NAJIB : Dalam 1 Kebaikan, Terpalit 1000 Keburukan

6935b005813ea9fe34fca6bb3247e8fc

Bila sebut nama Najib, antara perkara pertama yang terbayang ialah GST, 1MDB, 2.6 Billion, Altantuya, Rosmah dan sebagainya.

Semua gambaran ini merupakan persepsi buruk yang bertubi-tubi membayangi kepimpinan PM Malaysia yang ke 6 ini. Entah mengapa masyarakat seolah-olah sudah terlupa tentang segala kebaikan DS Najib.

Bukan semua berpandangan sebegitu. Tetapi kebanyakannya berfikiran begitu.

Saya pernah menulis tentang DS Najib pada artikel lepas. ketika itu, sudah ada desakan untuk beliau berundur daripada jawatan PM. Dan ketika saya menulis artikel ini, DS Najib masih lagi bergelar Perdana Menteri Malaysia.

Saya ingin menarik perhatian pembaca mengenai kisah sekeping kertas yang terdapat setompok titik hitam di atasnya. Pasti akan lebih difokuskan ialah tompok hitam berbanding warna putih kertas.

Bayangkan sekiranya terdapat lebih daripada satu titik tompok hitam. Saya ibaratkan kisah DS Najib sama seperti gambaran kertas putih tersebut.

Saya menulis mencari ibrah disebalik kejadian. Jangan ada yang melabel artikel in sebagai propaganda. Baca dan fahami hingga noktah terakhir.

Kita raikan kebaikan dan sempadankan keburukan. Setiap yang terjadi pasti Allah SWT menunjukkan sesuatu untuk kita jadikan iktibar.

Sudah menjadi seolah-olah lumrah manusia untuk lebih suka bercerita tentang keburukan berbanding kebaikan. 

Selagi belum ada bukti dan saksi yang cukup, adalah tidak adil untuk kita menghukum seseorang. Itu hukum yang perlu kita pegang.

Namun, Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Maha Adil. Kadang-kadang Kejadian yang berlaku itu ada hikmah yang menuntut kita sebagai warga marhaen untuk berfikir.

Kita sebenarnya sudah berada di akhir zaman. Zaman yang penuh dengan fitnah. Kita sendiri tidak tahu siapa yang betul dan siapa yang salah.

Dengan pelbagai krisis melanda Malaysia ketika ini, ramai yang terkial-kial mencari tempat untuk dipegang. Fitnah yang berleluasa ini menjadikan kita keliru tentang ke mana hendak di tujukan sokongan.

DS Najib tidak terlepas daripada gelombang fitnah ini. Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali. Apapun yang terjadi selepas ini, kita juga yang akan terkesan.

Maka, saya mengajak pembaca untuk kita hayati pesanan Nabi Muhammad SAW apabila kita berhadapan dengan situasi akhir zaman ini. apa yang perlu kita lakukan apabila menghadapi berita-berita belum tentu kesahihannya.

Diam

Antaranya ialah diam. Diam bermaksud jangan kita mencampuri segala jenis pemberontakan. Jangan kita melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh memudaratkan.

Apabila kita sedang dalam keadaan berdiri, maka duduklah.

Jangan kita bersorak dengan melaungkan tentangan berapi yang akhirnya merosakkan negara. Jangan hanya duduk menyebarkan dan mencopy pastekan berita yang belum tentu kebenarannya.

Bersangka-Baik

Bersangka buruk itu sangat dekat dengan bisikan syaitan yang dilaknat. Bila sudah bersangka yang tidak baik, maka akan mudahlah sesuatu kelompok masyarakat di pecah belahkan.

Seburuk-buruk manapun tuduhan, bersangka baiklah kita. Dengan bersangka baik, akan membuatkan kita mudah untuk berlapang dada.

Sebab utama mengapa masyarakat kita asyik bersengketa ialah kerana suka bersangka buruk

Senantiasa Bersyukur 

Bersyukur kerana Allah masih membenarkan kita untuk  bernafas. Syukur kerana kita masih mampu bebas dan tenang jika dibandingkan dengan negara-negara luar yang bergolak.

Bersyukur kerana masih mampu untuk menikmati rezeki Allah tanpa gangguan.

Pengajaran : Daripada Sejarah Untuk Sejarah

Ayuh kita fahami dan hayati kembali kisah detik-detik akhir sebelum kewafatan Saidina Uthman r.a.Kisah penuh tragis yang akhirnya mengorbankan seorang pemimpin agung Islam.

Ingat juga peristiwa pembunuhan Saidina Ali r.a. yang juga berpunca daripada fitnah yang mengucar kacirkan umat Islam.

Belek kembali lembaran sejarah mengenai kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam yang berpunca daripada kelemahan pemimpin dan perpecahan umat.

Kita jadikan sejarah-sejarah ini iktibar untuk kita melakar sejarah pada masa hadapan. Jangan pula dibiarkan sejarah ini berulang kerana kalau ia berulang, penghujung ceritanya pasti sama.

Jangan kita berputus asa untuk berdoa memohon kebaikan. Itulah satu-satunya senjata kita umat Islam.

Mari kita doakan kebaikan untuk umat dan negara ini. Memohon agar pemimpin-pemimpin negara khususnya DS Najib diberikan petunjuk agar kita keluar daripada pintu krisis yang semakin hampir.

Juga kita doakan agar tokoh-tokoh yang berjuang untuk kemakmuran negara kekal istiqamah dalam perjuangan mereka.

Wallahualam.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *