Skip to main content

6 PERKARA SEMPENA ULANG TAHUN PERKAHWINAN : HAPPY ANNIVERSARY ISTERIKU TERCINTA

c4d1dbda0cfa2270f6270a7d88b5eb89

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”                                                                                                         – ayat 21, surah ar-Rum 
Perkahwinan merupakan idaman setiap manusia di muka bumi ini. Dari perkahwinan itulah bermulanya gelaran suami dan isteri. Dan setiap pasangan suami isteri pastinya mendambakan ikatan yang berkekalan hingga akhir hayat.
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN buat isteri tercinta. 7 Disember merupakan tarikh keramat kami menjadi pasangan suami isteri yang sah. Terima Kasih kerana terus setia menjadi isteri dan menjadi ibu yang hebat. I love you so much.
Dan saya akui bukan mudah untuk menggalas tugas sebagai suami..tidak semudah melafazkan “aku terima nikahnya”. Adakalanya tidak seindah yang dibayangkan ketika sewaktu sebelum perkahwinan.
Sebagai manusia biasa, niat dan doa saya mahukan perhubungan berkekalan bahagia sehingga penghujung nafas.
Bersempena dengan ulang tahun perkahwinan, maka saya nukilkan artikel ini untuk saya jadikan panduan. Untuk saya jadikan peringatan. Untuk saya berkongsi dengan pembaca agar kita beroleh manfaat.

Saya yakin semua suami isteri mahukan kebahagiaan dalam perhubungan. Dan tiada siapa yang inginkan perceraian sebagai pengakhiran dalam perhubungan.
Bagi pasangan yang bermasalah, nasihat saya, renungkan kejadian dengan hikmah, dan teruskanlah kehidupan. Yakinlah ada hikmah disebalik setiap kejadian yang Allah berikan. Mungkin itulah yang terbaik untuk kita.
Bagi pasangan yang masih bergelar suami dan isteri, jangan hanya berpuas hati dengan hubungan yang sedia ada. Jangan leka dengan berada dalam zon selesa.

“Pastikan hubungan senantiasa diupdate dan diupgrade untuk menjadi lebih baik.”

Dan berikut merupakan tips yang diharap dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Insya Allah.

#1.  KOMUNIKASI MESTILAH BERKESAN

Masalah komunikasi sering menjadi masalah dalam perhubungan suami isteri. Maka, kita perlu luangkan masa untuk berkomunikasi dengan pasangan.
Harus bijak mengambil peluang dan ruang masa. Saya percaya bahawa komunikasi yang baik dapat memelihara hubungan kasih sayang dan kebahagiaan.
Penggunaan laman dan aplikasi sosial secara bijak, boleh dijadikan medium untuk membentuk komunikasi yang berkesan. Namun, sekiranya disalahguna, ia memberikan kesan yang sangat buruk dalam perhubungan.

#2.  KESERASIAN DALAM MEWUJUDKAN SUASANA HARMONI

Keserasian biasanya sudah wujud diantara pasangan sebelum perkahwinan lagi. Apa yang penting ialah bagaimana untuk memastikan keserasian sentiasa ada.
Tanpa keserasian, sebarang keputusan tentang sesuatu perkara akan sukar diambil. Lebih buruk lagi apabila ia menjadi penyebab kepada berlakunya pertelingkahan dan pergaduhan.
Biasakanlah diri untuk sentiasa memberi senyuman. Senyuman yang ikhlas adalah ramuan penting untuk mewujudkan keserasian.

#3.  SALING BANTU MEMBANTU, SALING SAYANG-MENYAYANG, SALING PUAS-MEMUAS.

Erti berpasangan ialah kehidupan berdua. Pada saya, apa-apa hal dalam kehidupan selepas berkeluarga mesti melibatkan suami isteri.
Sikap bantu-mambantu dalam setiap hal. Adakala suami atau isteri berada dalam kesempitan atau kesusahan. Keikhlasan dalam bantuan perlu sentiasa ada.
Suami isteri juga mesti menerapkan kasih sayang senantiasa dalam perhubungan. Kasih sayang itulah pengikat. Jika pengikat tidak kuat, pasti ikatan akan lemah dan lama-kelamaan putus.
Saling memuaskan pasangan dalam segenap aspek adalah rencah dan ramuan dalam perhubungan. Jika ramuan cukup, pasti hubungan yang enak dan melazatkan akan dikecapi. Jika tidak cukup rempah ratusnya, rasanya akan tawar dan tidak menyelerakan.

#4.  MEMAHAMI CIRI UTAMA ISTERI DAN SUAMI DALAM MEWUJUDKAN KELUARGA MAWADDAH  WA RAHMAH

Ciri utama isteri ialah suka meluahkan kasih sayang, perasaan halus, dan naluri mahu melayan keluarga. Isteri yang tidak ada kesempatan mencurahkan perhatian kepada keluarganya pasti akan kecewa.
Manakala ciri utama suami adalah memfokus kepada perkara rasional dan jelas manfaat kepada keluarga. Isteri perlu faham sikap romantik bermula dari dirinya. Bagi menawan hati suami, wujudkan suasana romantik.
Suami pula usahlah membebankan isteri dengan tugas dan tanggungjawab berat. Jaga pertututan supaya tidak menyinggung isteri.
Maka disinilah bermula keluarga mawaddah wa rahmah. Memahami perwatakan masing-masing.

#5.  MEMAHAMI HARAPAN SEORANG SUAMI KEPADA ISTERI

Setiap suami pastinya ada harapan. Suami mengharapkan perkara berikut dari seorang isteri :
PUJIAN, PERHATIAN, DORONGAN, TELADAN, KELEMBUTAN, SIKAP MEMAHAMI, KEPERCAYAAN, KEGHAIRAHAN, dan BAU YANG WANGI.
Antara yang PALING diharapkan suami daripada isterinya ialah KELEMBUTAN. Berlembutlah ketika berkomunikasi dan berhubung dengan suami.

#6.  MEMAHAMI HARAPAN SEORANG ISTERI KEPADA SUAMI

Isteri juga pastinya mempunyai harapan sepertimana suami. Mari kita fahami apa pula harapan seorang isteri :
PUJIAN, KEGHAIRAHAN, PERLINDUNGAN, DORONGAN, TELADAN, KEGIGIHAN, KEBERSIHAN, ROMANTIK, dan KESETIAAN.
Antara yang PALING diharapkan ialah KEGHAIRAHAN dan PERLINDUNGAN. Pada saya, suami harus bermula dengan kedua-dua ciri tersebut dalam memperbaiki hubungan suami isteri.

KESIMPULAN

Sebenarnya, ada banyak lagi petua tips dalam memastikan perhubungan senantiasa berkekalan. Cari sahaja buku-buku di pasaran atau rajin-rajin google di internet. Samada anda berusaha atau tidak sahaja.
Apa yang saya tulis ini cuma secebis panduan yang diharap dapat memberi manfaat untuk saya dan anda.
Kekuatan ummah bermula daripada keluarga yang sempurna. Keluarga sempurna adalah daripada pasangan suami isteri yang bahagia. Daripada pasangan suami isteri akan lahir zuriat yang menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW.
Lihat bagaimana musuh kita ingin menjatuhkan kekuatan ummah. Hanya dengan porak-porandakan kehidupan keluarga. Lalaikan peranan dan tanggungjawab suami isteri. Anak-anak leka dibuai hiburan dunia.
Maka makin mudah bagi Syaitan Laknatullah menjalankan tugasnya.
Oleh itu, sebagai umat Islam, Iman adalah asas tapak kepada segalanya. Tanpa iman, maka kosonglah nilai kebahagian sesebuah keluarga.
Maka tiang kepada tapak adalah Rukun Islam. Sekiranya asas tapak dan tiang kita kukuh, Insya Allah rumah dan tangga yang dibina pasti akan bahagia. Dan mudah-mudahan disirami dengan barakah.

SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERKAHWINAN buat Isteriku tercinta…

DSC01731

 “Aku bukan lelaki  seperti malaikat,
tetapi aku berusaha menjadi suami yang hebat,
Membimbingmu dan anak-anak agar kita beroleh rahmat,
lapangkan dadamu untuk sentiasa menerima nasihat,
Tegurlah suamimu dengan kasih-sayang andai ada silap,
Sama-sama kita berdoa agar beroleh berkat,
Banyak  dugaan yang akan kita tempuhi,
Kita pegang erat akan tali ini,
Agar ikatan tidak putus walau apapun terjadi,
Berserah kita sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Mengasihani,
Kerana dari Dia kita datang, dan kepada Dia jugalah kita kembali.”

 

MOHAMAD HAFIZ

CORETAN SEORANG SUAMI MAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *