Skip to main content

OLA BOLA : ANTARA FILEM, SEJARAH DAN ORANG SABAH

866d36cfe8fb927c0ff8a0afeea082aeG

OLA BOLA : Sebuah filem yang sedang hangat mendapat kutipan jutaan ringgit ketika ini. Filem yang diadaptasi daripada kisah benar mengenai kisah bola sepak negara pada tahun 1980.

Ramai yang memuji akan filem ini. Daripada sinematografi yang menawan, jalan cerita yang memang menarik, serta lakonan hebat daripada pelakon yang kebanyakannya masih baru, kesemua ramuan ini ada filem Ola Bola.

Apapun, artikel ini bukanlah mengenai sinopsis filem mahupun ulasan mengenai filem itu sendiri. Saya mahu anda baca artikel ini dengan hati yang lapang supaya anda mudah faham.

Bukan niat untuk mempertikaikan moral daripada filem. Secara peribadi, filem ini sangat sarat dengan mesej perpaduan. Sangat memberi inspirasi kepada anak muda kita.

Ramai orang tahu apa yang berlaku pada tahun tersebut di mana skuad bola sepak negara berjaya menewaskan Korea Selatan untuk mara ke Sukan Olimpik. Ini adalah sejarah.

Namun, isu timbul apabila kisah sejarah yang diubah setelah difilemkan, walaupun kononnya untuk tujuan komersial.

SEJARAH APA YANG DIUBAH?

Pertama, keputusan perlawanan yang sebenar ialah 2-1, bukannya 3-2 seperti yang ditayangkan di filem.

Kedua, pemain yang menjaringkan gol ialah James Wong setelah menerima hantaran daripada Hassan Sani. Tidak seperti yang digambarkan dalam filem.

Yang menariknya, kedua-duanya merupakan anak jati Sabah.

Ada seorang lagi  pemain sabah dalam skuad yang negara pada waktu itu iaitu penjaga gol, Peter Rajah.

APA YANG MENGGURIS HATI ORANG SABAH?

Semua orang tahu pemain Sabah yang menjadi hero dalam perlawanan menentang Korea Selatan.

Dan bagi sudah menonton Filem Ola Bola, pasti tertanya-tanya mana watak James Wong dan Hassan Sani dalam filem itu.

Mungkin ada sesetengah pihak berpendapat ini hanyalah isu kecil kerana nilai kecintaan dan perpaduan negara perlu lebih ditonjolkan dan diuatamakan.

Mungkin pengarah, penerbit, atau penggemar filem cuba untuk menutup mata dan telinga berkaitan isu ‘remeh’ ini.

Perkara inilah yang sebenarnya telah mengguris hati orang Sabah.

Ia bukan tentang sekadar filem semata-mata. Ia juga bukan tentang kejayaan kutipan filem yang mencecah jutaan Ringgit.

Ia tentang sejarah yang diubah atau tidak diceritakan.

Lebih menyadiskan lagi ia ada kaitan dengan kisah yang sangat dekat dengan orang Sabah.

Bagi rakyat Sabah, nama James Wong dan Hassan Sani akan kekal menjadi hero dalam sejarah bola sepak negara dan negeri Sabah.

Ia akan terus diceritakan kepada generasi muda betapa orang Sabah mampu bersama-sama rakyat Malaysia yang lain membawa skuad bola sepak ke pentas antarabangsa.

Kisah inilah yang sebenarnya memberi inspirasi kepada ramai anak tempatan Sabah khususnya yang berada di luar bandar dan pedalaman.

Maka, lahirlah pemain seperti Matlan Marjan, Jelius Ating, Harun Laban, Suharmin Yusuf, Mohd. Jaya Kassim dan Rozaimi Abd. Rahman.

Meraka adalah antara pemain bola sepak Sabah yang pernah menyarung jersi Kebangsaan.

KESIMPULAN DAN PENGAJARAN

Jika sejarah seperti ini boleh diubah, apatah lagi kisah-kisah sejarah lain yang berkaitan dengan Sabah.

Inilah persepsi yang timbul akibat daripada filem Ola Bola. Persepsi yang mungkin akhirnya membuatkan orang Sabah makan hati.

Ketika watak hero orang Sabah yang sepatutnya diangkat, watak itu pula ditiadakan atau diubah.

Saya menulis bukan ingin menonjolkan kisah semangat kenegerian atau perkauman. Ini bukan artikel hanya sekadar menulis tentang bola sepak.

Jauh sekali ingin memberi persepsi negatif terhadap filem Ola Bola.

Tetapi ingin membuka mata serta mendidik masyarakat bahawa sejarah tetap sejarah dan tidak boleh diubah.

Tidak perlu mengubah sejarah hanya kerana ingin memberi inspirasi kepada orang lain.

Kerana kisah sejarah itu sendiri yang akan melahirkan dan memberi inspirasi.

Marilah kita menjadi bangsa yang jujur kepada sejarah dan generasi muda.

 

Wallahualam.

3 thoughts to “OLA BOLA : ANTARA FILEM, SEJARAH DAN ORANG SABAH”

  1. Satu informasi dan luahan yang pendek, padat dan tepat.
    Dari pendapat kecil 5 sen saya, sejarah di Malaysia ini biasa diputar belit sejak kita merdeka lagi. Jangankan kata sejarah Bola, yang lebih sadis apabila buku teks sejarah mengenai bangsa melayu terdahulu nenek moyang kita banyak yang sama ada diubah, tak habis cerita, dan memang tak ada disebut pun. Apatah lagi nak diceritakan pengorbanan dari bangsa bangsa yang lain di Malaysia.

    1. Tidak baik membuat generalisasi sebegitu. Baik dan jahat itu adalah kesalahan individu, bukan kesalahan bangsa.

      Semua bangsa ada seorang dua yang jahat, tapi bukan semua.

Comments are closed.