HARI-HARI SUKAR NAJIB SEBAGAI SEORANG PM

NAJIB RAZAK/ YPC

Saya sebenarnya kurang gemar menulis artikel berbaur politik kepartian ini. Namun berbicara tentang soal kepimpinan dan politik, maka tergerak hati dan tangan untuk menulis. Niat hanya untuk mangambil pengajaran dan iktibar di sebalik apa yang berlaku.

Saya umpamakan masuk politik di Malaysia seperti masuk berendam dan bermain di dalam lumpur yang kotor.

Hanya orang yang biasa bermain dengan lumpur, akan mengenal kawan, lawan dan hukum permainannya. Dan apabila keluar dari lumpur, pasti akan ada bekas dan bau lumpur yang tertinggal. Wallahualam.

Kita sebagai rakyat marhaen ini pula umpama penonton di tepi lumpur. Pasti akan terkena percikan lumpur sekalipun tidak bermain sekali. Pasti akan terhidu bau lumpur yang tidak menyenangkan walaupun tidak mahu menghidu.

Dan yang pastinya, hanya mereka yang benar-benar berhati cekal sanggup terjun ke lumpur.

Saya menulis artikel ini ketika bekas PM Malaysia, Dr. Mahathir mula secara terang-terangan ‘menyerang’ kepimpinan pentadbiran Najib sebagai ketua pentadbiran kerajaan.

Siapa yang tak kenal Dr. M. Dikurniakan usia yang agak panjang, dan fikiran yang masih tajam dan sinis. Peristiwa Pak Lah masih segar diingatan. Maka, tidak sukar untuk kita menghadam objektif kepada tindakan yang dilakukan oleh Dr.M.

Najib sebenarnya sedang melalui hari-hari yang sukar sebagai PM samada kita sedar ataupun buat-buat tak sedar. Mimpi-mimpi malamnya pasti tidak akan sama dengan hari-hari yang sebelumnya.

Sehinggakan baru-baru ini Najib terpaksa membuat sidang wawancara untuk menjawab pelbagai persoalan membabitkan pentadbirannya. Teringat saya akan ketika Pak Lah turut melakukan benda yang sama selepas di hentam habis-habisan oleh Dr.M.

Bahkan, tindakan Najib memanggil pemimpin-pemimpin kanan UMNO untuk membuat penerangan tertutup, menimbulkan seribu persoalan. Dan lagi membuatkan saya menggaru kepala ialah apabila pergerakan pemuda menjulang Najib sebagai tanda sokongan kepada beliau.

Persoalannya.. banyak isu yang dibangkitkan oleh Dr.M sebenarnya gagal di jawab dengan tuntas oleh Najib.. Dan..apakah intipati penerangan tertutup itu sehinggakan anggota berpuashati lantas dijulang bak juara…walhal persoalan tanpa jawapan kukuh berlegar difikiran rakyat.

Gerak susuk tubuh badan dan suara ucapannya akhir-akhir ini juga tidak sama seperti ketika awal pentadbirannya. Laungan 1 Malaysia sudah jarang kedengaran. Muka Najib pun tidak sekerap dahulu muncul di televisyen.

Pelbagai dakwaan negatif terhadap pemerintahan Najib termasuklah seperti yang disuarakan Dr.M dan Pembangkang semakin hari semakin meresap dalam minda masyarakat, yang sememangnya sedang tertekan dengan keadaan sosio ekonomi. Itu belum lagi masuk dakwaan gaya hidup mewah dan Kisah Puan Rosmah. Sekadar dakwaan. Wallahualam.

Ditambah pula tindakan tidak popular kerajaan seperti melaksanakan GST! Lagi meruncingkan apabila sering kita dapati beberapa menteri kanan Najib mengeluarkan kenyataan yang menampakan kelemahan dan ketidakpintaran mereka sendiri. Wallahualam.

Pastinya hari-hari mendatang menjanjikan episod yang sukar dijangka. Seperti menonton drama di TV. Kalau mengikut skrip drama melayu, paling lama pun dalam 20 lebih episod. Tetapi, kalau skrip telenovela dijadikan panduan, maka beratus episod kita kena tunggu sebelum tahu akan kesudahannya.

Apa yang akan berlaku selepas ini? Apa akan terjadi esok lusa tulat atau minggu depan? Dan persoalan pokok yang ingin saya utarakan…siapa yang menang dan kalah dalam percaturan ini.

Ingatkah kita tentang filem Nujum Pak Belalang? Kisah di mana rakyat bersorak gembira meraikan pertandingan yang mempertaruhkan kedaulatan negara sendiri seolah-olah menyaksikan pertandingan bola sepak.

Adakah kita sebagai rakyat Malaysia pun tergolong dalam golongan itu? Hanya menang sorak walhal ketika maruah negara dipertaruhkan?

Semoga kita terselamat daripada fitnah akhir zaman. Dijauhkan dari segala kerosakan angkara mereka yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai niat jahat untuk meruntuhkan negara.

Kritikan dan kelantangan Dr.M adalah tanda sayangnya kepada Negara. PM Najib saya yakin sudah melakukan yang terbaik untuk Negara. Mari kita renung jasa dan kebaikan kedua-dua tokoh ini yang tidak semua mampu lakukan.

Jangan kita menyokong membabi buta tanpa usul periksa. Dan jangan kita membangkang mengikut perasaan marah dan dendam kesumat kerana pasti syaitan akan menjadi batu api.

Untuk PM Najib..semoga tabah menempuh hari-hari sukar seorang pemimpin. Pasti ada sinar menanti di hujung. Anda adalah seorang pemimpin yang hebat.

Dan Untuk Dr. M…semoga terus dipanjangkan umur dan kesihatan. Yang pasti engkau tidak berseorangan!

Maka mari kita jambatankan saja perbezaan dan persamaan ini sambil kita memilih mana yang terbaik untuk kita.

Ayuh kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah untuk dijadikan panduan. Memohon doa agar Umat Islam kembali bersatu dalam mengahadapi akhir zaman.

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *