PENGAJARAN DARIPADA CERITA PENDEK SEEKOR TIKUS

PENGAJARAN DARIPADA CERITA PENDEK SEEKOR TIKUS

Kali ini saya tuliskan satu cerita seekor tikus yang sedang berhadapan dengan masalah.

Cerita pendek ini memberikan satu pengajaran penting bagaimana untuk berhadapan dengan satu masalah.

Penting untuk ada satu sifat ambil peduli dikalangan masyarakat atau organisasi sekiranya ada seseorang yang memohon pertolongan akibat masalah yang dihadapinya.

Jika dibiarkan, masalah itu akan pasti mengheret orang lain untuk terlibat sama.

Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, saya mengajak semua pembaca untuk sama-sama menghayati mesej yang disampaikan dalam cerita tikus ini.

Jom baca.

KISAH DI SEBUAH KAMPUNG

Kisah ini berlaku dalam sebuah rumah di satu kampung.

Dalam rumah ini terdapat seekor tikus yang sedang memerhatikan tuan rumahnya iaitu sepasang suami isteri, sedang membuka suatu bungkusan.

Rupa-rupanya, barang dalam bungkusan itu ialah perangkap tikus. Tikus mula risau setelah melihat perangkap tersebut.

Pastinya perangkap itu ditujukan khas untuk memerangkapnya.

Tikus dengan pantas keluar dari rumah untuk bertemu rakannya iaitu Ayam.

TIKUS DAN AYAM

Tikus : Encik Ayam, tuan rumah baru sahaja membeli perangkap tikus. Boleh tak kamu tolong saya fikirkan bagaimana mengatasi masalah ini.
Ayam : Itu masalah kamu. Perangkap tu bukan untuk menangkap ayam. Cubalah untuk fikir sendiri.

Tikus pun dengan sedih lalu meninggalkan ayam dan bertemu seekor lagi kawannya iaitu Kambing.

TIKUS DAN KAMBING

Tikus : Wahai Kambing, tuan rumah kita baru sahaja membeli perangkap tikus. Tolonglah saya.
Kambing : Wahai Tikus, masalah ini tiada kaitan dengan saya. Perangkap itu bukan untuk tangkap kambing. Pergilah cari ikhtiar lain.

Tikus pun kecewa dengan jawapan itu lalu berjumpa dengan seekor lagi kawannya iaitu Lembu.

TIKUS DAN LEMBU

Tikus : Lembu, tuan rumah telah membeli perangkap tikus nak suruh saya mati. Apa idea kamu untuk saya selamatkan diri.
Lembu : Apa kaitan perangkap tu dengan saya. Bukannya untuk tangkap lembu. Pergilah balik rumah dan jangan ganggu saya.

Si Tikus pun pulang ke rumah dengan penuh kekecewaan. Setibanya di rumah, tiba-tiba terdengar isteri tuan rumah menjerit.

ULAR MASUK PERANGKAP

Rupa-rupanya perangkap tikus yang dipasang telah memerangkap ular yang berbisa.

Ketika isteri tuan rumah hendak mengambil perangkap tersebut, ular berbisa itu sempat mematuknya.

Isteri tuan rumah akhirnya telah jatuh sakit. Sakit yang melarat menyebabkan isterinya tiada selera makan.

NASIB AYAM, KAMBING DAN LEMBU

Tuan rumah telah menangkap ayam, iaitu kawan si Tikus untuk disembelih dan dijadikan sup.

Bila orang kampung maklum akan keadaan isteri tuan rumah yang sakit, maka ramailah tetamu datang melawat ke rumah.

Apabila tetamu semakin ramai, tuan rumah pun menyembelih kambing, kawan si Tikus untuk dimasak dan dihidangkan kepada yang datang.

Dipendekkan cerita, isteri Tuan rumah meninggal dunia. Tuan rumah akhirnya menyembelih lembu, juga kawan si Tikus, untuk dijadikan hidangan kenduri dan dijamu kepada tetamu yang hadir.

Akhirnya, dipenghujung cerita ini yang masih hidup ialah si Tikus.

Semua kawannya tempat dia meminta pendapat dan nasihat sudah selamat disembelih.

KESIMPULAN

Banyak pengajaran yang boleh kita kaitkan kisah ini dengan kehidupan masyarakat sekarang.

Sifat untuk mengambil tahu dan peduli dengan sekeliling sudah semakin pudar. Masing-masing dengan kehidupan sendiri.

Isu-isu sosial masyarakat seperti masalah dadah, keruntuhan akhlak dan akidah, dan sebagainya hanya dipandang sebelah mata.

Masalah yang berlaku disekeliling kita perlu kita ambil tahu. Berikan bantuan sekiranya kita mampu untuk membantu.

Belajarlah sesuatu dari cerita tikus tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *