UPSR : SAMPAI BILA NAK BERUBAH?

0a6a03c771f551a15d1913498d7aba2e

Keputusan UPSR sudah diumum. Pelbagai ragam kita dapat saksikan di televisyen mengenai reaksi anak-anak menerima keputusan mereka.

Cuma tahun ini ada sedikit berbeza. Tiada berita gempaq tentang bilangan calon mendapat straight A.

Media sosial pun seolah menjadi sarang tempat orang meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap keputusan UPSR.

Seperti yang sedia tahu, format UPSR tahun ini tidak sama seperti sebelumnya. Mungkin ini sebab utama membawa kepada keputusan tersebut.

Saya membuat beberapa analisis berdasarkan sentimen dan reaksi orang terhadap UPSR.

Bagi saya, UPSR itu tidak perlulah dihapuskan ataupun diubah lagi. Perubahan yang kerap akan membunuh sistem pendidikan itu sendiri. Sudah beberapa kali sistem ditukar dan diubah. Cukuplah.

Ada yang kata baik hapuskan saja UPSR. Jika nak hapuskan pun, pada saya ia bukan langkah yang berbaloi, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

Apa yang seharusnya perlu diubah ialah mentaliti kita sendiri. Semua orang harus berubah.

Apa yang perlu dihauskan ialah ego kita untuk tidak mahu berubah.

Berubah yang bagaimana?

UPSR itu hanya sekadar peperiksaan di atas kertas. Ia tidak mewakili secara total apa yang kita pelajari sepanjang tempoh 6 tahun di alam persekolahan.

Bilangan A itu bukan satu penanda aras. A itu hanya sekadar pencapaian dalam peperiksaan. Bukan pencapaian keseluruhan dalam akademik seseorang murid.

Cukuplah ‘mengagungkan’ peperiksaan UPSR. Mari kita kembali kepada basic.

Mendidik untuk memanusiakan manusia.

SIAPA yang Perlu BERUBAH?

Semua orang di Malaysia harus berubah. Namun, soalan yang seharusnya lebih penting untuk ditanya ialah siapa yang pertama perlu berubah.

Cuba tengok bagaimana ikan bergerak. Ekor tidak akan dapat mendahului atau mengetuai gerakan seekor ikan tanpa mengikut ke mana kepala itu bergerak.

Bidalan ini saya tujukan kepada mereka yang memimpin sistem pendidikan kita. Semua pembuat dasar-dasar yang  ‘mencorak’dan ‘merojakkan’ sistem.

Dah kalau kerap sangat diubah itu dan ini, akhirnya sama juga impaknya, malah mungkin semakin teruk. Sudah tiba pula ‘orang-orang’ ini perlu diubah.

Sekalipun orang-orang ini sudah diubah, adakah yang akan menjanjikan sesuatu perubahan? Mungkin ya. Mungkin tidak.

Sekurang-kurangnya, ini  mungkin langkah pertama kepada satu perubahan yang realistik.

 

MOHAMAD HAIFZ

MUNGKIN...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *