Anak ramai, barang banyak, kereta tak muat, dan mula berfikir nak beli SUV/MPV? Apakah pula pilihan SUV /MPV terbaik untuk keluarga?
Artikel ini mungkin dapat membantu menyelesaikan kebuntuan anda. Inilah masanya untuk berpindah ke kenderaan baru yang lebih besar dan selesa.
Tapi, banyak perkara perlu diambil kira sebelum membeli kenderaan baru.
MENGAPA SUV/MPV
Besar, luas, dan selesa untuk keluarga. Saya sebenarnya sudah ‘mengkaji’ hampir 10 buah jenis SUV/MPV di pasaran.
Berikut, 5 kenderaan SUV/MPV yang menjadi antara pilihan terbaik saya. Saya akan jelaskan apa yang suka dan tidak suka pada kenderaan tersebut. Jom baca.
NISSAN SERENA
Suatu masa dahulu, saya sangat skeptikal dengan ‘design kotak akuarium’ dan ‘peti sejuk berjalan’ daripada Serena.
Memang design begini secara jujurnya saya kurang berminat.
Namun, pandangan saya mula berubah selepas mula mengenali Serena secara lebih dekat lagi.c
APA YANG SAYA SUKA
Design dan rekabentuk dalaman Serena kelihatan lebih mewah dan elegen. Grill depannya berbentuk V-motion memberi wajah yang segar dan moden.
Serena juga mampu memuatkan 7 orang dewasa. Dengan selesa.
Paling saya tertarik, lubang aircond ada pada setiap baris tempat duduk. Sangat memberi keselesaan kepada anak anak.
Satu perkara yang saya sangat puji mengenai Serena ialah terdapat 6 beg udara. Keselamatan adalah elemen penting dalam memilih sesebuah kenderaan.
APA YANG SAYA TIDAK SUKA
Saya tak suka bahagian cerminnya yang luas, menyebabkan anda perlu kos lebih untuk tinted.
Selain tu, oleh kerana ini ialah sebuah MPV, jangan mengharapkan pemanduan seperti sebuah sedan. Ia tetap sebuah van.
PEUGOUT 5008
Jika anda pandang semacam pada jenama eropah dari Perancis ini, Saya pun sama juga sebelum ini.
Berapa banyak sangat jenama ini yang kita boleh lihat di atas jalanraya Malaysia.
Tetapi benar orang kata, tak kenal maka tak cinta.
Model ini mendapat review yang sangat memberangsangkan di luar negara. Tidak hairanlah, ia telah dianugerahkan car of the year di Eropah.
APA YANG SAYA SUKA
Ada 2 perkara saya suka tentang model ini. Pertama, ia boleh memuatkan 7 orang dewasa dengan selesa, khususnya bagi sebuah model SUV.
Kebanyakan SUV di pasaran tidak menawarkan tempat duduk barisan ketiga. Jika ada pun, mungkin 2 tempat dibelakang hanya sesuai untuk kanak-kanak.
Kedua, pastinya rekaan dalaman terutamanya bahagian pemandu yang sangat futuristik. Ia memberi pengalaman pemanduan seakan dalam sebuah kokpit kapal terbang.
APA YANG SAYA TIDAK SUKA
Jika ada perkara utama yang saya tak suka pada model ini, ia pastinya ialah mengenai part dan servis selepas jualannya.
Pusat servis yang tidak banyak, dan part yang mungkin sukar untuk diperolehi di pasaran.
TOYOTA INNOVA
Nama Toyota Innova tidak perlu lagi diperkenalkan.
Model Innova terbaru ini tampil dengan spesifikasi yang lebih menarik, dan wajah yang lebih segar.
APA YANG SAYA SUKA
Model ini memberi satu perasaan memandu sebuah MPV tanpa rasa gentar meredah pelbagai jenis jalan termasuk offroad.
Oleh kerana ia berkongsi pelantar yang sama dengan Hilux, keutuhan sistem suspensinya dan kelasakanya memang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Satu yang patut saya puji ialah ruangan dalamannya yang jauh lebih baik berbanding model sebelum ini. Lebih rasa selesa, mewah dan lebih kedap bunyi.
APA YANG SAYA TIDAK SUKA
Badan Innova kelihatan besar. Tetapi, ruangan dalamannya tidaklah luas seperti pandangan dari luar.
Kalau anda mementingkan ruangan besar sebuah MPV, Innova mungkin bukan pilihan tepat.
KIA CARNIVAL
Mungkin kerana jenama, Kia Carnival kurang mendapat perhatian.
Tetapi, ini adalah antara model MPV yang paling menarik banyak perhatian saya.
Rekaannya yang besar, tetapi sangat elegan untuk sebuah MPV.
APA YANG SAYA SUKA
Ini adalah sebuah MPV yang hadir dengan kuasa yang kuat, dan ruang dalaman yang luas. USB port yang banyak. Penghawa dingin di setiap barisan. Kotak penyimpanan barang dan minuman yang banyak.
Mempunyai anak sampai 8 orang? Jangan risau. Untuk model terbaru 2020, Carnival hadir dengan satu varian sahaja iaitu 11 tempat duduk.
APA YANG SAYA TIDAK SUKA
Jujur saya lebih suka model tahun sebelum ini, iaitu yang mempunyai konfigurasi 8 tempat duduk. Pada saya ia sudah cukup untuk sebuah keluarga kebanyakan di Malaysia.
Satu lagi ialah pusat servis Kia yang masih tidak banyak di Malaysia.
Untuk harga yang mencecah lebih 180k bagi sebuah model dari Korea, KIA harus memikirkan sesuatu tentang ini.
ALPHARD / VELLFIRE
Mungkin ramai yang mengangkat kening kenapa saya senaraikan model mewah golongan kayangan ini.
Sebenarnya, model Alphard dan Vellfire ini mempunyai pelbagai jenis dan harga.
Masih ada yang berada dalam lingkungan mampu milik. Bagi yang berkemampuan, ini pastinya pilihan utama.
APA YANG SUKA
Sekalipun ia kenderaan recond dan sudah berusia lebih daripada 5 tahun, aura Alphard memang lain macam. Jenama Toyota memang dikenali kerana sangat dipercayai dan alat bahan gantian yang mudah diperolehi.
Ia juga memberi keselesaan bukan hanya kepada penumpang, tetapi juga kepada pemandu.
Ruangan dalaman yang luas. Dan paling penting, ia memberikan perasaan mewah kepada sesiapa yang menaikinya.
APA YANG SAYA TIDAK SUKA
Satu perkara yang mungkin ia tidak ditawarkan ialah jaminan pemanduan sehingga 5 tahun, berbanding model kenderaan baru yang lain.
Dengan usia yang sudah melebihi 5 tahun, sekalipun ia kelihatan baru, mungkin pelbagai masalah akan mula timbul lebih awal, berbanding model baru.
APA YANG TERBAIK?
Perkongsian di atas adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam pencarian memilih SUV/MPV yang ada di pasaran tempatan.
Jika anda tanya saya mana satu antara model ini yang terbaik, jawapan ringkas ialah ia bergantung kepada apa keutamaan dan keperluan anda.
Tepuk poket, tanya selera.
Sekian.