SEKOLAH TAHFIZ TERBAKAR. APA SEBENARNYA YANG TERSIRAT?

Ketika artikel ini dikeluarkan,  mungkin isu ini sudah agak suam kuku. Mungkin orang ramai pun dah ‘move on’ dari kisah malang ini. Malah mungkin ada yang sudah mulai sedikit lupa tentang perihal peristiwa ini.
Memang begitulah lumrah kehidupan sebenarnya. Sebab itu kisah malang seperti begini pasti akan berulang dan berulang akibat daripada kelalaian kita untuk saling mengingati dan berpesan.  
Peristiwa kebakaran sebuah sekolah tahfiz baru baru ini merupakan satu lagi sejarah hitam dalam kalendar tahun 2017. Disebalik kedukaan dan kehibaan kita meratapi kisah ini, ia sebenarnya telah  membuka mata rakyat Malaysia,(jika tidak banyak pun sedikit) mengenai sekolah tahfiz.
Pada ketika sepanjang beberapa hari selepas peristiwa malang ini berlaku, rata rata masyarakat kita bersimpati dan berkongsi rasa sedih.
Dan pada ketika inilah, pelbagai pendapat dan cadangan kita dengar dan baca, mengenai sekolah tahfiz.
Pelbagai pendapat kita boleh perolehi. Namun, yang menarik perhatian saya ialah ada juga kata kata yang boleh saya ibaratkan tak masuk akal pada situasi itu. Lebih menyedihkan, ia keluar daripada tokoh tokoh yang dikenali dikalangan masyarakat.

Ada yang mula menuding jari menyalahkan pihak itu dan ini. Ada menyalahkan sekolah tahfiz itu sendiri akibat kekurangan dari pelbagai segi. Ada pihak yang menyalahkan pihak keselamatan kerana lambat menghantar bantaun.
Dan yang paling parah ada juga pihak yang meminta semua sekolah tahfiz ditutup. Bukan untuk mengaibkan sesiapa, tetapi inilah hakikat malang yang berlaku dalam masyarakat kita.

Ketika episod sedih ini meratapi kita, ada pihak yang cuba menjadi hero mengeluarkan kenyataan yang menyedihkan.

Tanpa menidakkan langkah dan tindakan proaktif ramai pihak dalam menangani isu ini. Pujian saya berikan pada pihak yang menawarkan pelbagai bantuan kepada sekolah tahfiz di seluruh negara.
Rentetan kejadian malang ini memerlukan kita berfikir jauh untuk mencari apa hikmah yang ingin ditunjukkan kepada kita.

Kegagalan untuk berfikir, menyebabkan kegagalan kita untuk mencari punca kepada permasalahan pokok yang sedang menjerut.

Pernah tak anda terfikir mengapa ketika ini ramai ibubapa menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz? Ketika saya menulis ini, rekod mencatatkan bilangan pelajar sekolah aliran ini semakin bertambah saban tahun. Sebab itu juga, bilangan sekolah tahfiz meningkat bagi memenuhi permintaan sedia ada.
Kebanyakan anak anak yang dihantar ke sekolah tahfiz juga datang daripada latar belakang keluarga yang berkemampuan.

Persoalannya..mengapa tidak dihantar ke sekolah harian biasa?

Jawapannya ialah kerana masalah social yang semakin parah.  Kegagalan sekolah harian dalam mewujudkan persekitaran yang bebas masalah sosial menyebabkan kes disiplin semakin sukar dibendung.

Kes buli, dadah, seks bebas, gangster, dan yang sewaktu dengannya sedang meresap masuk ke sekolah sekolah negara kita.

Ini bukan tuduhan melulu. Tetapi hakikat pahit yang perlu ditelan. Bukan untuk menyalahkan sekolah harian ataupun guru. Guru juga sedang sedia terbeban menjadi barisan hadapan berhadapan dengan kesan krisis sosial masyarakat. Nak cerita tentang keperitan guru masa kini mungkin kena saya tuliskan pada artikel yang datang.
Sebab itu, sedang timbul kesedaran dikalangan ibubapa ketika ini tentang pentingnya membina kekuatan akhlak, mendahului kepentingan pencapaian akademik.
Fakta ini menunjukkan sehebat manapun kita, jika agama disisihkan, kita tidak akan menjadi orang yang hebat.

Agama itulah yang membentuk akhlak menjadi perisai kepada masalah sosial yang meruncing ketika ini.

Ini bukan cerita agama ataupun politik kepartian. Ini adalah satu rintihan ingin menyedarkan seluruh orang Malaysia bahawa sesuatu kena kita lakukan untuk menyelamatkan generasi kita.
Jika terus dibiarkan elemen ‘buat don’t know’, ‘tak ambil peduli’,dan sewaktu dengannya, maka tunggu dan lihat. Sehingga episod ini akan sentiasa berulang sehingga tidak mustahil akan kena batang hidung sendiri.
Maka kita akan terus melahirkan bakal generasi pemimpin, ketua, tokoh dan menteri masa depan, yang mengeluarkan kenyataan seperti yang di atas.
MENULIS MENCAR HIKMAH
MOHAMAD HAFIZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *