HIJRAH, ISRA MIKRAJ DAN 1437

van-1024x707

Awal Muharram datang lagi. Hari pertama dalam kalendar Islam yang disambut oleh umat Islam bagi memperingati Hijrah Nabi Muhammad SAW. Adakah kita betul-betul memahami Hijrah? Atau hanya sekadar menghafal lagu “Satu Muharram detik permulaan”??

Saya bukakan lembaran artikel ini dengan mengaitkan peristiwa Hijrah dengan satu lagi peristiwa agung iaitu Isra Mikraj. Semua orang pasti tahu ataupun paling tidak pernah terdengar akan kisah kedua-dua peristiwa ini.

Zoom outkan pemikiran anda agar dapat melihat dari sudut kanta mata besar perkaitan diantara kedua-duanya. Saya mengajak anda agar kita terjun ke dasar pengkisahan peristiwa agar dapat melihat ibrahnya.

Isra Mikraj terjadi sebelum peristiwa Hijrah. Isra Mikraj terjadi ketika Nabi Muhammad berada dalam kesedihan selepas kematian Siti Khadijah dan Abu Talib. Dalam kesedihan itu makin kuat penentangan puak Musyrikin terhadap Baginda.

Maka, Allah SWT mengurniakan peristiwa besar iaitu Isra Mikraj kepada Baginda SAW. Allah SWT menghiburkan Nabi Muhammad SAW dengan membawa Baginda dekat dengan-Nya. Allah SWT menunjukkan perkara-perkara ghaib kepada baginda.

Iman yang kuat ialah pengubat kepada kesedihan yang hebat

Lihat bagaimana Allah SWT mengajar kita melalui kisah ini. Ubat paling mustajab kepada kesedihan ialah dengan kita dekat dengan Allah SWT. Itulah nilai hiburan yang paling agung untuk umat Manusia.

Apabila kita di timpa musibah,kita kena ingat kepada Pemberi musibah supaya kita sabar. Apabila kita menerima rezeki, kita jangan lupa kepada Pemberi rezeki supaya kita bersyukur.

Hijrah ialah perjalanan bumi Nabi Muhammad dari Mekkah ke Madinah. Satu bentuk perjuangan fizikal yang ditempuhi oleh Baginda.

Penentangan demi penentangan telah Nabi Muhammad hadapi sehinggalah terjadinya peristiwa pengepungan rumah baginda dengan tujuan untuk membunuh. Kejadian yang akhirnya membawa kepada peristiwa Hijrah.

Hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar hijrah biasa. Bayangkan, pada zaman tersebut perjalanan ke Madinah mengambil masa lebih seminggu untuk sampai.

Namun, Hijrah ini akhirnya berjaya melalui stategi dan perancangan pintar Nabi Muhammad sehingga dapat meloloskan diri daripada halangan dan dugaan.

Apa kaitan antara Isra Mikraj dan Hijrah?

Allah SWT Maha Suci dan Maha Berkuasa. Saya simpulkan bahawa kedua-dua peristiwa ini sebenarnya mempunyai prinsip yang sebenarnya boleh membawa kita sangat dekat dengan-Nya.

Isra Mikraj ialah perjalanan langit yang sungguh luar biasa. Ia memerlukan keyakinan yang tinggi untuk kita mempercayainya.

Hijrah pula ialah perjalanan bumi yang penuh halangan. Ia memerlukan perjuangan untuk menempuhinya.

Allah SWT mempersiapkan Nabi Muhammad dengan Isra Mikraj sebelum berlakunya Hijrah. Hanya pengikut Baginda yang betul-betul yakin sahaja yang terus bersama dengan perjuangan Baginda.

Sebab itu peristiwa Hijrah berjaya adalah disebabkan bersatunya umat Islam dengan keyakinan yang tinggi terhadap ajaran Baginda.

Hijrah ialah ujian perjuangan. Manakala Isra Mikraj ialah ujian keyakinan. Bila ada keimanan yang mantap, barulah kita berjaya dalam perjuangan.

Hendaklah kita yakini apa yang kita perjuangankan, Barulah kita perjuangkan apa yang kita yakini.

1437

Saya akhiri artikel ini dengan persoalan berapa ramai yang tahu apa itu 1437? Mungkin ada yang garu kepala ataupun mengerut kening di dahi.

1437 ialah tahun Islam untuk tahun ini. Maksudnya, sudah hampir 1437 tahun yang lalu berlakunya Hijrah. Namun hanya beberapa sahaja umat yang memahami sebenar-benarnya angka 1437 ini.

Apa yang hanya jelas kelihatan pada waktu ini hanyalah sekadar menyambut sambutan dan menikmati cuti umum. Sekiranya kita berada dalam golongan ini, maka something wrong somewhere.

Kita Hijrah biarlah secara total dan istiqamah. Fahami point-point di atas agar kita tahu di mana kedudukan kita sekarang. Hijrah bukan sekadar di bibir, tetapi menuntut pengorbanan dan perjuangan.

Bagaimana untuk memulakan Hijrah? Saya ajak diri saya dan pembaca untuk kita mulakan dengan sentiasa hadir ke masjid.

Ingatlah bahawa Isra itu ialah perjalanan dari masjid ke masjid.

Wallahualam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *