PROTON : ANTARA LEGASI DAN JATIDIRI

5fa2c47867cfa78702e01dd7aeba5072

Beberapa hari yang lalu, PROTON akhirnya melancarkan modul Perdana terbaru mereka. Setelah banyak gambar-gambar curi tersebar di internet, akhirnya secara rasmi ia dipertontonkan.

Proton sangat dekat dengan saya kerana saya juga memiliki kereta berlogokan Proton.  Berita dan kisah mengenai Proton secara tanpa sedar saya pasti mengikutinya dengan rapat.

Bila sebut tentang Proton, antara yang terbayang difikiran saya ialah Tun Dr. Mahathir. Saya pun yakin anda juga begitu. Entah mengapa, mungkin jenama ini sangat sinonim dengan pengasasnya.

Proton merupakan antara legasi peninggalan bekas PM Malaysia yang masih boleh kita saksikan sehingga hari ini.

Dan nama Proton ini juga pasti antara yang memiliki ramai pengkritik dan pengutuk dikalangan rakyat Malaysia sendiri.  Saya pasti puak-puak ini sebenarnya sayangkan Proton.

Ini antara cara mereka meluahkan sebagai tanda kecewa dengan Proton, khususnya berkait dengan kualiti.

Persoalan yang selalu bermain di minda saya apabila menyebut tentang Proton, ialah sampai bila jenama kebanggaan negara ini akan terus survive dalam pasaran yang semakin competitive.

Adakah ia masih relevan dengan dalam industri ini?

Bagi yang kurang faham, dalam bahasa mudahnya ialah bila dan adakah Proton akan gulung tikar.

Memang kalau nak dibahaskan persoalan ini, ia memerlukan huraian berjela-jela .

Namun, ada benda menarik yang ingin saya kongsikan kepada anda agar kita boleh mengambil iktibar.

Ada beberapa fakta yang berkait rapat dengan Proton sejak 2 menjak ini.

Buat pertama kalinya, wajah Tun Dr.Mahathir tidak kelihatan semasa perasmian Proton Perdana. Mungkin kerana beliau bukan lagi penasihat Proton selepas meletak jawatan beberapa bulan lalu.

Namun agak kelihatan janggal beliau tidak sekurang-kurangnya menjadi tetamu kehormat.

Ucapan PM Najib yang tanpa berselindung lagi meletakkan punca kemerosotan Proton pada kepimpinan terdahulu menjelaskan lagi kekeruhan hubungan 2 tokoh ini sememangnya diketahui ramai.

Tindakan tun Dr.M yang secara terang menerang menuntut PM Najib meletak jawatan sebagai PM adalah kemuncak kepada

Penghasilan Perdana baru yang menggunakan rekaan serta enjin Honda Accord sebagai asas, menimbulkan persoalan mana perginya RnD Proton.

Mengapa setelah hampir 30 tahun dalam industry ini, Proton masih belum mampu mengeluarkan rekaan sepenuhnya kereta berkualiti sendiri , khusunya kereta segmen mewah seperti Perdana.

Kejatuhan jualan Proton dalam pasaran sangat membimbangkan. Sekalipun jenama Iriz antara rekaan yang sudah banyak membuat perubahan khususnya dalam aspek kualiti dan keselamatan, tapi masih belum banyak kelihatan di jalan raya.

Tindakan Proton untuk memperkenalkan beberapa lagi produk antaranya Persona, Saga dan Ertiga pada tahun ini juga merupakan strategi berani dan berisiko Proton.

Apabila banyak produk dikeluarkan dalam satu masa, ia mendatangkan kebaikan dan keburukan. Baiknya ialah ia boleh dijadikan sebagai short term untuk melonjakkan pegangan pasaran.

Manakala buruknya ialah ia akan mempengaruhi kualiti dan keupayaan Proton dalam mengeluarkan pelbagai produk dalam satu masa pendek.

Apapun yang berlaku selepas ini, nasib Proton akan menjadi perhatian.

Samada anda suka atau tidak, perkembangan semasa politik juga memainkan pengaruh penting dalam menentukan hayat Proton.

Legasi Tun Dr.M ini akan menjadi mangsa sekiranya ia tidak diselamatkan.

Sudah tiba masanya kita berhenti tuduh menuduh. Musuh-musuh Proton sedang menanti peluang untuk menyediakan kapan dan kuburan untuk proton.

Proton penting dalam membina jatidiri bangsa Malaysia. Sekiranya Proton gulung tikar, ia akan menjadikan kita bangsa yang terkebelakang dan tidak ada keyakinan terhadap kemampuan sendiri.

Seorang rakan pernah bertanya kepada saya, apa yang dibanggakan sangat dengan Proton?

Jawapan saya mudah untuk beliau. Sekiranya anda melancong ke luar negara seperti Amerika ataupun Jepun, tiba-tiba kita lihat ada kelibat Proton meluncur laju di jalan raya. Apa perasaan anda?

Apa perasaan kita bila melihat Proton beraksi dalam filem Hollywood mahupun Bollywood?

Pasti akan timbul rasa bangga dengan nama Proton.

Tapi..bila?

 

MOHAMAD HAFIZ
PEMILIK PROTON SAGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *