SELAMAT HARI JADI KE-2 ANAKKU MUHAMMAD HARRAZ : Coretan Untuk Anak Pertama

fefb9f4146524f1c220e0bed9a243d14

Tepat pukul 12.25 pagi, 15 September 2013, merupakan tarikh penting dalam kehidupan saya sebagai seorang suami dan bapa. Anak pertama saya iaitu seorang anak lelaki selamat dilahirkan. Maka tahun ini genaplah 2 tahun usianya berada di alam dunia.

Bayi lelaki comel ini saya dan isteri namakan sebagai Muhammad Harraz. Nama istimewa ini dipilih daripada beberapa nama yang sudah kami senarai pendekkan.

Nama Muhammad Harraz yang mempunyai maksud yang baik, sedap didengar, mungkin mendorong kepada gerak hati untuk memilih nama istimewa ini. Mudah-mudahan menjadi anak yang baik dan soleh.

Maksud nama Harraz = Yang Warak

Artikel ini merupakan satu luahan ikhlas seorang bapa yang mungkin mewakili golongan ibubapa di luar sana. Tempoh 2 tahun banyak memberi pengajaran dan pengalaman berguna dalam memperbaiki lagi kesilapan dalam mendidik khususnya anak yang pertama.

Selepas mendapat anak yang kedua, kadang-kadang anak yang pertama akan menjadi tempat luahan kemarahan.

Dalam usia yang begini, pelbagai kerenah anak yang meletihkan dan sering menyakitkan hati. Bayangkan sajalah apabila pulang dari kerja, belum sempat merehatkan keletihan, anak suda mula membuat perangai.

Situasi ini kadang-kadang membuat saya terpukul manja, termarah dan tercubit.

Namun, melihat wajah anak ketika tidur terutama di waktu malam, membuatkan saya menyesal, bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulanginya.

Tetapi pada keesokan harinya, perkara yang sama akan berulang dan berulang.

Pertama itu adalah yang istimewa

Teringat saya tentang satu ungkapan “Yang Pertama Itu Adalah Yang Istimewa”. Ungkapan inilah yang membuatkan saya berfikir dan bermuhasabah diri.

Anak pertamalah bermula semuanya. Dialah tempat kasih ibubapa yang pertama tercurah. Anak inilah menjadi teman rapat yang menghiburkan kesunyian.

Ia membuatkan saya tersedar bahawa kelakuan sering memarahi anak merupakan tanda kepada kesilapan mendidik anak. Saya kena akui yang saya salah dan belum pandai mengajar anak.

Allah sebenarnya menghantar anak untuk mendidik kita iaitu ibubapa agar belajar dan jangan sombong dengan kurniaan-Nya.

Saya mengingatkan kepada diri sendiri bahawa si anak kecil ini adalah ujian untuk membawa ke syurga ataupun neraka. Melalui anak kecik inilah Allah memberikan rezeki yang tidak putus-putus. Melalui anak pertama inilah Allah kuatkan semangat dan kesabaran kita.

Allah membuatkan kita untuk rajin dan kuat berusaha. Allah mengajar kita untuk yakin dengan-Nya dan janji-Nya.

Sayangilah anak kerana Allah. Daripada Allah perasaan sayang itu lahir.

Sayangilah anak pertama kerana anak pertama ialah anugerah terindah pertama daripada Allah. Melaluinya kita mengenal kasih dan sayang Allah.

Didiklah anak dengan kasih sayang yang Allah berikan. Allah tidak mengajar kita menerusi kebengisan dan kemarahan.

 Allah memperkenalkan nama-Nya dalam Al-Quran dengan kalimah Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan Taubat selalu atas kesilapan. Insyaallah semoga kita mendapat petunjuk dan kekuatan.

PhotoGrid_1442228456111

Selamat Hari Jadi Ke-2 untuk Anakku Muhammad Harraz..
Engkaulah antara hadiah terindah daripada Allah SWT..
Engkaulah anak pertama yang berbinkan bapa..
Engkaulah anak pertama yang menghuni rahim ibumu..
Engkaulah anak pertama yang membuatkan ibu dan bapa tersenyum..
Kerana Engkaulah rezeki Allah melimpah tidak putus-putus..
Kerana engkaulah, Allah mengingatkan akan jasa nenek dan datukmu membesarkan ibu dan bapa..
Daripada Engkaulah, Allah mendidik ibu dan bapa untuk bersabar, berusaha dan bersyukur..
Daripada Engkaulah, hari-hari penuh dengan harapan, cita-cita dan masa depan..
Untuk Engkaulah..ibu dan bapa mencari yang terbaik diantara yang terbaik..
Untuk Engkaulah..ibu dan bapa terkadang terpukul tercubit termarah manja..
Demi engkaulah..ibu dan bapa akan terus tabah membesarkan mu..
Semoga Allah melindungi mu daripada bisikan syaitan yang direjam..
Semoga nama mu harum di dunia,
dan menjadi sebutan di langit…
Insyaallah.

Wallahu A’lam Bish Shawab.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *