Skip to main content

4 JENIS DOSA YANG SERING KITA BUAT-BUAT TIDAK SEDAR

327a633b377dea5ccb48f7f82547e88d

Menulis tentang dosa ini kadang-kadang membuatkan saya terfikir samada adakah saya ini orang yang sesuai menulis topik ini. Saya bukan ustaz. Tidak ada ilmu agama yang cukup untuk berbahas mengenai dosa.

Namun, inilah persepsi masyarakat yang ditanam hidup-hidup dalam kepala otak sejak sekian lama. Kadang-kadang ia seolah-olah sukar dikikis. Dosa dan pahala itu bukan hak ekslusif golongan agamawan. Selagi kita muslim, selagi itulah tanggungjawab dakwah itu berterusan.

Saya yakin dan akui semua kita mesti pernah melakukan dosa. Topik mengenai dosa ini bukanlah baru. Namun, setuju atau tidak, topik inilah yang paling orang tidak suka baca. Saya sendiri pun masih mencari jawapannya.

Maka, bila menulis tentang sesuatu yang orang kurang gemar baca memang mencabar. Sekiranya anda membaca sehingga perkataan ini, anda tergolong dalam golongan yang berjaya melepasi halangan. Halangan apa? Halangan bisikan syaitan.

Baiklah, berikut 4 jenis dosa yang saya ringkaskan penerangannya agar mudah kita faham dan mudah kita sebar.

Takut Dengan Dosa

Inilah golongan yang paling baik sekali. Berapa ramai dikalangan kita yang takut dengan dosa? Kerana apabila takut dengan dosa, akan terhindar daripada segala kejahatan. Sikap inilah juga akan membuatkan kita menghampiri pahala.

Berani Dengan Dosa

Peringkat inilah yang ramai berlaku dikalangan kita pada hari ini. Perasaan takut sudah tidak ada lagi. Peringkat berani dengan dosa ini adalah peringkat paling kritikal yang harus dielak. Mula-mula berani dengan dosa kecil. Tetapi lama-kelamaan, akan upgrade ke dosa besar.

Seronok Dengan Dosa

Golongan pada peringkat ini akan kerap kali melakukan dosa. Apabila sudah berani, akan timbul perasaan ingin melakukan sekali lagi, dan berkali-kali. Dan akhirnya timbullah keseronokan untuk melakukan dosa.

Promosi Dosa

Peringkat ini ialah mengajak orang lain melakukan dosa. Mereka yang tergolong pada peringkat ini akan mempromosikan betapa seronok melakukan dosa.

KESIMPULAN

Secara ikhlas, tanya pada diri sendiri..di manakah kita berada di antara keempat-empat jenis dosa ini. Sekiranya masih takut dengan dosa, syukur dan berusaha untuk menjadi lebih baik.

Namun, sekiranya sudah berani, seronok, dan promosikan dosa, cepat-cepatlah bertaubat selagi Allah SWT masih meminjamkan oksigen ke dalam paru-paru kita.

Ayuh kita buka mata. Musuh kita yang sebenarnya bukanlah penjajah, orang, senjata ataupun sebagainya. Musuh kita yang paling nyata ialah Iblis dan syaitan. Yang akan sentiasa membisikkan kejahatan agar kita menjadi seperti mereka.

Wallahualam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *