MEMAHAMI D.U.I.T SEBELUM MEMULAKAN PERNIAGAAN

a881cea51580dbcdb5953c85fe42242c

Tahun 2016 adalah tahun yang sangat mencabar kepada saya dan mungkin anda. Mencabar khususnya dari sudut tekanan kewangan dan ekonomi.

Cuba buka minda anda melihat senario ekonomi semasa. Sebab kalau anda tak cuba untuk memahami, maka anda tidak akan faham apa sebenarnya berlaku tidak seindah berita di TV.

Nilai RM jatuh berdesup hingga mencecah RM4 lebih sedolar. Maka secara matematik mudahnya, harga barang-barang import pun akan meningkat.

Harga minyak dunia pun turut jatuh. Kalau mengikut pengiraan orang kampung di kedai kopi, kejatuhan harga minyak menguntungkan kita sebagai pengguna.

Memang betul juga. Tetapi, rakyat harus tahu bahawa sumber utama pendapatan negara ialah hasil minyak. Petronas baru-baru ini mengumumkan keuntungan merosot lebih daripada suku berbanding tahun sebelum.

Maka mengikut logik ilmu hisab orang kampung, bila pendapatan negara merudum, jumlah perbelanjaan mesti dikurangkan. Oleh itu, subsidi harus ditarik sedikit demi sedikit untuk mengubat poket kerajaan.

Selain subsidi, cukai perlu di tingkatkan ataupun dalam bahasa merdunya diselaraskan agar menampung perbelanjaan negara. Maka lahirlah apa yang dikenali anak-anak muda sebagai GangSTer yakni GST.

Mukadimah ringkas diatas adalah sekadar untuk anda memahami apa yang berlaku sekarang. Maka tujuannya ialah anda faham bahawa ada hikmah di atas segala kejadian yang berlaku.

Mungkin sudah tiba masanya kita berfikir sejenak dua jenak untuk menambah pendapatan.

Perniagaan atau berniaga ataupun bisness adalah jalan keluar kepada permasalahan ini. Ingat bahawa 9 dari 10 sumber rezeki adalah daripada perniagaan.

Berniaga untuk dapatkan duit. So, perniagaan sangat berkait rapat dengan duit.

Sebelum memulakan perniagaan, perlu kita memahami pelan induk kepada perancangan dalam perniagaan.

4 huruf daripada perkataan DUIT ini saya huraikan agar mudah kita faham dan hadam.

DOA –  Sebelum memulakan sesuatu perkara, mulakan dengan doa.

USAHA – Tetap fokus perniagaan. Dan jangan sesekali malas berusaha. Duit tidak datang jatuh bergolek.

IKHTIAR  –  Sekiranya pelan A gagal, bersedia untuk ke Pelan B. Oleh itu, kalau boleh sediakan Pelan A sampai Z.

TAWAKKAL  –  Membuat sesuatu perlu dengan sepenuh hati kita menyerahkan kepada Allah. Mudah-mudahan kita dibantu dan dilapangkan dada untuk menerima segala kemungkinan.

KESIMPULAN

Duit tidak dayang bergolek. Duit tidak datang tanpa usaha. Duit tidak datang umpama silap mata.

Cuba sama-sama aplikasikan konsep DUIT sebelum merancang sesuatu perniagaan. Tidak kiralah apa pun jenis perniagaan.

Tapi jangan sesekali lupa bahawa duit bukanlah segala-galanya. Jangan menjadi hamba kepada duit.

Duit itu juga sebahagian daripada ujian kita sebagai seorang hamba-Nya.

Doa  Usaha  Ikhtiar  Tawakkal.

Wallahualam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *