MELAYU YANG LAYU

c604aa6e2521f5a11adcfb5d6d065782
Tak akan melayu hilang di dunia. Tetapi Melayu yang macamana?

Saya memilih topik Melayu kerana ia sangat dekat di hati. Mungkin kerana saya juga berasal daripada rumpun Melayu. Dan kebanyakan rumpun Melayu yang terdapat di rantau Asia Tenggara ini ialah beragama Islam.

Sejak 2 menjak ini, saya sering terfikir apa akan jadi kepada diri saya, keluarga, dan umat di sekeliling untuk 20 tahun akan datang.

Saya cuba pusing masa ke 20 tahun kebelakang dan bandingkan dengan masa ini, dan cuba membayangkan pula ke 20 tahun akan datang. Saya fokuskan gambaran itu kepada nasib bangsa yang bernama Melayu.

Hasil daripada analisis gambaran ini saya keluar dengan satu kesimpulan. Kesimpulan yang mungkin belum boleh menyimpulkan apa yang terlerai, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengelak daripada ia berkecai.

Bangsa Melayu ialah bangsa yang lemah. Jangan terus melompat ke kesimpulan membaca kenyataan itu. Kerana orang yang paling lemah ialah orang yang tidak berfikir panjang dalam memutuskan tindakan.

Saya huraikan beberapa bukti dan fakta agar ia dapat meyakinkan anda bahawa Melayu itu lemah. Bukan niat untuk melemahkan umat sendiri. Jauh sekali niat mengaibkan bangsa nenek moyang.

Tetapi dengan pelbagai isu yang makin menekan dan menghumban bangsa keramat ini, akhirnya menyerlahkan kelemahan umat Melayu. Lemahnya bangsa Melayu, maka negara akan binasa.

Tahun lalu berlangsung Perhimpunan Merah yang merupakan tindak balas terhadap Perhimpuan Bersih. Bersih sekiranya anda masih ingat dihadiri oleh majorotinya kaum Cina.

Perhimpunan Merah yang menghimpunkan ribuan umat Melayu pula jelas penuh dengan laungan keramat bangsa Melayu yang seolah-olah cuba untuk mengertak kaum Cina. Itu hanya pandangan luaran saya.

Terdetik di hati saya bahawa impian wujudnya bangsa Malaysia yang bersatu secara total di bawah satu bendera masih jauh dari pandangan. Ini adalah antara kesan ‘malar segar’ daripada peninggalan penjajahan British di Tanah Melayu.

MeLayu Daripada Pelbagai Sudut

Belum pernah lagi di muka bumi ini bangsa majaroti di sesebuah negara membuat perhimpunan besar-besaran untuk menekan bangsa minoriti.

Cuba lihat bangsa Korea, Jepun dan China. Bangsa mereka tidak memerlukan perhimpunan untuk protes. Tiada perhimpunan jalanan untuk menunjukkan kekuatan. Tetapi lihat di mana kedudukan bangsa mereka sekarang.

Orang Melayu menguasai politik tetapi politik tetap kotor di tangan Melayu. Bahkan saling maki memaki dan hasut menghasut sesama bangsa hanya kerana politik.

Kita bangsa Melayu menguruskan pendidikan di negara ini. Namun kita masih gagal melahirkan ramai insan yang betul-betul terdidik. Kita melihat pendidikan dengan mengira bilangan A paling banyak. Tetapi bangsa Cina mendidik anak-anak mereka untuk survive dan cari makan. Sebab itu mereka tidak akan sama sekali setuju untuk dimansuhkan SJKC.

Melayu paling ramai bekerja dalam kerajaan. Dan kebanyakan projek-projek dalam  kerajaan di berikan kepada kontraktor melayu. Namun, bilangan kontraktor bangsa Cina yang kaya raya jauh lebih ramai daripada Melayu.

Orang Melayu banyak mempunyai tanah. Namun sudah banyak yang digadai atau dijual. Orang Melayu jugalah yang meluluskan lesen untuk berniaga. Dan lihatlah berapa kerat orang Melau yang terlibat dalam perniagaan. Ada tapi tak cukup banyak.

Berapa ramai anak-anak melayu yang terlibat dalam pekerjaan kritikal seperti doktor, peguam dan jurutera jika dibandingkan dengan bangsa lain.

Lihat pula sukan yang diminati ramai oleh rakyat Malaysia iaitu bola sepak dan badminton. Orang Melayu lebih menguasai permainan bola sepak berbanding bangsa lain. Namun, apa prestasi yang membanggakan kita? Hanya bangga melihat penyokong-penyokong melayu melemparkan mercun dan membuat huru-hara di stadium.

Badminton pula sukan yang dikuasai kebanyakkannya oleh bangsa Cina. Siapa tak kenal Datuk Lee Chong Wei yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia. Mana pemain berketurunan melayu? sampai bila kita menunggu pengganti kepada anak-anak Sidek.

KESIMPULAN

Saya cuba sehabis baik untuk memastikan artikel ini jauh daripada bau perkauman. Disebalik pendedahan ini, saya memohon agar pembaca lapangkan minda menyerap pengajaran daripada kisah ini.

Bukan mencari titik untuk bersengketa, tetapi usaha untuk jambatankan perbezaan dan kembali kepada fitrah iaitu Islam.

Tidak ada bangsa yang lemah atau kuat yang diciptakan oleh Allah. Lemahnya sesuatu kaum atau bangsa itu adalah daripada bangsa itu sendiri. Tidak terkecuali bangsa Melayu.

Cuma apa yang diperlukan sekarang ini ialah keyakinan untuk menjadi bangsa yang hebat. Sekiranya pemimpin-pemimpin sendiri pun asyik sibuk berpolitik sehingga lupa akan kelemahan dan kejatuhan, maka gerakan pertama bermula dari kita sendiri.

Bangsa Melayu akan terus lemah selagi belum sedar yang sebenarnya memang sudah lemah dan dilemahkan akibat daripada kelemahan sendiri.

Dan Islamnya bangsa Melayu semakin terhakis sedikit demi sedikit.

Wallahualam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *