Skip to main content

UCAPAN SAIDINA ALI BERHUBUNG PERLANTIKAN KHALIFAH : SUATU PENGAJARAN DAN IKHTIBAR UNTUK SEORANG YANG BERGELAR PEMIMPIN

faa479984244ca00323ce25e7507b038

Bismillahirrahmanirrahim.

Bila saya menulis artikel ini, saya terharu dan sayu mengenangkan betapa mencabarnya kisah pemimpin-pemimpin Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Kecuali Saidina Abu bakar, Kesemua pemimpin khalifah al-rashidin telah mati dibunuh ketika mereka masih memegang jawatan khalifah kerajaan Islam. Dan yang lebih mengharukan lagi mereka dibunuh ditangan orang Islam sendiri.

Kisah Saidina Ali r.a. merupakan antara kisah seorang pemimpin yang memimpin kerajaan dan rakyat yang berpecah belah akibat fitnah durjana. Kisah yang pengakhirannya melahirkan suatu fahaman yang menyesatkan iaitu fahaman syiah. Penulisan saya kali ini memfokus kepada bagaimanakah respon dan sikap Saidina Ali r.a. terhadap perlantikan khalifah. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada kisah ini. InsyaAllah.

Ibnu Asakir menceritakan daripada Hassan, katanya apabila Ali ke Basrah, beliau ditemui oleh Ibni Al-Kawa’ dan Qais bin Ubad. Mereka berdua bertanya tentang adakah suatu janji daripada rasulullah SAW yang dijanjikan Baginda kepada Saidina Ali.

Dan ini merupakan jawapan daripada Saidina Ali r.a.

Adapun berkenaan janji daripada Nabi SAW berkenaan perkara itu, maka tidak ada. Demi Allah! Kerana aku orang yang pertama membenarkan Baginda, maka aku tidak akan menjadi orang pertama yang mendustakan Baginda.

Seandainya aku mempunyai janji daripada nabi SAW berkenaan itu, aku tidak akan biarkan saudara bani Taiyim bin Murrah dan Umar bin al-Khattab berdiri diatas mimbarnya (pemerintahan). Pasti akan aku perangi mereka dengan tanganku,sekalipun yang ada hanya selendangku ini. Tetapi rasulullah tidak dibunuh dan tidak mati mengejut.

Baginda sakit beberapa hari dan malam. Muazzin datang mengingatkan baginda tentang solat,  lalu baginda menyuruh Abu Bakar r.a., oleh itu beliau memimpin solat orang ramai dalam keadaan beliau tahu kedudukanku.

Apabila Allah SWT mewafatkan Nabi-Nya, kami berbincang berkenaan urusan kami. Lalu kami memilih untuk urusan dunia kami orang yang Nabi SAW suka memimpin urusan agama kami. Manakala solat itu asas Islam, penghulu agama, dan tiang agama. Lalu kami berbaiah dengan Abu Bakar. Memang beliau layak untuk itu.

Tidak ada berbeza pendapat berkenaan beliau, walaupun dua orang kami. Kami pun tidak pernah mengkritik satu sama lain. Kesucian dirinya tidak pernah terjejas. Lalu aku sempurnakan HAK Abu Bakar r.a. Aku berikan ketaatan kepada beliau. Aku juga pergi berperang bersama tenteranya. Apabila beliau memberi sesuatu, aku terima. Aku berperang apabila beliau menyuruh aku berperang.  Aku juga laksanakan hudud dihadapan beliau menggunakan cemetiku.

Apabila nyawa Abu Bakar dicabut, Umar pula memerintah. Beliau juga mengikut jejak sahabatnya itu (Abu Bakar) dan apa sahaja yang beliau tahu mengenai Abu Bakar r.a. Kami pun membaiah Umar. Tidak ada beza pendapat berkenaan Umar, walaupun dua orang. Lalu aku sempurnakan HAK Umar. Aku berikan ketaatan kepada beliau.

Apabila nyawa Umar pula dicabut, aku berfikir sendiri berkenaan hubungan kerabatku, senioritiku, aku orang lama dan kelebihanku. Aku sangka beliau tidak akan mengelakkan daripada aku. Namun, kerana bimbang jikalau pengganti selepas beliau melakukan dosa, tentu beliau turut terkena di dalam kuburnya.

Umar mengeluarkan dirinya dan anaknya. Jikalau perlantikan berdasarkan pilih kasih, tentu beliau mendahulukan anaknya. Tetapi, beliau berlepas diri, dan diserah kepada sekumpulan enam orang Quraisy. Aku adalah salah seorang daripada enam orang itu.

Apabila kumpulan ini bersidang, aku sangka mereka tidak akan mengelak daripada aku. Abdul Rahman bin Auf mengambil janji daripada kami supaya mendengar dan taat kepada sesiapa sahaja yang ditakdirkan Allah menjadi pemerintah. Kemudian dia memegang tangan Uthman bin Affan lalu digenggam tangannya (baiah).

Aku terfikir berkenaan halku, namun ketaatanku mengatasi keinginan untuk aku dibaiah. Janjiku pula diambil untuk orang lain. Lalu kami membaiah Uthman. Seterusnya aku sempurnakan HAK Uthman. Aku berikan ketaatan kepada beliau.

Apabila Uthman dibunuh, aku berfikir berkenaan diriku. Dua orang khalifah yang mengambil tampuk pemerintahan berdasarkan Rasulullah SAW kepada mereka memimpin solat sudah pun meninggal dunia. Orang yang diberikan janji untuk taat (Umar) juga sudah terbunuh. Maka aku pun dibaiah oleh penduduk dua tanah suci dan penduduk dua bandar ini.

Lalu orang yang tidak setanding dengan aku merebut tampuk pemerintahan. Hubungan kerabatnya pun tidak setanding dengan aku. Ilmunya tidak setanding dengan aku. Senioritinya juga tidak setanding dengan aku. Sedangkan aku lebih berhak berbanding dia.

Pengajaran daripada Ucapan Amirul Mukminin Ali r.a.

Begitulah antara ucapan daripada Saidina Ali bin Abu Talib. Penegasan utama disini ialah mengenai ketaatan Ali kepada 3 orang khalifah yang sebelumnya. Ini sekaligus menangkis dakwaan fahaman sesat Syiah.

Saya nukilkan beberapa pengajaran ringkas daripada ucapan Saidina Ali r.a. Antaranya, Seseorang pemimpin hendaklah TAAT kepada pemimpin yang diatasnya. Untuk mendapat ketaatan daripada orang lain, kita hendaklah taat kepada pemimpin. Dan Ketaatan paling tertinggi adalah Taat kepada perintah Allah SWT.

Selain itu, REDHA dengan ketentuanNya. Semua yang berlaku adalah dengan izin daripada Allah SWT. Cuba buka mata melihat sekeliling kita. Berapa ramainya pemimpin yang tidak mengenal erti redha,khususnya ketika berlaku pemilihan sebagai pemimpin. Yang tidak dipilih akan cuba menjatuhkan pemimpin yang sudah dipilih. Ada yang membuat pelbagai tuduhan kononya berlaku sabotaj dalam pemilihan. Pengakhirannya akan mengundang perpecahan.

Sistem pemilihan keempat-empat khalifah adalah berbeza-beza. Perbezaan ini adalah untuk kita pelajari dan ambil pengajaran. Perbezaan yang tunjangnya tetap sama iaitu pemilihan berdasarkan kepimpinan dalam agama, disokong dan dipilih oleh pihak yang berkecuali yang dipanggil majlis syuro. Adakah sistem pemilihan pemimpin dalam masyarakat, syarikat, jabatan, parti parti politik, atau Perdana Menteri melalui proses ini? Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda fikir-fikirkan.

Kepimpinan Khalifah ar-Rasyidin tidak mengamalkan memilih pewaris untuk jawatan dipegang. Tidak melaksanakan sistem monarki seperti yang diguna pakai oleh sistem beraja hampir diseluruh dunia. Mari kita renung sistem di negara kita sekarang. Ya..kita mengamalkan sistem demokrasi. Bukan sistem monarki. Rakyat yang berkuasa memilih pemimpin dari pelbagai parti politik. Tetapi lihat dan kenali  pemimpin, dan lihat juga dimana anak atau menantu mereka berada.

Perkara yang terakhir ialah seseorang pemimpin perlu berILMU iaitu merangkumi ilmu agama dan dunia. Sekiranya salah satu antara dua ilmu ini tidak ada, nescaya kepimpinan tidak akan membawa kemana-mana kemajuan. Ilmu itulah yang membezakan antara semua pemimpin di muka bumi ini.

Saya berdoa agar kita mendapat seorang pemimpin yang tidak tinggal solat berjemaah, tidak meninggalkan solat tahajjud, tidak memisahkan diri dari masjid, berani demi kebenaran, pemimpin yang menyatukan masyarakat Islam, dan yang sanggup berjihad sepenuhnya ke jalan Allah SWT. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *