PENGALAMAN MELAHIRKAN BAYI SONGSANG DI JMC KOTA KINABALU : 5 PERKARA

PENGALAMAN MELAHIRKAN BAYI SONGSANG DI JMC KOTA KINABALU : 5 PERKARA

JMC Kota Kinabalu atau Jesselton Medical Centre Kota Kinabalu adalah salah satu hospital swasta yang terkenal di Sabah.

Pengalaman dari kisah benar ini adalah tentang kelahiran anak saya yang ke 3. Mungkin kita biasa mendengar bayi songsang yang dilahirkan secara pembedahan.

Berbeza sedikit dengan cerita anak saya ini.

Bayi songsang yang akhirnya dilahirkan secara normal, tanpa perlu melalui pembedahan.

Saya kongsikan pengalaman ini dalam 5 perkara penting untuk mudah difahami kronologinya. Jom baca.

KENAPA MEMILIH JMC KOTA KINABALU

Saya memilih hospital ini atas beberapa faktor. Antaranya ia mempunyai kemudahan terkini dengan harga bayaran yang masih affordable.

Kedudukannya yang strategik. Tidak terlalu jauh dari pusat bandar, dan mudah untuk diakses.

Namun, faktor paling utama ialah pemilihan doktor. Doktor yang saya dan isteri pilih ialah Dr. Sutha. Seorang doktor yang sangat peramah dan servisnya yang tiptop.

Beliau jugalah yang melahirkan anak saya kedua tetapi di hospital swasta yang berbeza.

So, bertambah mudahlah urusan kami kerana sudah pernah menggunakan perkhidmatannya.

PEMERIKSAAN RUTIN

Tahun 2017 merupakan tahun peristiwa ini berlaku. Seperti ibu-ibu mengandung yang lain, isteri saya mengikuti segala rutin pemeriksaaan yang telah ditetapkan pihak JMC.

Pada awal tempoh mengandung, anak saya sudah berada dalam keadaan songsang.

Namun, doktor mengatakan ia masih normal pada usia kandungan seperti itu.

So, ia tidak membuatkan kami risau sangat.

CONFIRM KEDUDUKAN BAYI SONGSANG

Menjelang peringkat akhir kandungan, anak saya masih lagi dalam kedudukan songsang. Dr. Sutha mencadangkan untuk membuat proses urutan bagi memusingkan bayi ke tempat normal.

Namun, proses ini gagal. Bayi masih lagi songsang.

Akhirnya, Dr.Sutha menetapkan tarikh untuk membuat pembedahan. Saya dan isteri pada mulanya agak blur dan risau, memandangkan 2 anak sebelum ini lahir secara normal.

Namun, kami redha dan bersedia untuk melalui proses kelahiran secara pembedahan. Asalkan bayi dalam kandungan dan isteri selamat.

Untuk proses itu, bayaran caj adalah berbeza dan sedikit mahal berbanding kelahiran normal.

Beberapa hari sebelum tarikh pembedahan, saya membawa isteri berjumpa dengan seorang ustaz dari darul syifa untuk diruqyah.

Salah satu ikhtiar agar kelahiran ini berjalan lancar.

HARI KEJADIAN DI JMC KOTA KINABALU

Tanggal 12 Oktober, seawal jam 6.oo pagi, kami sudah berada di wad hosptal JMC Kota Kinabalu. Pembedahan akan bermula sekitar pukul 9.00 pagi.

Saya puji dengan perkhidmatan yang diberikan. Daripada kami sampai ke hospital sehingga ke bilik wad, urusan sangat lancar.

Mereka sudah sediakan segala peralatan dan mempersiapkan isteri saya untuk ke bilik bedah.

Oleh kerana saya juga akan masuk sekali, saya pun kena mengikuti prosuder yang mereka tetapkan.

Pada pukul 8.00 pagi, seorang midwife masuk ke wad kami untuk membuat pemeriksaan. Dia merasakan bahawa bayi dalam kandungan sudah berpusing ke tempat normal.

Midwife tadi terus menghubungi Dr. Sutha untuk memberitahu situasi semasa. Dr.Sutha kemudiannya datang dan membuat pemeriksaan scan.

Alangkah terkejutnya kami apabila mendapati bayi dalam kandungan sudah berada dalam kedudukan normal.

Doktor memutuskan untuk batalkan pembedahan dan proceed untuk kelahiran normal secara suntikan induse, supaya tidak berpusing lagi.

9 JAM YANG MENDEBARKAN

Tepat jam 8.30, isteri saya diberikan suntikan induse. Suntikan ini bertujuan untuk mengecutkan rahim supaya bayi dapat dikeluarkan.

Beberapa ketika kemudian, isteri sudah merasai kesakitan kesan daripada suntikan.

Menjelang tengahari, tahap kesakitan semakin bertambah. Mujur ada buah kurma ajwa yang sempat dibawa untuk diberikan kepada isteri.

Mudah-mudahan keberkatan dari buah kurma dapat memudahkan isteri bersalin.

Tepat pukul 5 petang, Dr.Sutha dan beberapa nurse sudah bersiap untuk menyambut kelahiran bayi. Namun, menurut doktor, kedudukan bayi masih ‘jauh’. Mereka masih berusaha agar bayi dapat dikeluarkan dalam keadaan segera.

Melihat keadaan situasi yang tegar dan mendebarkan, saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa.

Dr.Sutha sempat membisikkan kepada saya, sekiranya dalam tempoh masa terdekat masih belum lahir, pembedahan kecemasan akan dibuat – melihat kepada kepenatan dan keletihan isteri saya.

Namun, beliau masih optimis dan berharap semuanya dalam keadaan normal.

Allahuakbar. Tepat pukul 5.30 petang, akhirnya bayi selamat juga dilahirkan – secara normal.

KESIMPULAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mempermudahkan segala urusan dan proses kelahiran. Saya hanya mampu bersyukur atas segala apa yang berlaku.

Dr. Sutha ada memberitahu, kes sebegini memang jarang berlaku – bayi songsang yang pusing normal last minute. Jika berlaku pun, ia biasanya berakhir dengan pembedahan juga.

Kredit saya berikan kepada semua staff JMC Kota Kinabalu. Antara hospital swasta terbaik di Sabah untuk ibu-ibu yang mengandung.

Semoga kisah ini menjadi satu cerita yang boleh dikongsikan kepada anda semua.

*Ketika artikel ini diterbitkan, anak saya sudah pun berumur hampir 5 tahun. Namanya – Muhammad Zayyan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *