Di mana Sudah Hilangnya Laungan MALAYSIA BOLEH!??

Peristiwa skuad bola sepak Harimau Malaya dibaham 10-0 oleh UAE dalam pusingan kelayakan Piala Dunia merupakan detik hitam dalam sejarah kewujudan Malaysia.

Ia dihitam gelapkan lagi dengan peristiwa melontar mercun oleh penyokong di Stadium Shah Alam ketika skuad negara ketinggalan 1 -2 kepada Arab Saudi dalam kempen kelayakan yang sama.

Apa sudah jadi? Mana sudah ngauman Harimau Malaya yang dibangga-banggakan? Mana sudah semangat menyokong Malaysia?

Kisah bola sepak ini adalah antara sekalian kisah malang memalukan nama Malaysia di peta antarabangsa. Sejak akhir-akhir ini, belum ada lagi pencapaian dalam apa jua bidang yang betul-betul membanggakan Malaysia.

Sekiranya adapun mungkin kisah lama yang diulang siar dan boleh dikira dengan jari-jemari.

Peristiwa-peristiwa ini mengimbau kenangan saya kepada slogan Malaysia Boleh yang pernah popular suatu ketika dahulu. Mana sudah perginya laungan keramat ini?

Saya membesar dengan slogan ini. Slogan yang pernah popular sekitar tahun 1990-an dan awal 2000-an ini mempunyai aura yang luar biasa. Mungkin anak-anak generasi baru tidak berkesempatan merasai zaman kegemilangan Malaysia Boleh.

Zaman di mana anak tempatan Malaysia dengan yakin dan bangga membawa nama Malaysia.

Ada Apa Dengan Malaysia Boleh?

malaysiaflag05

Slogan ini sebenarnya sudah melahirkan ramai generasi yang tersohor di pentas dunia. Ia telah membawa Malaysia ke demensi baru dalam peta dunia.

Ia juga telah berjaya mengiringi kejayaan-kejayaan luar biasa yang tidak terduga.

Generasi muda kita hari ini kurang didedahkan tentang kisah kejayaan orang biasa yang melakar sesuatu yang luar biasa. Kisah penuh inspirasi inilah yang generasi ketika ini dahagakan.

Kerana Malaysia Boleh, dua pemuda tempatan berbangsa India berjaya menjejakkan kaki ke gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest.

Kerana Malaysia Boleh, seorang pemuda Melayu berjaya belayar secara solo mengelilingi dunia.

Kerana Malaysia Boleh, seorang pemuda berjaya berenang secara solo menyeberang Selat Inggeris.

Kerana Malaysia Boleh, Rakyat Malaysia berjaya menjejakkan kaki ke Kutub selatan.

Kerana Malaysia Boleh, Malaysia membina Litar F1 Sepang dan menjadi negara kedua di Asia selepas Jepun menganjurkan pelumbaan Formula 1.

Kerana Malaysia Boleh, kita mampu membina bangunan pencakar langit, infrastruktur canggih, dan macam-macam lagi.

str2_s6_azharmansor
Ketibaan Azhar Mansor selepas berjaya belayar mengelilingi dunia

 

malaysiaboleh01.jpg
N. Mohanadas dan M. Magendran mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Everest

 

bagus
Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, menjelajah solo di Kutub Selatan

 

re_05.1
Abdul Malik  berjaya berenang merentasi Selat Inggeris

 

smsfloating
Angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar

Saya mencadangkan agar slogan ini diberi nafas baru dan dipupuk semula dikalangan generasi baru. Jangan dicampurkan adukkan slogan bernafaskan politik kepartian yang akhirnya gagal membentuk semangat nasionalisme yang kental.

Generasi masa kini sebenarnya kekeringan semangat dan daya juang untuk negara. Slogan komersial seperti 1 Malaysia, Janji Ditepati, Sehati Sejiwa masih belum mampu membakar semangat untuk berjuang. Saya percaya bahawa perpaduan sebenar hanya dapat dipupuk menerusi semangat kecintaan kita kepada negara.

Ayuh rakyat Malaysia, mari kita tanamkan dalam hati satu semangat Malaysia Boleh! Mari kita jadikan generasi berjaya terdahulu sebagai sumber inspirasi kita untuk kita buktikan kepada dunia bahawa kita bukan bangsa yang mudah dipijak.

Jika kau fikirkan kau boleh

Kau pasti boleh melakukan

Jika kau fikirkan ragu-ragu

Usahamu tidak menentu

Percaya apa kau lakukan

Tabah apa kau usahakan

Bertindak atas kemampuan

Engkau BOLEH! 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *