TERIMA KASIH LEICESTER CITY!

cea5e77c27aba40aca78547135e0c136

Sudah agak lama saya tidak update artikel baru ni blog ini. Kesibukan dunia kadang-kadang memenatkan minda dan fizikal. Baru-baru ini baru sahaja selesai pilihan raya negeri Sarawak, dimana seperti yang dijangka itulah pemenangnya.

Dalam sibuk-sibuk kita dihujani dengan berita ‘kamek sayang sarawak’ di media arus perdana, peminat bola sepak seantero dunia telah menyaksikan juara baru liga perdana Inggeris (EPL) iaitu Leicester City. Bukan MU, MC, Arsenal, Chelsea, mahupun Liverpool. Tetapi Leicester City.

Ketika awal saingan EPL, Leicester City hanyalah pendatang baru Liga yang baru hendak bersaing di liga yang paling mencabar di muka bumi ini.

Tiada siapa pun yang mengenali pemain-pemain Leicester City. Pasukan ini tidak mempunyai pemain ternama dan mahal, tidak mempunyai penyokong kuat di seluruh dunia seperti rakan kelab lain di EPL, dan ramai yang meramal pasukan ini hanya bertahan cuma semusim di pentas EPL.

Tetapi benar kata orang, bola itu bulat. Bola sepak bukan sekadar tentang nilai pemain, jenama, dan kuasa duit. Bahkan ia lebih daripada itu.

Kelab-kelab yang mempunyai kuasa wang seperti MC dan Chelsea sibuk membeli sesiapa sahaja pemain yang mereka hendak tanpa mengambil kisah harga yang tidak masuk akal nilainya.

Kuasa wang telah sebenarnya menghancurkan bakat-bakat muda yang sedang meningkat naik. Pemain-pemain akan ditawarkan wang yang lumayan serta pelbagai lagi imbuhan agar sign kontrak.

Dan kebanyakan pemain ini akhirnya gagal menjustifikasikan nilai yang dicop ke atas mereka. Pemain seperti Raheem Sterling, Christian Benteke, dan ramai lagi tidak dapat melaksanakan harapan seperti yang di harap.

Ketika perlumbaan kuasa wang dalam bola sepak semakin memualkan, tiba-tiba muncul sebuah kelab kerdil yang seolah-olah menjadi mimpi ngeri kepada kelab ternama ini.

Kemunculan Leicester yang secara perlahan-lahan mendaki tangga liga sehingga konsisten menerajui persada liga membuktikan tiada yang mustahil.

Wang bukan segala-galanya. Ia tidak dapat membeli harga sebuah kejayaan.

Saya melihat kejayaan pasukan kerdil ini menjadi juara adalah satu kejayaan besar untuk semua peminat bola sepak.  Bahkan, ia boleh menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja, dalam apa jua bidang dan lapangan.

Pemain pasukan Leicester tidak lahir daripada karpet merah. Mereka berjuang dengan keyakinan dan semangat tanpa dipengaruhi oleh wang.

Terima kasih Leicester City. Anda adalah symbol kejayaan terbesar tahun 2016. Lebih besar nilainya daripada kejayaan BN di Sarawak. Lebih besar nilainya daripada wang berbillion ringgit.

Jauh di sudut kecil hati ini, saya berharap bahawa skuad bola sepak negara mampu menjadikan ia satu motivasi untuk mencabar diri dan pasukan.

Sudah tiba masanya kita harus yakin dan percaya dengan kemampuan diri. Tiada apa yang mustahil dalam dunia ini.

 

Terima kasih Leicester City. Anda telah membuktikannya!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *