6 USTAZ DI YOUTUBE YANG SAYA IKUTI

Youtube telah membawa saya untuk lebih mudah mengikuti ceramah dan forum yang berkaitan agama. Jika sebelum ini, agak sukar mengikuti ceramah atas pelbagai faktor, sekarang zaman sudah berubah.
Kehadiran teknologi seperti youtube, telah membantu memudahkan kita mendengar ceramah agama dengan lebih mudah.
Bagi yang mungkin perasan, era ceramah menerusi youtube ini mula berkembang pesat selepas fenomena yang ditimbulkan  oleh Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Elias.
Tumbuh bak cendawan ceramah dan kuliah ustaz di Youtube. Saya ingin kongsikan disini beberapa orang ustaz yang begitu dekat dihati saya.
Mereka ini antara yang banyak membantu saya memahami dengan lebih mendalam dan jelas ilmu yang mungkin belum pernah saya terokai. Sekalipun hanya menerusi kemudahan seperti youtube.
Apa yang saya ingin fokuskan ialah bagaimana kaedah dan cara mereka berceramah telah menjadikan isi ceramah mereka terus menerusuk ke dalam minda dan hati.
Kepelbagaian dan kehebatan mereka ini saya rangkumkan dalam satu artikel ringkas bagi bertujuan untuk kita jadikan sebagai panduan dan rujukan.
Tidak mudah untuk menjadi penceramah. Apatah lagi bersangkut paut dengan agama. Maka, kehadiran ustaz seperti ini sebenarnya telah mengubah persepsi saya bahawa penceramah agama ini selalu dan biasanya membosankan.

USTAZ ABDULLAH KHAIRI

Saya mengikuti kisah beliau lama sebelum namanya mula dikenali seperti sekarang. Kisah hidupnya yang selalu diceritakan dalam ceramahnya sering memberi inspirasi.
Menarik tentang Ustaz Abdullah Khairi ialah gaya penyampaiannya dalam menyampaikan ceramah. Suaranya yang lantang dan jelas membuatkan sesiapa yang mengikuti ceramahnya ‘sukar’ untuk tertidur.
Dalam masa yang sama, dia dapat membuatkan hati kita meruntun mendengar kisah sedih. Aura dimilikinya pasti membuatkan sesiapa sahaja akan mendengar ceramahnya.

USTAZ DATO’ BADLISHAH ALAUDDIN

Beliau juga antara tokoh agama yang telah lama saya ikuti ceramahnya.
Beliau antara ustaz yang pada saya seronok untuk diikuti ceramahnya. Gaya bahasanya sangat tersusun dan penuh dengan maklumat yang ‘segar’ untuk didengar.
Beliau juga antara penceramah agama yang sering memasukkan unsur humor dalam siri ceramahnya.
Antara siri ceramah yang paling saya minat ialah rancangan cinta ilmu di TV9, bertajuk hari Kiamat. Rancangan ini pernah bersiaran beberapa tahun dahulu.

USTAZ DATO DR DANIAL ZAINAL ABIDIN

Beliau antara Ustaz yang hebat dalam berhujah. Kepetahannya dalam menutur ayat sangat membuatkan saya teruja. Jarang kita menjumpai penceramah yang sebigini.
Gaya bahasanya sangat jelas dan mudah difahami. Nampak serius, tetapi tidak membuatkan ceramhnya sesuatu yang membosankan.
Secara peribadi, saya mengkagumi kehebatan ilmu beliau dalam bidang sains yang sering beliau kaitkan dengan kehebatan Al Quran. Satu lagi yang menarik tentang Ustaz  Danial Zainal Abidin ialah kepetahanya dalam berbahasa Inggeris.

USTAZ SYAARI ABDUL RAHMAN

Bagi yang mungkin kurang mengenali beliau, Ustaz Syaari ialah penceramah bagi segmen Ibrah yang disiarkan beberapa tahun di IKIM FM, berakhir tahun lalu.
Segmen Ibrah kisah Nabi adalah antara pogram yang sangat besar manfaatnya kepada kita. Ia mengubah cara saya melihat kisah nabi dan melihat ibrah dari sisi yang berbeza.
Gaya bahasanya sangat sederhana dan senang untuk kita fahami isi kandungan ceramahnya.

USTAZ SYAMSUL DEBAT

Mula dikenali sekitar tahun ini, Ustaz Syamsul Debat memang agak terkenal dengan lawak jenakanya. Ceramahnya yang biasanya menyentuh tentang kekeluargaan dan sangat sesuai diikuti oleh pasangan suami isteri.
Mungkin menerusi jenaka dan humor ini, mampu menarik ramai dikalangan kita untuk mendengar ceramah.  Ustaz Syamsul adalah jawapannya.
Kehebatan beiau menggunakan elemen unsur lucu sebagai kekuatan dalam menyampaikan ceramah dan dakwahnya.
Bagi pasangan suami isteri, ambil la masa tonton ceramahnya di youtube. Refresh semula tahap keromantikan dalam berumahtangga yang selari dengan tuntutan agama.

USTAZ AUNI MOHAMMAD

Saya antara peminat tegar topik yang berkaitan akhir zaman. Ceramah Ustaz Auni adalah antara yang banyak memberi pencerahan lebih mendalam menerusi pelbagai sudut ilmu berkaitannya.
Antara penceramah yang saya kagumi daya ingatannya. Segala fakta dan input dihuraikan dalam sesi ceramahnya kebanyakan tanpa melihat teks. 
Cara Ustaz Auni membahaskan topik yang agak berat dalam suasana yang santai menyebabkan kita dapat memahami ilmu dengan lebih jelas. Kredit juga untuk Abu Khadijah Studio yang banyak memuatnaik sesi ceramah dalam bentuk full HD yang kualitinya sangat memuaskan.

KESIMPULAN

Senarai ustaz yang saya huraikan di atas hanya sebahagian daripada ramai lagi ustaz yang kita boleh tonton di youtube. Mungkin selepas ini akan menyusul artikel mengenai penceramah agama bahagian kedua.
Dalam kita mengikuti mana mana penceramah di youtube, nasihat saya ialah sentiasa berhati hati dan tidak hanya spoon feeding semata.
Mungkin ada kandungan ceramah di youtube itu kurang sesuai dengan kita ( bukan untuk bersangka buruk), maka penting untuk kita berguru dan terus menuntut ilmu.
Moga lebih ramai lagi organisasi atau individu tampil meneruskan amal jariah dengan memuatnaik siri video agama di youtube.
Kita juga boleh turut sama menghulurkan bantuan ikhlas dalam bentuk kewangan dalam melicinkan lagi urusan mereka. Insyaallah besar pahala dan manfaat yang kita perolehi.
Mudah mudahan kita beroleh kebaikan daripada perkongsian ini.
Wallahualam.

 

MOHAMAD HAFIZ

BUKAN USTAZ TAPI BARU NAK START

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *