KEAJAIBAN IKHLAS : DISEBALIK KISAH MIMPI BERTEMU NABI MUHAMMAD SAW

770e91f0a6ca9fde254ce79550bf4b77IKHLAS merupakan sifat yang paling dituntut dalam Islam.

Sifat ikhlas adalah sifat yang diakui sendiri oleh Iblis sebagai satu-satunya sifat dalam golongan umat Nabi Adam yang tidak dapat digodanya.

Pasti ada sesuatu yang luar biasa dan menakjubkan mengenai sifat ikhlas ini. Orang yang selalu mengamalkan sifat dan sikap ini pasti akan menerima ganjaran dan keistimewaan daripada Allah.

Saya menulis artikel ini untuk berkongsi pengalaman yang saya alami tentang bagaimana keistimewaan sifat ikhlas ini boleh meninggalkan bekas pada hati.

Saya pernah menonton sebuah video tentang ceramah mengenai Rasulullah yang disampaikan oleh Allahyarham Ustaz Haron Din.

Dalam video yang berdurasi sekitar 20 minit itu, Allahyarham menceritakan pengalaman benar beliau bermimpi bertemu Nabi Muhammad S.A.W.

Video ceramah Allahyarham Ustaz Haron Din mimpi bertemu Rasullullah.

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,

(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran)

kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini

dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.

Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”

[al-Hijr 15:36-40]

Saya tidak ingin menulis transkrip ucapan beliau. Mahupun mengulas panjang tentang mimpi tersebut. Seeloknya, anda sendiri menonton video itu. Saya risau jika saya menulis, ‘rasa’ dan isi ceramah itu tidak sampai kepada pembaca.

Kerana rasa ikhlas itu tidak boleh dibaca. Ia perlu dirasa melalui percakapan dan tubuh badan seseorang.

Allahyarham Ustaz Haron Din bukan calang-calang orangnya. Beliau mengabdikan kehidupannya untuk berjuang di jalan Allah.

Saya percaya, kisah disebalik beliau bermimpi bertemu Nabi Muhammad ini adalah bukti serta simbol kasih dan sayangnya kepada Baginda.

Beliau benar-benar menghayati sirah perjuangan Baginda dalam memperjuangkan syiar Islam.

Kecintaan beliau dizahirkan menerusi keperibadian Allahyarham yang teguh berjuang dalam menegakkan Islam di bumi tercinta kita ini.

RENUNGAN DAN MUHASABAH DIRI

Kisah ini membuatkan saya merenung diri yang serba kekurangan.

Adakah kita sudah benar-benar memahami ajaran yang dibawa oleh nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW?

Berapa ramai manusia di luar sana yang pernah terdetik hati untuk berdoa bermimpi bertemu dengan Rasullullah?

Adakah kita sudah layak untuk dianugerahkan bermimpi bertemu Baginda, walhal kehidupan seharian masih dibelenggu dosa-dosa dunia.

Ustaz Haron Din telah sekurang-kurangnya membuka minda saya untuk melihat betapa hebatnya kuasa ikhlas dan keikhlasan.

Jika kita masih mencari-cari keikhlasan itu hadir, ambillah masa untuk menghayati video tersebut. Siapa tahu, hidayah itu hadir ketika masa yang kita tidak sangka-sangka.

Besar sungguh peninggalan beliau untuk kita umat Islam di Malaysia jadikan sebagai satu panduan serta muhasabah dalam meneruskan kehidupan.

Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama mereka yang diredhai Allah.

Amin.

 

MOHAMAD HAFIZ
MEMUHASABAHKAN DIRI

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *