Pendekar Mustar. Mereka bijak  mengambil kesempatan terhadap keriuhan dan kekacauan di penambang dengan berjaya mendapatkan bot untuk ke seberang.
Perjuangan rakyat sebenarnya sering dikecewakan oleh pemimpin-pemimpin yang kononnya berjuang untuk rakyat tetapi sebenarnya hanya mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri.
P Ramlee bijak menyiratkan sindirannya. Dalam kita berketawa mengalir air mata, kita sebenarnya sedang mempertawakan diri kita dan masyarakat sendiri.
Tanpa ilmu dan pengetahuan, kita tidak akan menjadi apa-apa. Hanya menang sorak, kampung tergadai.

MOHAMAD HAFIZ
PEMINAT FILEM P RAMLEE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *