Skip to main content

MERAMAL SIAPA SELEPAS MUHYIDDIN

Artikel saya mengenai “Teori Rahman : Meramal siapa selepas DS Najib” beberapa ketika dahulu rupanya mendapat respon yang sangat luar biasa.

Teori yang ditulis ketika duduk di meja makan itu rupanya ramai yang telah baca.

Menariknya lagi, ada antara ramalan saya itu tepat. Kebetulan mungkin.

Beberapa hari lalu, ada pembaca yang bertanya kepada saya. Siapa pula selepas Muhyiddin?

Saya jelaskan sekali lagi yang saya bukan dukun atau nujum yang boleh membaca masa depan. Apa yang saya tulis hanyalah sekadar ramalan.

Ramalan ini pula hanya saya sandarkan kepada beberapa kajian dan bacaan sendiri. Selebihnya hanyalah berupa firasat yang entah betul atau tidak.

APA GUNA RAMALAN

Selagi namanya teori dan ramalan, ia boleh jadi kena tepat, kurang tepat atau tak tepat lansung.

Ada juga yang bertanya kepada saya. Apa faedahnya saya menulis segala ramalan ini? Saya jawab soalan tersebut dengan pernyataan berikut.

”Ramalan ini sama juga seperti buku-buku soalan ramalan SPM atau UPSR di pasaran. Kita menjawab soalan ramalan yang berkemungkinan besar keluar peperiksaan. Untuk apa? supaya kita mendapat keputusan cemerlang. Keputusan itulah yang akan mengubah hidup kita.”

Kali ini, saya menulis satu teori ramalan untuk menjawab sambungan ramalan sebelum ini. Siapa selepas Muhyiddin?

Artikel ini saya tulis bertepatan dalam suasana politik yang kelihatan tenang tapi bergelora. Ada 5 pemimpin politik yang saya ramal akan mengisi jawatan PM 9.

Selamat membaca ramalan saya.

ANWAR IBRAHIM

Anwar Ibrahim dan gelaran bakal Perdana Menteri, umpama berpisah tiada. Sebab itu, tidak sukar mengapa saya memilih nama beliau untuk bakal PM9.

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa beliau antara figura politik paling berpengaruh dalam sejarah politik Malaysia.

Dipecat, ditangkap, dihumban ke penjara, dan laungan reformasinya adalah cerita yang mewarnai politik beliau.

Tapi sayangnya, Anwar masih belum pernah memegang jawatan Perdana Menteri.

Dari satu sisi, saya percaya yang beliau masih ada aura untuk memimpin malaysia. Beliau mungkin sudah tidak selincah 20 tahun lalu, namun pengalaman dan kematangannya dalam politik Malaysia adalah kekuatannya.

Cuma satu mungkin masalah utama Anwar Ibrahim, ialah dia hidup sezaman dengan Tun Dr. Mahathir.

MAHATHIR

Satu lagi nama yang sinonim dengan jawatan Perdana Menteri selain Anwar Ibrahim, ialah tidak lain tidak bukan, Tun Dr. Mahathir.

Semua tahu dan kenal siapa Tun M. Secara peribadi, saya anggap beliau salah seorang pemimpin politik yang ‘luar biasa’.

Pernah menjawat jawatan PM ke 4, 7, 7 interim dan sekarang mungkin menjadi PM 9.

Jika betul strategi dan rundingan, tidak mustahil Tun M mencipta satu lagi sejarah menjadi PM untuk kesekian kalinya.

AZMIN

Jika tidak kerana Azmin, Langkah Sheraton tidak akan berlaku. Langkah Sheraton, bagi yang tidak tahu, adalah langkah yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Azmin merupakan antara politikus yang bijak. Beliau mempunyai karisma tersendiri dan berjaya membina pengaruh dalam politik tanah air.

Jika sebelum ini beliau berada dalam bayangan Anwar dan Mahathir, kini Azmin sudah menunjukkan belangnya dalam politik.

Sekiranya beliau berjaya mengekang pengaruh Anwar dan Mahathir untuk merebut jawatan PM. Sekiranya Anwar dan Mahathir terus tidak sepakat mengenai siapa calon PM dari blok pembangkang.

Azmin berada dalam laluan cerah menjadi PM.

SHAFIE APDAL

Ramai yang angkat kening mengapa saya meramal ketua menteri Sabah ini menjadi PM 9. Siapa tahu, mungkin bakal PM 9 berasal dari Malaysia Timur.

Sifirnya mudah sahaja. Dalam politik semua boleh jadi. Benda mustahil, boleh jadi tak mustahil.

Menggunakan stategi menarik sokongan Borneo mungkin satu strategi politik yang menguntungkan.

Saya antara yang mengkagumi beliau sebagai seorang pemimpin. Memiliki pangalaman cukup luas dalam politik tanah air.

Menjadi seorang ketua menteri untuk sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama adalah tidak mudah.

Apatah lagi memimpin Parti Warisan Sabah dalam menumbangkan Kerajaan BN pimpinan Musa Aman. Ditambah dengan politik Sabah yang begitu rencam sifatnya.

Jika blok pembangkang masih buntu mencari titik noktah pencarian calon PM disebalik pertembungan Anwar dan Mahathir, nama Shafie adalah calon yang paling sesuai untuk itu.

NAJIB

Najib? Ya Datuk Seri Najib.

DS Najib ketika pasca PRU 14 dilebelkan sebagai pemimpin yang gagal, dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Saya masih ingat lagi sewaktu PRU 14. Betapa rakyat begitu tidak sabar untuk keluar mengundi menjatuhkan kerajaannya.

Ramai jangkakan politik Najib sudah tamat dan berakhir. Saya mungkin kurang bersetuju dengan idea itu.

Perlu diingat bahawa Najib masih belum masuk penjara. Sekalipun beliau bersalah dan masuk penjara, pengaruh beliau tetap masih ada.

Orang kampung masih teringat BRIM dan segala macam bantuan ketika beliau menjadi PM.

Najib bijak menjenamakan dirinya semula. Bermula dengan tag malu apa bossku, sekarang aktif di media sosial,sehingga la menjadi model kurta raya.

KESIMPULAN

Sebenarnya, ramai lagi tokoh politik yang berkaliber yang boleh menjadi calon PM Malaysia akan datang. Saya berharap ramai pemimpin muda dan belia untuk tampil menonjol diri dalam arus politik yang begitu kompleks.

Watak politikus yang sering menghuru harakan politik negara mungkin harus diganti dengan wajah baru.

Cuma dalam kita mentafsir perjalanan politik semasa, realiti harus menjadi keutamaan. Kita kena faham permainan dan peraturan dalam pertarungan yang tidak mengenal erti kawan dan lawan.

Sebelum saya menutup artikel ini, penghargaan harus saya diberikan kepada PM 8, Tan Sri Muhyddin Yassin dalam mentadbir urus negara dikancah wabak pandemik covid 19.

Syukur Malaysia masih lagi dianugerahkan dengan keamanan dan kesejahteraan, disebalik gelora dalaman politik yang tidak menentu.

Sesiapa pun yang menjadi PM Malaysia, semoga negara kita terus aman dan damai. Jangan jadikan kita hamba kepada kerakusan politik kepartian yang tiada kesudahan.

Itulah harga yang perlu setiap rakyat Malaysia wajib pelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *