Ada Apa Dengan Indonesia?

Kebetulan, ketika saya menulis artikel ini, terjadi insiden kekecohan penyokong Indonesia pada kejohanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno.

Memandangkan tajuk artikel ini pun ada kaitan dengan Indonesia, saya sentuhlah sedikit mengikut apa yang saya faham.

Suka saya jelaskan bahawa keganasan dan pergaduhan itu tidak pernah mengenal warna kulit dan bangsa. Ini bukan tentang dia orang Indonesia atau mereka orang Malaysia.

Ini adalah tentang sikap. Sikap amarah yang membuak. Amarah yang berasal dari Syaitan yang dilaknat.

Sehebat manapun sesuatu bangsa itu, jika tiada perasaan hormat dan adab, jadilah mereka bangsa yang terhina. Perdirian saya jelas. Sukan itu sepatutnya menyatukan. Bukan untuk memecahkan. Dalam kes ini agak malang, kerana melibatkan dua buah negara yang serumpun.

Bukan Isu Baru

Pertelingkahan yang sering berlaku antara Malaysia dan Indonesia sebenarnya bukan isu baru. Isu bola sepak ini hanyalah sebahagian daripada banyak isu. Isu yang menjadi duri dalam daging perhubungan dua negara.

Persengketaan ini sudah berakar umbi sejak sekian lama. Antara faktor utama yang menyumbang kepada perkara ini ialah sejarah dan geografi.

Mungkin elok anda membaca semula sejarah kerajaan kerajaan lama. Belek kembali kisah Srivajaya, Majapahit, Acheh dan Melaka, hinggalah ke zaman konfrantasi Sukarno terhadap penubuhan Malaysia.

Persamaan dan Perbezaan

Dalam banyak persengketaan dan perseteruan ini, sebenarnya Indonesia dan Malaysia berkongsi terlalu banyak persamaan. Persamaan budaya, makanan, cara hidup, ekonomi, dan bahasa. Majoriti penduduk dua negara ini juga beragama Islam.

Namun, ada satu persamaan yang sering terlepas pandang. Persamaan itu ialah persamaan emosi. Emosi itu merangkumi perasaan amarah, amuk, mudah tersinggung dan terasa. Lihatlah disekeliling kita, bangsa Melayu terkenal dengan emosinya.

Indonesia? Lagi dasyat emosinya. Jika hari ini dalam berita ada kisah mengenai amah Indonesia yang didera, esok pasti ada berita tentang bendera Malaysia dibakar di Jakarta.

Lihatlah juga apa yang berlaku di Gelora Bung Karno. Berlakunya pertembungan emosi dan sentimen yang sama. Apabila emosi gagal dikawal, jadilah seperti apa yang kita telah saksikan.

Adakah, jika Indonesia menentang pasukan lain di Gelora Bung Karno, akan berlaku insiden sama? Adakah pasukan lawan akan terpaksa balik ke hotel menaiki kereta kebal? Jawapannya pasti tidak.

Apa yang membezakan kita hanyalah sempadan negara bangsa. Perbezaan inilah yang menjadikan 2 negara ini agak unik. Bila berlaku persaingan dan pertembungan , maka bertembung jugalah 2 emosi dan sentimen.

Tetapi, jika persahabatan dan nilai itu diangkat, 2 negara ini umpama adik beradik yang erat hubungannya. Saling melengkap. Saling memerlukan.

Indonesia dan Malaysia sebenarnya sama. Indonesia adalah negara yang hebat. Malaysia juga adalah yang kuat.

Jika anda tanya saya, ada apa dengan Indonesia? Jawapan saya mudah. Indonesia ada Malaysia. Ini fakta bukan dongengan. Hebatnya Indonesia kerana adanya Malaysia. Majunya Malaysia juga kerana adanya Indonesia.

Asalnya tema yang saya ingin tulis adalah mengenai kempen beli barangan muslim yang sedang mendapat sambutan hangat ketika ini. Mukadimah kali ini agak panjang bagi memberi sedikit pencerahan agar tidak terbawa sebarang sentimen yang negatif.

Mengapa saya berbicara tentang bangsa Indonesia? Apa pula kaitannya kempen ini dengan bangsa Indonesia? Ini adalah sebuah kisah benar yang berlaku terhadap diri saya, yang ingin saya kongsikan buat seluruh pembaca.

Nak tahu apa ceritanya? Nantikan sambungannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *