SELAMAT HARI GURU : SELAMATKAH GURU?

6c9a2c9d80c84b84bba362620b14cd1e

Selamat hari guru. Buat semua insan yang bergelar guru. Rasanya masih tidak terlewat untuk saya ungkapkan ucapan yang setiap 16 Mei di sambut di seluruh negara.

Jika tahun lepas saya pernah menulis artikel yang bersangkut paut juga dengan Hari Guru.  Maka, tidak sah sekiranya tahun ini saya tidak mengeluarkan artikel, tema yang sama namun perceritaan berbeza.

Seperti biasa, akan menjadi pesta viral di media massa mengenai sambutan hari guru di seluruh negara. Pelbagai ragam guru yang boleh kita boleh saksikan.  Pelbagai jenis slogan tema sambutan juga kita dihidangkan saban tahun.

Daripada guru memakai pakaian sekolah, berbaju orang-orang kampung, bergaya dengan pakaian superhero, dan bermacam-macam tema di sambut.

Namun, adakah kita cukup memahami makna atau pengertian menyeluruh disebalik ungkapan Selamat Hari Guru itu?

Kita keluar seketika daripada gambaran apa yang kita sering didendangkan.

Kita keluar sekejap daripada gambaran wajah kegembiraan guru-guru meraikan hari guru.

Bukan bermaksud untuk bersangka buruk atau negatif.  Kita berfikir keluar daripada kebiasaan untuk menjadikan kita tidak menjadi bangsa yang jumud.

Supaya kita tahu dimana sebenarnya kaki kita sedang berpijak.

Selamatkah Guru?

Berapa ramai dikalangan pembaca yang pernah terfikir kesengsaraan seorang guru mendidik anak-anak bangsa?

Berapa ramai dikalangan guru yang tertekan dengan tugas dan karenah sistem pendidikan yang kadang-kadang mengelirukan?

Ketika laungan dan nafas falsafah pendidikan negara yang semakin perlahan, kita dipacu dengan keobsessan terhadap keputusan statistik.

Hari ini, samada anda setuju atau tidak, semua dasar dan segala perancangan pendidikan adalah bersandarkan keputusan dan statistik.

Keputusan A meningkat. Graf menaik dan melonjak. GPS Sekolah memecut dan meningkat. Segala jenis fail-fail lengkap dan tebal.

Pelbagai jenis perancangan dan arahan diatur. Maka, guru lah yang akan menjadi barisan hadapannya.

Saya tidak menyentuh lagi tentang guru-guru yang bertarung nyawa mendidik di kawasan pedalaman.

Cabaran sebenar yang dihadapi oleh para guru ialah menterjemahkan apa yang dirancang di bilik darjah.

Berhadapan dengan karenah dan ragam anak murid.

Perlu diingatkan, anak-anak kita sekarang adalah anak yang membesar bersama dengan kemajuan teknologi. Jangan kita samakan dengan keadaan 10 tahun yang lalu.

Semuanya di hujung jari. Yang baik dan buruk ada di depan mata.

Ketika guru sibuk dengan perancangan mendidik untuk mencapai keputusan akademik yang cemerlang, aspek pendidikan akhlak seolah tidak seiring dengan penekanan akademik.

Bukan saya mempertikaikan dasar. Cuma pandangan bersandarkan realiti. Anda tanyalah mana-mana guru, pasti mendapat jawapan senada.

Apabila akhlak dipinggirkan, maka timbullah pelbagai  kes-kes disiplin di sekolah, yang akhirnya memeningkan guru.

Maka jangan hairan kita mendengar kes guru yang stress, bilangan guru yang bertambah di rujuk ke hospital bahagia, dan guru yang dikejar ibubapa akibat mendenda anak murid.

Belum lagi kes-kes guru memukul, merotan, dan macam-macam lagi.

Maka, selamatkah guru kita?

SELAMAT HARI GURU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *