PAK LAH : DISEBALIK KETENANGAN DAN KEJATUHAN SEORANG PEMIMPIN

Tun Abdullah Ahmad Badawi

Saya masih ingat dengan jelas peristiwa disebuah pejabat. Ketika Pak Lah mula-mula menjadi Perdana Menteri, gambar beliau dinaikkan di dinding menggantikan gambar Dr. Mahathir.

Gambar Dr. Mahathir sudah saya lihat sejak dari kecil lagi. Dimana-mana pejabat atau premis pasti ada mukanya. Maka satu perasaan excited apabila gambar muka baru yang berlainan menggantikan muka yang lama.

Pak Lah atau Abdullah Ahmad Badawi merupakan seorang tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Saya menulis artikel ini adalah berobjektifkan untuk belajar daripada kebaikan, bagi kita jadikan sebagai panduan dan pedoman.

Pak Lah merupakan pemimpin yang terkenal dengan keterbukaan dan ketenangannya. Beliau hadir memimpin negara dengan membawa idea yang segar, untuk keluar dari bayangan Dr. Mahathir.

Dan Pak Lah juga adalah Perdana Menteri yang terpaksa berundur akibat desakan dan paksaan daripada orang bawahnya sendiri. Susulan daripada prestasi teruk parti yang dipimpinnya semasa pilihanraya 2008.

Dan ini bukanlah merupakan penulisan propaganda ataupun berniat hasutan politik. Saya secara peribadi sangat mengkagumi akan ketokohan yang ada pada Pak Lah.

Saya tuliskan beberapa point untuk kita sama-sama belajar dan fikirkan. Insyaallah.

#1.  BERLATAR BELAKANGKAN PENDIDIKAN AGAMA 

Pak Lah dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan Islamnya. Beliau juga menyambung pelajaran di Universiti dalam bidang agama.

Saya ingin katakan disini, Pak Lah adalah Perdana Menteri yang lahir daripada Universiti tempatan, iaitu hasil keluaran sistem pendidikan negara. Tidak seperti Perdana Menteri yang lain.

Ini menjadi asas kepada ketrampilannya yang sederhana, serta membawa imej Islam yang terbuka dalam pentadbirannya.

Pengenalan dasar Islam Hadhari yang menjadi tunjang pemerintahannya membuktikan usaha beliau untuk menerapkan pentadbiran berasaskan Islam. Islam dan pembangunan menjadi elemen penting dalam pembangunan bangsa.

Sesuatu yang tidak berapa ditekankan ketika pemerintahan Perdana Menteri sebelumnya, begitu juga selepasnya…Walhal semuanya beragama Islam.

Pak Lah juga adalah antara Perdana Menteri yang sering menjadi Imam dalam solat jemaah. Inilah asasnya seorang pemimpin Islam. Menjadi Imam dalam mendirikan solat. Imam yang menjadi simbol kepimpinan dalam sesebuah jemaah.

Inilah yang menjadi faktor-faktor beliau sangat disukai khususnya oleh masyarakat Melayu, ketika peringkat awal pentadbirannya.

#2.  BEKERJA BERSAMA-SAMA SAYA, BUKAN UNTUK SAYA

Saya cukup terkesan dengan slogan Pak Lah yang berbunyi “bekerja bukan untuk saya, tapi bersama-sama saya.

Inilah ungkapan magis seorang pemimpin yang memberi pengaruh dan kesan sungguh hebat kepada rakyat.

Keikhlasan yang terpancar daripada ungkapan itu membuat rakyat dan penyokongnya yakin dengan keperibadian Pak Lah, serta bertambah semangat untuk bekerja.

Corak kepimpinan dan keperibadian Pak Lah memaparkan beliau sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat. Nilai-nilai asas keperibadian yang beliau sering utarakan telah menarik minat rakyat.

#3.  BERANI MELAKSAKAN PEMBAHARUAN

Sudah menjadi lumrah seorang pemimpin akan membuat pembaharuan dalam pentadbirannya. Tidak terkecuali juga Pak Lah.

Salah satunya ialah pengenalan J-QAF dalam sistem pendidikan negara. Dasar ini penting dalam menyiapkan anak-anak muslim untuk menguasai ilmu Al-Quran. Kerana asas kepada ilmu di dunia ini adalah A-Quran.

Namun, dasar yang diperkenalkan oleh Pak Lah ini semakin tidak dijadikan keutamaan lagi dalam pendidikan kita hari ini.

Pak Lah juga telah menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Ini bagi memastikan rasuah dapat ditangani dengan lebih bersepadu dan menyeluruh.

Tindakan Pak Lah membatalkan projek jambatan bengkok yang menggantikan Tambak Johor adalah satu lagi keberanian beliau. Saya tidak katakan tindakan itu tepat. Tetapi beliau berani melaksanakan pendekatan caranya tersendiri sekalipun projek tersebut diasaskan oleh Dr. Mahathir. Tindakan yang menyebabkan Dr. M naik berang.

#4.  KEPERIBADIAN YANG TENANG DALAM MENGHADAPI UJIAN

Pak Lah merupakan antara pemimpin yang memiliki aura ketenangan di wajahnya. Beliau bukanlah pemimpin yang hebat berpidato. Beliau juga tidaklah seagresif seperti sesetengah tokoh politik.

Namun, ketenangan dalam kepimpinanannya membuatkan Pak Lah mesra dan dekat di hati rakyat. Senyumannya seolah-olah pengubat kepada tekanan rakyat dan penyokongnya.

Kepimpinan Pak Lah diuji oleh Allah SWT apabila isteri beliau telah meninggal dunia ketika masih memegang tampuk pemerintahan. Dengan pelbagai masalah negara yang perlu diselesaikan, orang yang paling hampir dengan Pak Lah telah pergi untuk selamanya.

Pak Lah tenang menghadapi ujian yang seungguh hebat ini.

Satu lagi peristiwa besar yang menguji Pak Lah ialah apabila beliau didesak untuk melepaskan jawatan. Apa yang lebih memeritkan ialah desakan secara terbuka dan terang-terangan ini datangnya dari rakan anggota seperjuangan partinya sendiri.

Pak Lah tidak melatah. Beliau bijak menangani peritiwa ini dengan menggunakan saluran yang betul. Jika tidak kena gayanya,pasti akan memberikan impak yang buruk bukan sahaja kepada imej Pak Lah sebagai Perdana Menteri, tetapi kepada parti dan negara.

Pengakhiran kepada peristiwa ini membawa Pak Lah melepaskan jawatan yang dipegangnya. Pengorbanan seorang pemimpin demi keamanan dan kestabilan negara.

Berapa ramai pemimpin diluar sana yang sanggup melepaskan jawatan sekiranya gagal? Saya tidak katakan yang Pak Lah gagal secara total dalam pemerintahannya. Puncanya ialah orang-orang bawahannya yang gagal melaksanakan arahan dan amanah yang diberikan.

 #5.  KETERBUKAAN DALAM KEPIMPINAN

Pak Lah keluar dari cengkaman kepimpinan Dr. Mahathir dengan mengamalkan dasar keterbukaan dalam pentadbirannya. Saya tidak maksudkan yang Dr. M itu tidak terbuka. Cuma Pak Lah lebih keterbukaannya.

Ini dibuktikan dengan pelbagai dasar dan pogram Pak Lah yang menonjolkan keterbukaanya. Dan perlu diingat, bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara ketika zaman pemerintahan Pak Lah. Zaman itu jugalah Anwar giat membangunkan semula parti dan penyokongnya tanpa sekatan dan ugutan.

Namun, keterbukaan Pak Lah akhirnya memakan tuan. Kesempatan ini diambil oleh musuh-musuh politiknya baik dari dalam atau luar partinya untuk menjatuhkan Pak Lah.

KESIMPULAN

ku cari bukan harta bertimbun-timbun,

Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti

Menikmati damai abadi

Nukilan : Abdullah Ahmad Badawi

Pak Lah telah membuktikan bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Dan menjadi seorang pemimpin itu memerlukan kekuatan yang kuat dari dalam dan luar.

Ketika diawal pemerintahannya, beliau dijulang sebagai Perdana Menteri yang membawa imej pemimpin Islam yang sederhana. Beliau diangkat sebagai idola masyarakat Malaysia. Ini diterjemahkan dengan undian yang besar diperoleh dalam pilihan raya 2004.

Namun, dipenghujung pemerintahannya, ketika diambang-ambang kejatuhannya, beliau dicemuh sebagai pemimpin yang kuat tidur. Beliau diejek kerana tidak tegas. Beliau dipersalahkan sepenuhnya akibat kemerosotan prestasi parti pada pilihan raya 2008.

Pak Lah diasak dan ditekan dari segenap sudut. Beliau meminta masa dan ruang untuk memperbetulkan keadaan. Tetapi apabila api sudah ditiup satu kampung, air sebaldi tidak mampu memadamnya. Dan akhirnya memaksa Pak Lah melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Itulah nasib seorang Perdana Menteri Malaysia yang ke 5.

Pak Lah melepaskan jawatan dengan penuh kehormatan. Bukan kerana kegagalannya, tetapi kerana prinsip dan perjuangannya. Beliau telah membuka minda rakyat Malaysia agar kita sentiasa berfikir. Legasi keterbukaannya menjadi inspirasi anak muda.

Maka..akhirnya, gambar Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia didinding diturunkan. Gambarnya digantikan dengan gambar seorang lagi Pak, iaitu Pak Najib.

Apalah pula nasib Pak Najib?  Adakah saya akan sempat melalui pengalaman seperti mana melihat gambar Dr. M dan Pak Lah diturunkan? Gambar siapa pula akan digantung di dinding selepas ini?

Wallahu ‘alam bis shawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *