TERIMA KASIH TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

23128569
Saya sebelum ini tertanya-tanya apa beza antara gugur dan pecat? Namun dalam konteks isu mutakhir ini, saya akhirnya mendapat jawapan. Maksudnyanya sama saja, cuma bezanya pada kelunakan bunyinya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) secara rasminya telah mengikut jejak Timbalan Perdana Menteri terdahulu yang tidak sempat menduduki jawatan Perdana Menteri. Mereka ialah Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bezanya cuma ketika ini, TSMY masih memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Pasti pada setiap kejadian yang berlaku, ada hikmah yang Allah SWT tunjukkan kepada TSMY dan juga kita sebagai rakyat biasa.

Bezanya cuma bagaimana kita melihat dan menghadam kejadian yang berlaku.

TSMY merupakan antara tokoh pemimpin yang agak berbeza berbanding pemimpin yang lain. Beliau kelihatan sebagai seorang yang tegas dan tidak banyak cakap. Beliau tidak memiliki perwatakan yang murah senyuman menawan rakyat.

Pidato beliau tidak sehebat Dr. Mahathir mahupun Anwar Ibrahim. Pengaruh beliau belum cukup untuk menagih simpati rakyat untuk merusuh di jalan raya tanda protes.

Namun, itu bukan penanda aras kehebatan seorang pemimpin.

TSMY ialah seorang yang komited dengan tugas dan dibuktikan dengan hasil. Kementerian-kementerian yang beliau kemudi semenjak berada dalam kerajaan berjaya beliau pimpin dengan berkesan.

Bermula daripada jawatan menteri belia dan sukan, sehinggalah ke kementerian pendidikan, pembaharuan yang beliau bawa sebenarnya boleh saya kategorikan sebagai mendepani zaman.

Beliau juga merupakan pemimpin yang sangat berpegang dengan prinsip. Kerana prinsip itulah, akhirnya tersungkurnya beliau daripada kerusi jawatan nombor dua tertinggi dalam kerajaan.

Kerana prinsip itu jugalah, beliau masih kekal dalam UMNO.

Disinilah terletaknya salah satu kehebatan TSMY. Walaupun digugurkan, beliau masih setia pada parti. Dan masih ramai setia kepada beliau.

Beliau tidak membawa imej buruk yang boleh dipandang serong rakyat.

Tidak semua rakyat setuju dengan pengguguran ini. Namun, kita seharusnya bersangka baik bahawa Perdana Menteri mempunyai sebab untuk itu.

Tiada pemimpin yang sempurna. Tidak senang dan bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Mungkin pengguguran ini sebagai amaran, teguran dari Sang Pencipta kepada TSMY diatas kelemahan dan kekhilafan sebelum ini.
Semoga ia menjadi pendorong untuk terus berjuang menegakkan prinsip dan kebenaran.

Terima kasih TSMY.

Terima kasih kerana komited dalam menjaga negara sepanjang menjadi TPM. Tidak mudah untuk memegang jawatan penting seperti itu dikala pelbagai cabaran menimpa.

Terima kasih kerana anda membuktikan bahawa masih ada pemimpin yang tidak memberontak merusuh selepas kehilangan jawatan.

Terima kasih kerana anda masih berani dan konsisten membawa suara keluh resah rakyat bawahan walaupun tiada jawatan dalam kerajaan.

Terima kasih kerana anda membuktikan masih menjaga adab seorang muslim untuk tidak secara lansung memburuk-burukkan negara dan pemimpin kerajaan.

Terima kasih Tan Sri. Semoga Allah merahmati kehidupan Tan Sri sekeluarga.

Nasihat kepada diri saya, Tan Sri, pembaca dan sesiapa sahaja…

Jangan jadi seperti gunting. Apabila ia bergerak, ia memutus. Jadilah seperti jarum. Walaupun gerakannya mencucuk pedih, namun ia menyambung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *