MEMAHAMI 5 PERWATAKAN SEORANG GURU DI MALAYSIA

gurulu4_thumb[10]

Guru merupakan watak yang penting dalam kehidupan kita. Samada kita sedar atau tidak, kehidupan kita banyak dipengaruhi oleh perwatakkan guru yang pernah mendidik kita. Gurulah yang mendidik kita. Samada guru tadika, guru di sekolah, pensyarah di universiti, guru memandu, dan sesiapa sahaja yang pernah mengajar kita.

Untuk mengingati seorang guru, untuk berbicara mengenai guru, tidak perlu menunggu sambutan hari jadi atau hari guru. Guru itu merupakan individu yang paling hampir dalam kehidupan kita.

Artikel ini saya tujukan khas untuk mereka yang bergelar guru. Apa kepentingan memahami perwatakkan guru? Perlu diingat, guru juga manusia biasa. Mempunyai banyak watak dan perwatakkan. Malah, masih ramai yang tidak tahu akan sifat watak mereka.

Maka, bagi memahami perwatakkan guru, saya kategorikannya kepada 5 jenis perwatakan, mengikut hukum dalam Islam. Iaitu guru jenis wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

GURU WAJIB

Tanda seorang guru itu dalam jenis wajib ialah ketika dia berpindah atau berhenti kerja, rakan-rakan atau anak murid akan menangisi pemergiannya.

Orang disekeliling terasa akan ketiadaannya. Guru jenis begini memberikan banyak sumbangan kepada organisasi. Guru yang hebat dalam melaksanakan tugasnya, dan bijak dalam pergaulan dengan rakan sekerja.

GURU SUNAT

Guru dalam kategori ini sangat diperlukan kewujudannya dalam organisasi, tetapi ketiadaanya tidak akan dirasai oleh rakan sekerja. Maksudnya, guru begini mempunyai kerja yang bagus, tetapi orang disekeliling tidak seronok berkerja bersamanya.

Mungkin guru jenis ini suka menunjuk-nunjuk ataupun eksen lebih. Suka menunjukkan yang dia hebat dalam melaksanakan tugas sehingga rakan rasa menyampah.

Watak pendidik seperti sebenarnya sangat merugikan. Watak begini sering menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakan sekerja. Yang akhirnya mewujudkan suasana kerja yang tidak kondusif.

GURU HARUS

Takrifan harus disini ialah samada guru itu ada atau tidak ada, sama sahaja keadaannya.Yakni datangnya guru itu tidak menambah, perginya juga tidak mengurang. Umpama melukut ditepi gantang.

Guru berperwatakkan begini tidak menyumbangkan apa-apa dalam organisasi.

Orang disekeliling tidak peduli akan kehadirannya. Orang tidak ambik tahupun akan tugasnya. Guru jenis begini tidak memberikan sebarang impak dalam kerja, perhubungan dan persekitaran.

GURU MAKRUH

Guru yang mendatangkan masalah sekiranya dia ada, tetapi tidak mendatangkan masalah sekiranya dia tidak ada.

Guru jenis begini ialah umpama langau iaitu penganggu dalam organisasi. Tidak memberikan apa-apa dalam organisasi malah mempengaruhi orang lain untuk mengikut mereka.

Namun, seekor langau tetap diperlukan dalam kehidupan. Seekor lembu tidak sakit jantung hanya kerana ada langau yang membuatkan ekornya aktif melibas-libas. Begitu jugalah saya ibaratkan langau dalam watak guru.

Sekolah juga saya umpamakan seperti sarkas. Semua orang mesti serius dalam melaksanakan tugas. Namun, seorang pemimpin yang bijak tidak akan membenarkan semua orang serius. Dia akan mewujudkan dan membenarkan elemen badut dalam organisasi.

Badut akan membuatkan kita gelak dan ketawa. Badut inilah yang akan menghilangkan tekanan kerja para guru. Saya yakin disetiap sekolah akan ada guru mempunyai sifat-sifat umpama badut yakni penghibur dikala bebanan kerja bertimpa.

Cuma masalahnya akan timbul sekiranya ramai watak badut wujud dalam sesuatu organisasi.

GURU HARAM

Takrifan haram disini ialah guru yang kewujudannya merugikan organisasi, manakala ketiadaannya sangat diharapkan. Guru jenis begini mempunyai perwatakan yang buruk. Dibenci oleh rakan sekerja.

Guru berperwatakan begini saya umpamakan seperti parasit. Parasit yang memeluk pokok besar, dan akhirnya pokok itu mati kerana lilitannya.

Watak dan akhlak guru begini sangat jahat dan buruk. Bak kata pepatah, Umpama Jilat atas pijak bawah. Umpama gunting dalam lipatan. Musuh menjadi lawan. Lawan menjadi kawan. Mata bertentangan hati kedapatan.

Guru jenis begini akan membinasakan organisasi dan sekolah.

KESIMPULAN

Guru harus bertanya kepada diri sendiri. Apakah kategori perwatakkan mereka. Adakah mereka sudah berpuas hati dengan pencapaian dalam bidang masing-masing. Apakah yang telah berjaya mereka lakukan.

Dalam zaman penuh cabaran ini, orang sekeliling memerhatikan kita. Mereka yang akan menilai akan kita. Guru akan terus diperhatkan oleh masyarakat.

Guru harus belajar dari sifat lebah. Apa sifat lebah? Dimana ranting lebah berpijak, ranting  tidak akan patah. Iaitu sebagai guru, dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung. Menghormati masyarakat setempat.

Sifat lebah yang kedua ialah lebah tidak akan makan buah-buahan dimana pokok dia menumpang.  Guru jangan mengambil kesempatan dengan jawatan yang dipegang. Jangan menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan.

Sifat lebah ketiga ialah akan mengejar atau melawan sesiapa sahaja yang mengganggu sarangnya. Maksudnya, guru adalah barisan hadapan untuk mempertahankan organisasi kita daripada kutukan,kritikan dan tohmahan. Bak kata peribahasa cina, “Negotiate where you eat”.

Sifat lebah yang terakhir ialah akan meninggalkan sesuatu yang bermanfaat iaitu madu. Madu yang menjadi penawar segala penyakit. Sebagai guru, harus meninggalkan sesuatu yang ada kebaikan untuk sekolah, masyarakat dan negara.

Wallahu ‘alam bis shawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *