Skip to main content

PENGAJARAN DARIPADA SEEKOR TIKUS

c3706eecd14876a3576a5cbece749765

Artikel kali ini saya tuliskan sebuah kisah seekor Tikus yang sedang berhadapan dengan masalah.

Kisah ini berlaku dalam sebuah rumah di satu kampung. Dalam rumah ini terdapat seekor tikus yang sedang memerhatikan tuan rumahnya iaitu sepasang suami isteri, sedang membuka suatu bungkusan.

Rupa-rupanya, barang dalam bungkusan itu ialah perangkap tikus. Tikus mula risau setelah melihat perangkap tersebut. Pastinya perangkap itu ditujukan khas untuk memerangkapnya.

Tikus dengan pantas keluar dari rumah untuk bertemu rakannya iaitu Ayam.

Tikus : Encik Ayam, tuan rumah baru sahaja membeli perangkap tikus. Boleh tak kamu tolong saya fikirkan bagaimana mengatasi masalah ini.
Ayam : Itu masalah kamu. Perangkap tu bukan untuk menangkap ayam. Cubalah untuk fikir sendiri.

Tikus pun dengan sedih lalu meninggalkan ayam dan bertemu seekor lagi kawannya iaitu Kambing.

Tikus : Wahai Kambing, tuan rumah kita baru sahaja membeli perangkap tikus. Tolonglah saya.
Kambing : Wahai Tikus, masalah ini tiada kaitan dengan saya. Perangkap itu bukan untuk tangkap kambing. Pergilah cari ikhtiar lain.

Tikus pun kecewa dengan jawapan itu lalu berjumpa dengan seekor lagi kawannya iaitu Lembu.

Tikus : Lembu, tuan rumah telah membeli perangkap tikus nak suruh saya mati. Apa idea kamu untuk saya selamatkan diri.
Lembu : Apa kaitan perangkap tu dengan saya. Bukannya untuk tangkap lembu. Pergilah balik rumah dan jangan ganggu saya.

Akhirnya, si Tikus pun pulang ke rumah dengan penuh kekecewaan. Setibanya di rumah, tiba-tiba terdengar isteri tuan rumah menjerit.

Rupa-rupanya perangkap tikus yang dipasang telah memerangkap ular yang berbisa. Ketika isteri tuan rumah hendak mengambil perangkap tersebut, ular berbisa itu sempat mematuknya.

Isteri tuan rumah telah jatuh sakit. Sakit yang melarat menyebabkan isterinya tiada selera makan. Tuan rumah telah menangkap ayam, iaitu kawan si Tikus untuk disembelih dan dijadikan sup.

Bila orang kampung maklum akan keadaan isteri tuan rumah yang sakit, maka ramailah tetamu datang melawat ke rumah. Akhirnya, Tuan rumah telah menyembelih kambing, kawan si Tikus untuk dimasak dan dihidangkan kepada tetamu yang datang.

Dipendekkan cerita, isteri Tuan rumah meninggal dunia. Dan Tuan rumah akhirnya menyembelih lembu, juga kawan si Tikus, untuk dijadikan hidangan kenduri dan dijamu kepada tetamu yang hadir.

Akhirnya, dipenghujung cerita ini yang masih hidup ialah si Tikus. Semua kawannya tempat dia meminta pendapat dan nasihat sudah selamat disembelih.

Kesimpulan : Ikhtibar dan Pengajaran

Banyak pengajaran yang boleh kita kaitkan kisah ini dengan kehidupan masyarakat sekarang. Begitulah realitinya sekarang.

Sifat untuk mengambil tahu dan peduli dengan sekeliling sudah semakin pudar. Masing-masing dengan kehidupan sendiri.

Isu-isu sosial masyarakat seperti masalah dadah, keruntuhan akhlak dan akidah, dan sebagainya hanya dipandang sebelah mata dan sekadar angguk geleng kepala.

Kita hanya mengharapkan orang lain untuk mengatasi masalah-masalah ini. Nampak seperti tiada kaitan, tetapi sangat berkait rapat.

Kesan masalah ini jugalah yang akhirnya menimpa diri kita sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *