PANDUAN TEKS UCAPAN ALU-ALUAN MAJLIS PERKAHWINAN

PANDUAN TEKS UCAPAN ALU-ALUAN MAJLIS PERKAHWINAN

Ketika musim dibenarkan mengadakan majlis perkahwinan, ramai yang akan mencari contoh teks ucapan alu-aluan untuk rujukan. Maklumlah, sudah hampir 2 tahun tidak dibenarkan mengadakan majlis.

So, mungkin ramai yang sudah ‘lupa’ menyusun ayat untuk dijadikan teks ucapan alu-aluan.

Bila saya google, kebanyakan contoh teks yang saya jumpa adalah lebih kurang sama. Bukan tak bagus, cuma mungkin tidak menawarkan kelainan untuk rujukan.

Untuk artikel kali ini, saya kongsikan contoh teks ucapan alu-aluan majlis perkahwinan yang boleh anda jadikan sebagai panduan. Teks ini dibacakan oleh kekanda (wakil keluarga) pengantin perempuan.

Jom baca.

KREATIVITI DALAM MENULIS TEKS

Teks yang saya kongsikan ini juga merupakan modifikasi daripada teks-teks ucapan yang pernah saya baca.

Teks ucapan ini sebenarnya banyak bergantung kepada kreativiti masing-masing. Masukkan unsur-unsur yang boleh menarik perhatian. Susunan bahasa dan keutamaan isi kandungan perlu diberikan perhatian.

Dalam masa yang sama, tidak mengubah konteks teks tersebut. Serta, mengikut situasi dan keadaan.

TEKS UCAPAN ALU-ALUAN MAJLIS PERKAHWINAN

Bismillahirrahmanirrahim,

Yang berbahagia Datuk / datin, tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya, kekanda kepada pengantin perempuan, mewakili ayahanda dan ibunda kami, memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, majlis perkahwinan ini dapat juga dilaksanakan. Alhamdulillah.

Selamat datang kami ucapkan kepada semua hadirin. Terima kasih kerana sudi menghadirkan diri pada majlis ini. Izinkan saya menyampaikan serangkap pantun.

Di dewan mulia ini hati terpesona,

Memandang dinda umpama permaisuri,

Majlis meriah penuh bermakna,

Kehadiran semua menambah seri.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Untuk makluman semua, pasangan mempelai telah selamat diijab kabulkan pada pagi tadi, pukul 9.00 pagi, 2 Februari 2022, bersamaan dengan 1 Rejab 1442 H.

Kami mendoakan kebahagian hingga ke akhir hayat. Insyaallah.

Suka saya kongsikan sedikit petikan ilmu pada ucapan ini. Mudah-mudahan, kita turut sama memperolehi keberkatan ilmu. Petikan ini saya petik daripada kata-kata Buya HAMKA yang berbunyi,

‘Dasar yang paling teguh dan asli daripada suami isteri ialah amanat, ertinya percaya mempercayai. Itulah tiang dan jiwanya. Itulah pokok-pokok keberuntungan rumah tangga yang sejati. Itulah pangkat kasih sayang, cinta dan rahmat. Seberat-berat beban, sesulit-sulit keadaan yang ditempuh, tidak lah akan terasa, asal ada amanat diantara kedua belah pihak. Si suami tidak bermata ke belakang ke mana dia hendak pergi, si isteri tidak merasa curiga walaupun di mana suami berada’.

HAMKA

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kepada keluarga pengantin lelaki, kami sekeluarga mengucapkan selamat datang ke dalam keluarga kami seadanya. Harapa kami semoga menambahkan lagi seri dan kebahagiaan, serta mengeratkan ikatan ukhwah sesama keluarga.

Dikesempatan ini juga,

Saya rakamkan jutaan terima kasih kepada AJK pengelola majlis. Mereka yang berada di belakang tabir bertungkus lumus dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Terima kasih kepada pengacara majlis, ustaz yang memimpin bacaan doa, dan mereka yang terlibat dalam persembahan dan persiapan hidangan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

Sebelum saya akhiri ucapan ini,

Suka saya mengingatkan para hadirin dan diri saya sendiri, wabak covid-19 masih belum reda. Terima kasih sekali lagi kerena mematuhi SOP yang ditetapkan. Semoga kita dijauhkan daripada wabak ini.

Saya akhiri dengan serangkap pantun,

Menonton Youtube tak jemu-jemu,

update Facebook setiap masa,

Hari ini kita bertemu,

Moga kekal menjalin mesra.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah,

Assalamualaikum WBT.

KESIMPULAN

Persiapan teks sebelum berucap itu penting, agar isi yang dapat disampaikan dengan berkesan. Begitu juga dengan persiapan suara dan intonasi juga. Perlu jelas dan steady.

Tak perlu teks meleret panjang. Tetamu yang hadir bukan hadir mendengar ceramah.

Semoga panduan teks ini dapat memberi manfaat kepada pembaca.

One thought to “PANDUAN TEKS UCAPAN ALU-ALUAN MAJLIS PERKAHWINAN”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *